Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Gerai Nenek Obek menang Anugerah Warisan Penjaja NEA

Gerai nasi padang popular di Pasar Geylang Serai, Gerai Nenek Obek, menerima Anugerah Warisan Penjaja Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA). Gerai itu adalah antara 15 penjaja yang diiktiraf dalam satu acara hari ini (11 Jan) di Hab Tampines Kita (OTH).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Gerai nasi padang popular di Pasar Geylang Serai, Gerai Nenek Obek, menerima Anugerah Warisan Penjaja Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA).

Gerai itu adalah antara 15 penjaja yang diiktiraf dalam satu acara hari ini (11 Jan) di Hab Tampines Kita (OTH) dengan anugerah disampaikan oleh Menteri Negara Kanan Kemampanan dan Sekitaran Dr Amy Khor.

Anugerah yang diterima Gerai Nenek Obek itu mengiktiraf usaha gerai berkenaan meneruskan semangat penjaja lebih 30 tahun, menjaga resepi turun temurun serta penyambungan dari satu generasi ke satu generasi.

JARANG ADA PENJAJA GENERASI KE-4

Gerai Nenek Obek mula berniaga pada 1963 dan setiap resepi hidangan dijaga dan diwarisi sehinggalah pada hari ini yang mana ia kini diterajui Filzah Miranti Mohd Dawood.

Berusia 28 tahun, Filzah merupakan generasi penjaja keempat Gerai Nenek Obek dan perkara itu menurut NEA, adalah sesuatu yang menarik kerana penjaja generasi keempat jarang sekali ditemui di Singapura.

Malah, pelibatan Filzah dalam bidang itu bermula sejak usianya enam tahun lagi ketika Gerai Nenek Obek menjalankan perniagaan di Pasar Geylang yang lama.

Filzah berkongsi bahawa minatnya untuk menjadi penjaja semakin menebal sebaik saja menamatkan pengajiannya di ITE dalam bidang teknologi proses kimia.

Walaupun pernah bekerja sebagai seorang teknisyen, beliau tidak "rasa sedap" kerana semangatnya untuk meneruskan warisan keluarga serta memperjuangkan kekayaan makanan tradisional Melayu.

"Dari saya kecil, emak saya sudah memang bawa saya pergi Geylang ke kedainya. Memang saya sudah tolong cuci pinggan dan hantar lauk-pauk. Pada waktu kecil itu, memang saya tidak boleh masaklah.

"Apabila saya tamat ITE baru saya mula kerja-kerja memasak bersama beliau pada 12 tengah malam, kami sudah mula memasak dan saya belajar dari situ," ujarnya lagi.

TIDAK JADIKAN USIA MUDA SEBAGAI PENGHALANG

Menjadi penjaja muda ada banyak cabarannya, kata Filzah sambil menambah bahawa pernah ada rakan dan kenalannya yang mempersoalkan pilihan kerjaya serta kebolehannya.

Namun begitu, Filzah tidak sesekali menjadikan usia mudanya sebagai satu hambatan untuk terus membantu perniagaan keluarganya itu.

Beliau memanfaatkan usianya yang muda dan peka terhadap dunia digital dengan meyakinkan anggota keluarga lain sama-sama mendakap pendigitalan.

Langkah itu terbukti membuahkan hasil apatah lagi semasa tempoh pemutus rantaian jangkitan atau "circuit breaker" kerana perniagaan Gerai Nenek Obek, dapat dijalankan seperti biasa melalui wadah online.

Beliau berkongsi: "Kadang-kadang orang tanya juga 'Kenapa awak hendak kerja begini? Awak sudah ada kelayakan. Cubalah kerja di luar'. Saya rasa tidak ada apa yang hendak dimalukan sebab inilah membawa rezeki saya dari kecil sehingga besar. Rezeki inilah yang saya makan hari-hari. Saya lihat emak saya kerja keras untuk kami, menampung kami dari kecil sampai besar."

Dengan anugerah dan pengalaman yang diraih, Filzah berharap dapat memberi inspirasi serta tunjuk ajar kepada anak muda lain yang ingin bertapak dalam dunia perniagaan makanan.

Bahkan, beliau merancang untuk menebarkan sayap niaga berbekalkan jenama Gerai Nenek Obek dengan menghasilkan produk buatan sendiri seperti pes dan berharap warisan keluarganya itu dapat disajikan dalam restoran mereka sendiri pada suatu hari akan datang. 

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan