Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Garis masa projek Laluan RTS bernilai RM10 bilion

Perkembangan utama mengenai Projek Laluan Sistem Transit Laju (RTS)akhirnya membawa kepada perjanjian bersejarah hari ini (30 Jul).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 30 Jul 2020 07:11PM Dikemas Kini : 30 Jul 2020 08:57PM

SINGAPURA: Perkembangan utama mengenai Projek Laluan Sistem Transit Laju (RTS)akhirnya membawa kepada perjanjian bersejarah hari ini (30 Jul).

Tiga persetujuan utama yang penting untuk menyambung semula projek RTS sudahpun dimuktamadkan dalam satu majlis di Tambak Johor pada Khamis (30 Jul) bagi menyambung semula Projek Laluan RTS secara rasmi.

Ini termasuk satu perjanjian untuk meminda Perjanjian Dua Hala Laluan RTS antara pemerintah Singapura dan Malaysia.

Majlis itu dihadiri oleh Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong dan rakan sejawatannya, Perdana Menteri Malaysia Muhyiddin Yassin, menurut satu kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh kedua-dua negara. Ini merupakan kali pertama kedua-dua pemimpin bertemu muka sejak Encik Muhyiddin menyandang jawatan tersebut pada Mac lalu.

Berikut adalah imbasan kembali garis masa berhubung projek tersebut antara Singapura dengan Malaysia.

Idea Laluan RTS pertama kali diumumkan pada tahun 2010 di Retreat Pemimpin.
Perdana Menteri Lee Hsien Loong dan Perdana Menteri Malaysia pada waktu itu, Najib Razak, bersetuju untuk meningkatkan lagi keterhubungan antara kedua-dua negara dengan membangunkan projek itu bersama.

Pada 2017, kedua-dua belah pihak menetapkan di mana letaknya terminal di negara masing-masing.
Turut dipersetujui, khidmat penumpang akan bermula pada penghujung 2024.

Namun, jangkaan ini tidak kesampaian.

Perjanjian Dua Hala dimeterai pada Januari 2018 - menggariskan perkara-perkara utama dalam perjanjian itu.
Ini termasuklah hal-hal rumit seperti syarat-syarat keselamatan, teknikal serta aturan kastam dan imigresen.

Beberapa bulan setelah itu, Pilihan Raya Umum Malaysia diadakan dan kuasa pemerintahan beralih tangan kepada kerajaan yang baru.

Ini bermakna perjanjian-perjanjian yang dimeterai oleh kerajaan lama disemak semula.

Pada pertengahan 2019, kedua-dua negara bersetuju untuk menangguhkan projek Laluan RTS selama enam bulan.

Malaysia membuat permintaan itu bagi menyemak semula perkara-perkara seperti isu kos.
Penangguhan dilanjutkan sebulan lagi hingga penghujung Oktober.

Pada ketika itulah Perdana Menteri Malaysia pada waktu itu, Mahathir Mohamad, mengesahkan bahawa projek tersebut akan diteruskan tetapi dengan potongan kos sebanyak 36 peratus.

Pada November tahun lalu, Malaysia sekali lagi meminta untuk melanjutkan penangguhan itu hingga ke penghujung April 2020.

Menteri Pengangkutan Singapura pada waktu itu, Khaw Boon Wan, berkata Malaysia belum bersedia untuk berkongsi perincian perubahan-perubahan yang disarankan.

Penangguhan projek Laluan RTS berlaku lagi buat kali ketiga dan yang terakhir Mei tahun ini kepada penghujung Julai - juga atas permintaan Malaysia.

Kali ini disebabkan langkah-langkah ketat yang diambil untuk mengekang penularan COVID-19 di kedua-dua belah sempadan. 

Sumber : CNA/IZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan