Images
  • wp pap flags
    Bendera-bendera PAP dan WP di Hougang Avenue 5 pada 7 Jul 2020. 

GE2020: Kredibiliti PAP merosot tapi naik bagi WP berbanding tinjauan lalu

SINGAPURA: Parti Pekerja (WP) dilihat sebagai lebih diyakini dalam Pilihan Raya Umum 2020 (GE2020) berbanding tinjauan-tinjauan yang lalu dan terdapat sedikit kemerosotan pada bilangan pengundi yang berpendapat bahawa Parti Tindakan Rakyat (PAP) boleh diyakini. Ini berdasarkan dapatan satu tinjauan pasca pilihan raya yang dijalankan oleh Institut Pengajian Dasar (IPS).

PAP masih dilihat sebagai parti politik paling diyakini di Singapura oleh rakyat yang ditinjau IPS tetapi jumlah responden yang bersetuju atau sangat bersetuju bahawa PAP adalah parti yang diyakini jatuh dari 93 peratus pada 2015 kepada 86 peratus tahun ini.

WP muncul sebagai parti kedua dengan 79 peratus responden menyatakan mereka mendapati parti itu boleh diyakini berbanding 71 peratus pada 2015.

Ini adalah dapatan daripada salah satu soalan dalam Tinjauan Persepsi Dasar-Dasar di Singapura, yang meninjau sikap 4,027 rakyat dari 11 Jul hingga 21 Ogos. Ia dibentangkan di sebuah forum menerusi Facebook Live pada Khamis (1 Okt).

Dalam tinjauan itu, responden diminta menyatakan tahap kredibiliti bagi setiap enam parti politik dalam GE2020, dari "sangat tidak bersetuju" hingga "sangat bersetuju". Hanya enam parti dengan jumlah undi tertinggi dimasukkan dalam tinjauan itu bagi mengelakkan kelesuan responden, kata para penyelidik.

Walaupun ia pendatang baru, Parti Kemajuan Singapura (PSP) menduduki tangga ketiga dengan 60 peratus responden bersetuju parti itu boleh diyakini manakala Parti Demokratik Singapura (SDP) menduduki tangga keempat dengan 45 peratus.

Meskipun ia lebih kurang sama dengan 46 peratus yang didapati semasa tinjauan pada 2015, bilangan responden yang mendapati SDP tidak diyakini jatuh dari 43 peratus pada 2015 kepada 29 peratus tahun ini. Lebih ramai orang bersikap "neutral" terhadap parti itu berbanding sebelum ini.

Parti Perpaduan Nasional (NSP) menyusul selepas SDP dengan 27 peratus responden mendapatinya boleh dipercayai dan Parti Suara Rakyat (PV) pula mendapat 26 peratus.

Kajian dijalankan oleh sebuah pasukan yang dipimpin oleh Dr Gillian Koh, Timbalan Pengarah Kajian IPS. Para anggota lain pasukan itu adalah Dr Teo Kay Key, zamil pos-siswazah di Makmal Sosial IPS, penyelidik bersekutu, Encik Damien Huang, dan Profesor Madya Tan Ern Ser dari Jabatan Sosiologi Universiti Nasional Singapura (NUS).

KREDIBILITI PAP JATUH DALAM KALANGAN PERTENGAHAN USIA

Pasukan itu menarik perhatian bahawa terdapat penurunan 13 peratusan mata bagi mereka yang berusia 40 hingga 49 tahun yang mengatakan mereka "bersetuju" atau "sangat bersetuju" bahawa PAP adalah parti yang diyakini. Terdapat juga kemerosotan pada rating kredibiliti parti tersebut dalam golongan berpendapatan rendah hingga pertengahan dan dalam kalangan mereka yang tinggal di flat HDB satu hingga tiga bilik.

Perubahan paling besar bagi WP adalah kategori "sangat bersetuju" yang melonjak dari lapan peratus pada 2015 kepada 20 peratus pada 2020.

Meneliti keputusan bagi semua peringkat usia, lebih ramai orang dalam kumpulan umur 30 hingga 34 tahun dan lebih tua mendapati WP diyakini pada GE2020. Terdapat juga peningkatan dalam kalangan pengundi PMET, mereka yang hanya memiliki kelayakan pendidikan pos-menengah dan dalam kalangan penghuni flat HDB satu hingga tiga bilik.

Dr Teo menggariskan bahawa rangking kredibiliti parti-parti itu sama seperti rankingnya dari segi jumlah undi yang diterima pada GE2020.

PAP memenangi 83 kerusi parlimen pada GE2020 dengan 61.2 peratus undi popular sementara WP, yang bertanding bagi 21 kerusi sahaja, memenangi 10 daripadanya dengan 11 peratus undi keseluruhan.

Tiada parti lain yang memenangi mana-mana kawasan undi semasa pilihan raya 10 Julai lalu tetapi PSP menamakan dua calonnya sebagai Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) setelah gagal mendapatkan GRC West Coast daripada PAP yang menang tipis.

10 parti pembangkang dan satu calon bebas bertanding dalam GE2020. Parti-parti lain adalah Parti Reform (RP), Parti Rakyat Singapura (SPP), Perikatan Demokratik Singapura (SDA), Titik Merah Bersatu (RDU) dan Parti Kuasa Rakyat (PPP).  

- CNA/FZ/fz

Top