Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

GE2020: Writ Pilihan Raya dikeluarkan, Hari Mengundi jatuh pada 10 Jul

Jabatan Pilihan Raya (ELD) pada Selasa (23 Jun) menyatakan Presiden Halimah Yacob sudah mengeluarkan Writ Pilihan Raya bagi Pilihan Raya Umum 2020, dengan Hari Mengundi berlangsung pada 10 Jul.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 23 Jun 2020 04:50PM Dikemas Kini : 23 Jun 2020 09:09PM

SINGAPURA: Jabatan Pilihan Raya (ELD) pada Selasa (23 Jun) menyatakan Presiden Halimah Yacob sudah mengeluarkan Writ Pilihan Raya bagi Pilihan Raya Umum 2020, dengan Hari Mengundi berlangsung pada 10 Jul.

Mengikut undang-undang, Hari Mengundi bagi mana-mana Pilihan Raya Umum turut diisytiharkan sebagai hari cuti umum. Maka itu, setiap majikan perlu memberikan "masa yang secukupnya" untuk para pekerja mereka keluar mengundi, menurut ELD.

Jabatan Pilihan Raya turut menamakan Dr Tan Meng Dui sebagai Pegawai Pilihan Raya kali ini. Beliau adalah Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA).

Awal sebelum itu, Presiden Halimah Yacob membubarkan Parlimen hari ini (23 Jun) atas nasihat Perdana Menteri Lee Hsien Loong.

"Perdana Menteri juga menasihati Hari Penamaan Calon diadakan pada Selasa, 30 Jun 2020, dan Presiden menyetujuinya," menurut Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam kenyataannya.

Dengan pandemik COVID-19 yang melanda sekarang, ELD menggalak para calon supaya mengunakan khidmat-khidmat digital yang tersedia di laman Jabatan Pilihan Raya (ELD) untuk menyiapkan Borang Pencalonan masing-masing.

Khidmat sedemikian akan membolehkan para calon untuk memeriksa kawasan undi yang akan ditandingi dan kemudian mencetaknya sebelum Hari Penamaan Calon. Borang Pencalonan juga boleh dimuat turun dari laman ELD.

Salinan Borang Pencalonan akan terus disediakan di pejabat Pegawai Pilihan Raya di ELD antara 8.30 pagi hingga 6.00 petang dari Isnin hingga Jumaat, dan antara 8.30 pagi hingga 1.00 tengah hari pada Sabtu.

Langkah berjaga-jaga seperti pemeriksaan suhu badan akan dijalankan di Pusat Penamaan Calon.

Para calon perlu mendapatkan wakil lain sekiranya wakil yang dipilih lebih awal dikenakan notis jalan keluar rumah, perintah kuarantin atau cuti sakit bagi jangkitan pernafasan akut, atau mengalami demam mahupun simptom-simptom pernafasan, kerana mereka tidak akan dibenarkan memasuki Pusat Penamaan Calon.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan