Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Genting Cruise Lines & Royal Caribbean Int'l dibenar tawar khidmat 'pelayaran tanpa destinasi' mulai Nov

Dua syarikat kapal pesiaran dibenarkan menawarkan khidmat 'pelayaran tanpa destinasi' kepada penduduk Singapura mulai November di bawah skim perintis dengan protokol keselamatan yang dipertingkatkan dan ujian COVID-19 wajib bagi kesemua anak kapal dan penumpang.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 08 Oct 2020 02:09PM Dikemas Kini : 08 Oct 2020 08:54PM

SINGAPURA: Dua syarikat kapal pesiaran dibenarkan menawarkan khidmat 'pelayaran tanpa destinasi' kepada penduduk Singapura mulai November di bawah skim perintis dengan protokol keselamatan yang dipertingkatkan dan ujian COVID-19 wajib bagi kesemua anak kapal dan penumpang.

Kapal pesiaran World Dream milik Genting Cruise Lines akan mula menawarkan khidmat tersebut pada 6 Nov, sementara kapal Quantum of the Seas kendalian Royal Caribbean International akan mula berlayar pada Disember, menurut Lembaga Pelancongan Singapura (STB) dalam kenyataan medianya pada Khamis (8 Okt).

Kedua-dua kapal yang menggunakan Singapura sebagai pelabuhan utamanya adalah sebahagian daripada skim perintis yang membolehkan pelayaran ulang-alik tanpa sebarang destinasi dan pelayarannya dilakukan pada kapasiti sehingga 50 peratus penumpang yang hanya ditawarkan untuk para penduduk Singapura saja, menurut STB.

"Pemerintah akan memantau dengan teliti hasil program perintis ini sepanjang beberapa bulan akan datang sebelum memutuskan langkah-langkah seterusnya bagi khidmat kapal pesiaran," menurut STB.

Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan pada Khamis (8 Okt), Dream Cruises yang dimiliki oleh Genting Cruise Lines menyatakan bahawa ia sudah "selesai menyemak secara menyeluruh dan mempertingkatkan protokol kesihatan, kebersihan dan operasi" selaras dengan garis panduan ketat yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan termasuk proses pemeriksaan kesihatan yang ketat.

"Kami berbesar hati menjadi kapal pesiaran pertama yang dapat menyambung semula operasi di Singapura untuk memberikan sokongan yang sangat diperlukan oleh industri pelancongan tempatan," kata presiden Dream Cruises Michael Goh.

"Kami dapat menawarkan lebih banyak pilihan kepada para penduduk Singapura untuk pergi bercuti menjangkaui resort-resort di darat dan kami berharap dapat mengembalikan keseronokan menaiki kapal pesiaran dengan keselamatan terus diutamakan," katanya.

Ketua Eksekutif STB Keith Tan berkata bahawa kesihatan dan keselamatan awam akan terus menjadi keutamaan nombor satu pihak berkuasa itu, meskipun setelah ia membuka semula beberapa sektor ekonomi.

"Kami gembira dapat bekerjasama dengan Genting Cruise Lines melalui program perintis ini dengan tumpuan kepada langkah pengurusan selamat bagi menjaga keselamatan para penumpang dan anak kapal," katanya.

PENTAULIHAN CRUISESAFE

Bagi menjamin pelayaran yang selamat, program pentauliahan wajib CruiseSafe sedang dihasilkan oleh STB.

Program itu menetapkan langkah-langkah kebersihan dan keselamatan yang menyeluruh sepanjang tempoh pesiaran - dari sebelum menaiki kapal, sehingga selepas turun kapal.

"CruiseSafe dilakarkan melalui rundingan bersama industri dan ditambat sejajar dengan piawai kesihatan dan keselamatan global," menurut STB.

"Singapura adalah salah satu daripada negara pertama di dunia yang membangunkan dan melaksanakan program pensijilan dan audit wajib bagi syarikat-syarikat kapal pesiaran sebelum mereka dibenarkan menyambung semula pelayaran."

Genting Cruise Lines dan Royal Caribbean International diluluskan bagi percubaan ini kerana mereka menunjukkan keupayaan untuk melaksanakan protokol ketat dan langkah berjaga-jaga sebagai sebahagian daripada pentauliahan CruiseSafe, menurut STB.

Sebelum berlayar, semua kapal pesiaran yang berlepas dari Singapura perlu mendapatkan pensijilan CruiseSafe yang akan dinilai secara bebas oleh sebuah syarikat pensijilan pihak ketiga.

Menurut STB, anak kapal yang menaiki kapal pesiaran mesti mematuhi langkah ketat menjangkaui peraturan sedia ada Singapura bagi perjalanan rentas sempadan.

Anak kapal yang perlu memasuki Singapura harus menjalani pengasingan selama 14 hari di negara asal mereka dan harus diuji negatif COVID-19 sebelum berlepas.

Mereka juga akan diuji sejurus selepas mereka tiba di Singapura dan perlu menjalani Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) selama 14 hari. Mereka akan diuji sekali lagi pada akhir tempoh notis itu, dan perlu menjalani ujian rutin apabila mula berlayar kelak.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan