Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Gerakan Buruh gariskan harapan terhadap semakan Akta Pekerjaan

Gerakan buruh Singapura menyarankan supaya Akta Pekerjaan meliputi lebih ramai pekerja, termasuk mereka yang memperoleh pendapatan lebih daripada yang ditetapkan

Anggaran Waktu Membaca:
Gerakan Buruh gariskan harapan terhadap semakan Akta Pekerjaan

Gambar hiasan. (Gambar: Edgar Su/ Reuters)

Diterbitkan : 20 Jan 2018 09:16AM Dikemas Kini : 20 Jan 2018 09:17AM

SINGAPURA: Gerakan buruh Singapura menyarankan supaya Akta Pekerjaan meliputi lebih ramai pekerja, termasuk mereka yang memperoleh pendapatan lebih daripada yang ditetapkan. Demikian menurut penolong setiausaha agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Patrick Tay dalam catatan blognya semalam (19 Jan).

Ini kerana, gerakan buruh itu "dicabar dengan pertanyaan-pertanyaan yang mencabar" berkaitan dengan beberapa bahagian Akta tersebut sejak beberapa tahun ini, terutama sekali memandangkan jumlah pekerja yang dipecat naik pada 2016, termasuk kes-kes pemecatan yang tidak adil.

Encik Tay mengatakan bahawa walaupun ramai karyawan, pengurus dan eksekutif (PME) kini meminta bantuan Gerakan Buruh, mereka yang memperoleh gaji melebihi S$4,500 tidak mendapat perlindungan di bawah Akta Pekerjaan.

Pada masa yang sama, beliau menarik perhatian tentang gaji median dan jumlah karyawan, pengurus, eksekutif dan teknisyen (PMET) yang terus meningkat sebanyak 54 peratus. Jumlah PME pula meningkat 34 peratus.

Gaji bulanan median para pekerja adalah S$4,056 pada 2016 sementara gaji bulanan 50 peratus PMET adalah S$5,910 pada Jun 2016.

Dengan adanya "profil tenaga kerja yang berubah-ubah dan gaji median yang semakin meningkat, serta dorongan lebih kuat untuk memastikan undang-undang pekerjaan kekal relevan", Encik Tay menggariskan harapan Gerakan Buruh berkaitan semakan terhadap Akta Pekerjaan.

Ini termasuk memperluaskan perlindungan Akta tersebut kepada PME dengan gaji melebihi S$4,500.

Meskipun pindaan Akta Hubungan Perindustrian pada 2015 merangkumi lebih ramai PME daripada kesatuan-kesatuan, Encik Tay mendapati bahawa terdapat kes-kes di mana pengurusan syarikat-syarikat yang berkesatuan menggunakan "had S$4,500" sebagai "proksi bagi menyarankan kesatuan tidak boleh memperluaskan perlindungan kepada mereka yang memperoleh gaji melebihi had tersebut".

Walau bagaimanapun, beliau mengatakan bahawa "kes-kes seperti itu jarang berlaku".

Dalam satu wawancara berasingan bersama Mediacorp semalam (19 Jan), Encik Tay mengatakan bahawa terdapat banyak isu tempat kerja yang diutarakan para PME yang terjejas dengan pemecatan dan penyusunan semula pertubuhan sejak dua tahun lalu.

"Satu isu utama yang menjejas PME yang memperoleh lebih daripada S$4,500 adalah berkaitan isu pemecatan yang tidak adil. Kami menyaksikan lebih banyak kes seperti ini di platform-platform penasihat kami."

Tahun lalu, pusat-pusat penasihat NTUC untuk para PME - U PME Centre - membantu lebih 200 PME. Lebih 50 peratus memperoleh gaji melebihi S$4,500.

KAJI SEMULA HAD GAJI BAGI BAYARAN BEKERJA LEBIH MASA

Encik Tay turut mengatakan dalam blognya bahawa had gaji S$2,500 dan S$4,500 perlu dikaji semula bagi bayaran bekerja lebih masa atau 'overtime'.

Buat masa ini, terdapat dua kategori pekerja yang berhak mendapat bayaran bekerja lebih masa, seperti yang digariskan dalam Bab IV Akta tersebut, termasuk pekerja yang mendapat gaji bulanan tidak melebihi S$2,500 dan pekerja buruh kasar dengan gaji bulanan tidak melebihi S$4,500.

Menurut Encik Tay, "penting" bagi Tribunal Tuntutan Pekerjaan diperluas untuk meliputi kes-kes pemecatan yang tidak adil atau salah berbanding tuntutan berkaitan gaji.

Tribunal yang ditubuhkan pada April lalu bagi membantu PME dalam menghuraikan pertikaian, tidak mempunyai kuasa untuk membicarakan kes-kes ini di bawah Akta Pekerjaan, yang tidak melindungi pendapatan PME melebihi S$4,500 berkaitan dengan pemecatan yang tidak adil atau salah.

Beliau juga mengusulkan pindaan terhadap Akta, yang membolehkan majikan memindahkan pekerja kepada majikan lain sekiranya syarikat tersebut menjalani penyusunan semula.

Beliau berkata: "Saya sarankan kita meminda Seksyen 18A untuk memberikan penjelasan lebih baik. Satu lagi pilihan ialah untuk mengeluarkan garis panduan tiga pihak atau penjelasan secara terang-terangan mengenai pemindahan atau urus niaga dalam atau di luar Seksyen 18A.

"Ini adalah satu bidang yang sentiasa diuji dan dicabar. Penjelasan lebih baik akan memanfaatkan kesatuan, majikan dan peguam undang-undang."

Encik Tay memuat naik catatan blognya ini sehari selepas Kementerian Tenaga Manusia (MOM) melancarkan sesi mengumpul maklum balas awam selama sebulan untuk mendapatkan pandangan orang ramai mengenai bidang-bidang yang sedang dipertimbangkan bagi semakan terhadap Akta Pekerjaan. 

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan