Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Gaye Alassane boleh kekalkan kerakyatan S'pura walau terlibat sindiket kelong bola sepak

Bekas pemain Liga S Gaye Alassane dibenar mengekalkan kerakyatan Singapura, meskipun terlibat dalam sindiket kelong bola sepak.

Anggaran Waktu Membaca:
Gaye Alassane boleh kekalkan kerakyatan S'pura walau terlibat sindiket kelong bola sepak

Gambar: Gaye Alassane/Facebook

Diterbitkan : 27 Jun 2018 06:33PM Dikemas Kini : 27 Jun 2018 06:36PM

SINGAPURA: Bekas pemain Liga S Gaye Alassane dibenar mengekalkan kerakyatan Singapura, meskipun terlibat dalam sindiket kelong bola sepak.

Lelaki kelahiran Mali yang mendapatkan kerakyatan Singapura pada 2003 melalui Skim Talian Keluarga itu, diberi notis pada 7 Dec bahawa kerakyatannya mungkin dilucutkan di bawah Artikel 133(1) Perlembagaan.

Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA), menyatakan pada Rabu (27 Jun) bahawa Menteri K Shanmugam membuat keputusan untuk tidak melucutkan kerakyatan seorang rakyat Singapura berusia 43 tahun, atas saranan satu jawatankuasa bebas.

Mediacorp difahamkan individu tersebut merujuk kepada Alassane.

Sesudah pelibatan beliau dalam sindiket kelong bola sepak terbongkar, Alassane ditahan dan kemudiannya dilepaskan di bawah pengawasan polis.

"Mengambil kira aktiviti jenayahnya dan sejauh mana pelibatannya dalam sindiket, MHA menilai bahawa tidak sesuai bagi kebaikan umum jika individu ini terus memegang kerakyatan Singapura. Maka itu Menteri berkenaan menimbangkan untuk melucutkan kerakyatannya," menurut MHA.

Alassane kemudian merujuk kesnya ke Jawatankuasa Siasatan Kerakyatan (CCOI) seperti diperuntukkan Perlembagaan.

CCOI adalah jawatankuasa bebas yang terdiri daripada individu privet yang dilantik Menteri Dalam Negeri. Peranannya adalah untuk menyiasat kes yang dirujukkan kepadanya, menimbangkan semua bukti dan hujah, dan memberi saranan kepada Menteri berkenaan sama ada usulan pelucutan patut diteruskan.

Jawatankuasa itu menyarankan agar Menteri tersebut membenarkan Alassane mengekalkan kerakyatannya atas dasar ihsan. CCOI mengambil kira ikatan rapat keluarga Alassane di Singapura, bakti yang dicurahkan dan tingkah lakunya setelah dibebaskan.

"CCOI yakin bahawa dia menyara hidup secara jujur sejak dibebaskan dan tidak lagi terlibat semula dalam sebarang aktiviti jenayah," menurut MHA.

"Dia juga kelihatan rapat dengan anak-anaknya dan memainkan peranan penting dalam kehidupan mereka. Bekas isteri dan anak-anaknya memberi testimoni yang menunjukkan kasih sayang, perhatian dan sokongannya terhadap anak-anak. Masjid di mana dia melakukan kerja-kerja kebajikan turut memberi bukti tentang perwatakannya yang baik."


"Menteri (K Shanmugam) sudah membuat pertimbangan tentang penilaian dan usulan CCOI, dan memutuskan untuk memberi individu ini satu lagi peluang dan tidak melucutkan kerakyatannya buat masa ini, bergantung kepada kelakuannya," menurut MHA.

"Jika dia didapati melakukan apa-apa yang bercanggah dengan kebaikan umum seperti melakukan jenayah, menteri tidak akan teragak-agak menggunakan kuasa bagi pihak Pemerintah untuk memulakan tindakan melucutkan kerakyatan Singapura daripadanya."

Sumber : CNA/TQ/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan