Images
  • sg
    (Gambar fail: Reuters)

GDP S'pura tumbuh lebih perlahan pada 1.3% dalam suku pertama 2019

SINGAPURA: Ekonomi Singapura tumbuh 1.3 peratus pada suku pertama tahun ini, menurut unjuran awal yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) pada Jumaat (12 Apr).

Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) tumbuh 1.3 peratus antara Januari hingga Mac tahun ini, berbanding tempoh yang sama tahun lalu, dan berbanding 1.9 peratus pada suku sebelumnya.

Berdasarkan penyesuaian musiman dari suku ke suku, GDP tumbuh 2 peratus iaitu pada rentak lebih pantas berbanding pertumbuhan 1.4 peratus pada suku keempat tahun lalu.

Sektor pengilangan menguncup 1.9 peratus pada suku pertama tahun ini berbanding tempoh yang sama tahun lalu, dan berbanding pertumbuhan 5.1 peratus pada suku sebelumnya.

"Prestasi sektor berkenaan terjejas akibat kemerosotan pada hasil pengeluaran kelompok kejuruteraan jitu dan elektronik, yang lebih daripada mengimbangi peluasan pengeluaran dalam kelompok-kelompok pengilangan bioperubatan dan kejuruteraan pengangkutan," menurut MTI.

Kementerian itu menambah bahawa berdasarkan penyesuaian musiman dari suku ke suku, sektor berkenaan menguncup 12 peratus sekaligus memanjangkan lagi kemerosotan 2.7 peratus yang dialami pada suku sebelumnya.

- CNA/AI/ai

Top