Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Garis panduan terkini NWC tidak akan akibatkan kerja kosong berkurangan

Garis panduan terbaru Majlis Gaji Kebangsaan (NWC) yang bermatlamat mengurangkan pemberhentian pekerja, tidak semestinya bermakna jumlah pekerjaan dan kerja kosong dalam pasaran buruh Singapura akan berkurangan.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Garis panduan terbaru Majlis Gaji Kebangsaan (NWC) yang bermatlamat mengurangkan pemberhentian pekerja, tidak semestinya bermakna jumlah pekerjaan dan kerja kosong dalam pasaran buruh Singapura akan berkurangan.

Demikian jaminan Penolong Setiausaha Agung NTUC yang juga Datuk Bandar CDC Timur Laut, Encik Desmond Choo, kepada pihak media di pesta kerjaya anjuran bersama CDC tersebut dan e2i hari ini (17 Okt).

'Career Discovery@North East' berlangsung selama dua hari di Hab Tampines Kita. 1,350 kerja kosong ditawarkan kesemuanya di acara itu - dengan 250 daripadanya ditawarkan 27 penyewa Hab Tampines Kita.

(Gambar: CDC Timur Laut/Facebook)

Sekitar 20 peratus pekerjaan di pesta kerjaya berkenaan khusus bagi golongan Karyawan, Pengurus, Ekesekutif dan Teknisyen (PMET). Gaji bagi pekerjaan-pekerjaan yang ditawarkan pula adalah antara S$1,300 hingga S$8,000.

"MASIH ADA BANYAK PEKERJAAN"

"Seperti yang kita lihat di pesta kerjaya ini hari ini, banyak syarikat masih ingin mengambil pekerja dan memberi gaji yang setanding semasa situasi sebelum berlakunya COVID-19. Ini memberi kita keyakinan bahawa masih ada banyak pekerjaan (di luar sana)," kata Encik Choo.

Beliau menambah, garis panduan yang dikeluarkan NWC akan mengukuhkan lagi daya pengambilan pekerja di Singapura. 

NWC semalam (16 Okt) menyatakan, para majikan boleh menimbangkan pemotongan gaji pekerja buat sementara waktu, demi mengurangkan pembuangan kerja.

Ini bagaimanapun menimbulkan kebimbangan majikan akhirnya akan sekadar mengekalkan tenaga kerja mereka yang sedia ada.

"Ia tidak akan mengakibatkan pengurangan kerja kosong dalam pasaran. Apabila pemberhentian berlaku, pekerjaan itu akan 'hilang' selama enam hingga 12 bulan ke depan. Mungkin lebih lama atau tidak lagi wujud sama sekali," terang Encik Choo.

"Ia sesuatu yang tidak kita inginkan. Lebih penting lagi adalah, ia akan melemahkan keupayaan pengambilan pekerja Singapura, sedang kita mengharungi COVID. "

Encik Choo juga menegaskan, semakan terhadap garis panduan NWC adalah penting kerana ia memberi keyakinan kepada para pekerja, bahawa ada proses perundingan - yang mana pihak majikan dan pengurusan akan lebih telus terhadap langkah-langkah diambil untuk bertahan di tengah-tengah kemelesetan ekonomi.

PENCARI KERJA JUGA DIRUJUK KEPADA BADAN-BADAN BANTU DIRI

Tidak seperti pesta kerjaya yang biasa dijalankan, 'Career Discovery' juga disertai agensi-agensi khidmat sosial, termasuk MENDAKI.

Maka itulah, para pencari kerja turut diperkenalkan dan dipadankan kepada pelbagai skim bantuan sedia ada.

"Saya gembira hari ini kerjasama sama SGTeguhBersatu - termasuk MMO (badan Melayu/Islam) dan MENDAKI Sense untuk menyampaikan keperluan para pekerja Melayu/Islam kita dalam mencari pekerjaan. Selain daripada mendapat pekerjaan dan bimbingan kerjaya, mereka juga mendapat sokongan dari segi kesihatan mental dan juga sokongan kewangan," kata Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli, yang ikut serta untuk menyuntik semangat kepada para pencari kerja di pesta kerjaya itu.

Beliau juga menggesa mereka yang terjejas COVID-19 agar memanfaatkan wadah seperti pesta kerjaya kerana ia antara lain boleh membantu melayakkan mereka untuk mendapatkan Geran Bantuan COVID-19.  

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan