Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Gerai ikan & makanan laut segar diarah tutup; semua pegerai perlu jalani ujian COVID-19

Pegerai yang menjual ikan dan makanan laut segar di pasar-pasar yang dikendalikan Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) atau pengendali yang dilantik agensi itu, diarah berhenti beroperasi pada Ahad (18 Jul), sebagai langkah berjaga-jaga untuk mengekang penularan COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:
Gerai ikan & makanan laut segar diarah tutup; semua pegerai perlu jalani ujian COVID-19

Gambar fail pelanggan gerai ikan di Pasar Geylang Serai pada 23 Apr 2020 (Gambar: AFP/Roslan Rahman)

Diterbitkan : 18 Jul 2021 05:09PM Dikemas Kini : 18 Jul 2021 05:12PM

SINGAPURA: Pegerai yang menjual ikan dan makanan laut segar di pasar-pasar yang dikendalikan Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) atau pengendali yang dilantik agensi itu, diarah berhenti beroperasi pada Ahad (18 Jul), sebagai langkah berjaga-jaga untuk mengekang penularan COVID-19.

Langkah itu diambil setelah muncul kelompok jangkitan COVID-19 dalam kalangan peniaga ikan yang mengunjungi Pelabuhan Perikanan Jurong untuk mengambil bekalan dan menjualnya di pasar.

Para pegerai akan menerima SMS mengenai amaran risiko kesihatan daripada Kementerian Kesihatan (MOH) yang menghendaki mereka menjalani ujian tindak balas rantaian polimerase (PCR) COVID-19 di pusat-pusat ujian khas.

Mereka juga dikehendaki mengasingkan diri dan tidak keluar dari rumah masing-masing sehingga disahkan negatif, menurut NEA dan MOH dalam satu kenyataan bersama.

Para pegerai juga boleh ke pusat ujian daerah tertentu pada Ahad tanpa perlu temu janji jika ingin menjalani ujian COVID-19 secepat mungkin. Mereka yang disahkan negatif akan dibenarkan menyambung perniagaan dengan serta-merta.

Selain itu, mereka juga akan diberi kit ujian antigen pantas DIY dan perlu melakukan ujian sendiri pada hari ketujuh sejak pendedahan terakhir mereka, tambah MOH dan NEA.

Satu lagi ujian PCR diwajibkan di pusat ujian khas pada sekitar hari ke-14 sejak hari terakhir pendedahan mereka.

Ujian COVID-19 juga akan dijalankan bagi semua pegerai dan pembantu mereka di pasar dan gerai makanan dimasak di pusat penjaja dan pasar yang diuruskan NEA atau pengendali yang dilantiknya.

Mereka akan dimaklumkan tentang butiran ujian yang dijadualkan menerusi SMS. Menurutnya, gerai-gerai yang tidak menjual ikan atau makanan laut segar boleh terus beroperasi sementara ujian ke atas pegerai dijalankan.

"Kami menggesa semua pegerai dan penolong gerai supaya menjalani ujian, demi kebaikan mereka dan pelanggan mereka," tambah NEA dan MOH.

"Kami menasihatkan semua pengunjung ke pasar dan pusat makanan supaya menghindari keadaan sesak dan berbelanja semasa waktu tidak sibuk seberapa mungkin serta mengamalkan langkah pengurusan selamat yang ketat."

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan