Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Gelembung perjalanan udara S'pura-HK digantung jika kes COVID-19 melonjak

Sekiranya berlaku lonjakan pada kadar jangkitan COVID-19 di Singapura atau Hong Kong, gelembung perjalanan udara dua hala yang baru diumumkan akan digantung, kata Menteri Pengangkutan Ong Ye Kung pada Khamis (15 Okt).

Anggaran Waktu Membaca:
Gelembung perjalanan udara S'pura-HK digantung jika kes COVID-19 melonjak

Para pengunjung di Lapangan Terbang Changi pada 16 Mac 2020. (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 15 Oct 2020 06:05PM Dikemas Kini : 15 Oct 2020 06:08PM

SINGAPURA: Sekiranya berlaku lonjakan pada kadar jangkitan COVID-19 di Singapura atau Hong Kong, gelembung perjalanan udara dua hala yang baru diumumkan akan digantung, kata Menteri Pengangkutan Ong Ye Kung pada Khamis (15 Okt).

"Perlu ada persefahaman bersama," kata Encik Ong kepada para wartawan semasa menjawab pertanyaan mengenai langkah berjaga-jaga yang diambil untuk melindungi Singapura apabila aturan perjalanan baru itu dimulakan kelak.

"Kita semua ingin membendung virus dan wabak itu tetapi sekiranya berlaku keadaan yang tidak diduga - lonjakan - saya rasa kita harus menggantungnya (aturan)."

Beliau menambah bahawa inisiatif baru itu - mungkin gelembung perjalanan udara dua hala yang pertama di rantau ini dan juga dunia - akan dilakukan "secara berperingkat, berhati-hati, stabil (dan) dengan selamat" untuk membuka semula sektor penerbangan.

"Kita harus mencuba - kita berdua adalah hab penerbangan yang penting. Kita berdua tahu bahawa hab penerbangan menjejas seluruh ekonomi, bukan hanya industri penerbangan, jadi ratusan dan ribuan pekerjaan dipertaruhkan. "

Kedua-dua Singapura dan Hong Kong "mungkin perlu menyetujui jumlah kes tertentu yang kedua-duanya ... berasa selesa", kata menteri itu, sambil menegaskan bahawa gelombang kedua jangkitan "boleh berlaku".

'PROFIL RISIKO' COVID-19 DI S'PURA, HONG KONG ADALAH SAMA

Menarik perhatian bahawa kedua-dua bandar itu memiliki "profil risiko" yang sama dari segi penularan COVID-19, Encik Ong berkata: "Risiko seseorang di Hong Kong membawa virus ke Lapangan Terbang Changi tidak beza jika dibandingkan dengan seseorang yang datang dari Jurong."

Beliau menambah: "Sebagai permulaan, risikonya adalah rendah kerana kita berdua memiliki kadar kes yang sangat rendah tetapi cara kita menggantikan (Notis Jangan Keluar Rumah), kuarantin dan ... jadual perjalanan terkawal adalah melalui ujian.

"Kita berdua bersetuju untuk menjalankan ujian sebelum para penumpang berangkat tetapi setiap pihak boleh mengenakan lebih banyak ujian jika mahu berbuat demikian."

Ia mungkin merangkumi "aturan pentadbiran" lain seperti ujian semasa ketibaan atau memerlukan pelawat dari Hong Kong memuat turun aplikasi TraceTogether apabila mereka tiba di Singapura, kata menteri itu.

Kuota dari segi jumlah pelawat juga mungkin ditetapkan, kata Encik Ong semasa menjawab pertanyaan Mediacorp.

Buat masa ini, sesiapa sahaja yang berada selama 14 hari di Singapura atau Hong Kong akan layak melakukan perjalanan di bawah aturan gelembung perjalanan udara. Satu-satunya pengecualian buat masa ini adalah pekerja asing yang tinggal di dormitori di sini, menurut menteri itu.

Maklumat lebih terperinci mengenai gelembung perjalanan udara akan diumumkan selepas para pegawai Singapura dan Hong Kong mengadakan rundingan rasmi, tetapi Encik Ong berharap inisiatif baru itu dapat dimulakan dalam masa beberapa "minggu" akan datang.

"(Ini) adalah langkah kecil tetapi penting, kerana Hong Kong dan Singapura adalah hab penerbangan serantau (atau) bahkan global.

"Untuk kita berdua dapat mengawal wabak dan bersama-sama membincangkan dan mewujudkan gelembung perjalanan udara ini, saya berharap ia akan menjadi model atau contoh untuk kita menjalin lebih banyak hubungan seperti itu."

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan