Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Garis masa kelompok jangkitan COVID-19 di Hospital Tan Tock Seng

Kelompok COVID-19 terkait TTSH adalah yang pertama di sebuah hospital di sini dan kini yang terbesar dengan 40 kes. Bagaimana ia bermula? Bagaimana pula keadaannya sejauh ini? Ini garis masa kelompok tersebut...

Anggaran Waktu Membaca:
Garis masa kelompok jangkitan COVID-19 di Hospital Tan Tock Seng

(Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 05 May 2021 12:17AM Dikemas Kini : 05 May 2021 12:25AM

SINGAPURA: Kelompok Hospital Tan Tock Seng (TTSH) kini merupakan kelompok jangkitan COVID-19 aktif terbesar, dengan 40 kes yang dikaitkan dengannya sehingga Selasa (4 Mei). Ia juga merupakan kelompok COVID-19 hospital pertama di Singapura.

Pada 28 April, Kementerian Kesihatan (MOH) pertama kali mengumumkan bahawa seorang jururawat berusia 46 tahun yang bekerja di TTSH diuji positif COVID-19. Dia ditempatkan di Ward 9D dan sebelum itu sudah menyelesaikan vaksinasi COVID-19 pada 18 Februari.

Dikenali sebagai Kes 62541, jururawat itu mengalami batuk, sakit tekak dan sakit-sakit badan pada 27 April, dan mendapatkan rawatan perubatan.

Hasil ujiannya didapati positif COVID-19 pada hari yang sama dan dia ditempatkan di Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NCID). Wad 9D dikepung pada 28 April, umum MOH.

Sejak penemuan kes pertama di TTSH, Kementerian Kesihatan mengumumkan lebih banyak kes yang berkaitan dengan kelompok itu setiap hari, sesuatu yang pihak berkuasa jangka akan berlaku.

Berikut adalah garis masa mengenai kelompok tersebut sejauh ini:

29 Apr: 9 KES KESEMUANYA

MOH melaporkan bahawa ada enam kes melibatkan pesakit di Wad 9D, dengan yang tertua berusia 94 tahun.

Salah seorang daripada mereka, Kes 62561, mengalami simptom sebelum jururawat tersebut diuji positif COVID-19.

Memberi garis masa kesnya, MOH menyatakan lelaki berusia 57 tahun itu mengalami demam pada 16 April tetapi tidak mendapatkan rawatan perubatan.

Dua hari kemudian, dia mengalami lebih banyak gejala dan pergi ke jabatan kecemasan TTSH di mana dia diuji negatif COVID-19 tetapi ditempatkan di Ward 7D.

Pada 20 April, dia dipindahkan ke Wad 9D. Dia dipindahkan ke wad pengasingan pada 27 April setelah diperiksa oleh doktor penyakit berjangkit.

Selain jururawat terbabit, dua lagi kakitangan TTSH diuji positif - seorang doktor lelaki berusia 30 tahun dan seorang pelatih pembantu penjagaan kesihatan wanita berusia 18 tahun.

Kedua-duanya terkait dengan Wad 9D - doktor merawat pesakit di sana, sementara pelatih ditugaskan di sana.

Pelatih itu tidak bergejala dan dikesan menerusi rejim ujian hospital, manakala doktor berkenaan mengalami simptom.

Wad 7D adalah wad kedua yang dikepung.

30 Apr: 4 KES BARU, 13 JANGKITAN KESEMUANYA

Seorang pekerja pembersihan berusia 41 tahun yang ditempatkan di Wad 9D, dua pesakit dari wad yang sama berusia 65 dan 77 tahun dan seorang doktor berusia 36 tahun dilaporkan mengalami jangkitan COVID-19.

Selain pesakit berusia 77 tahun itu, yang lain dikesan sebagai sebahagian daripada ujian proaktif TTSH.

Wanita berusia 77 tahun itu dihantar ke pusat jagaan United Medicare Center (Toa Payoh) dari Wad 9D pada 27 April, setelah menjalani ujian negatif bagi COVID-19 sehari sebelumnya.

Pada 28 April, dia dikenal pasti dan diasingkan. Dia didapati positif virus itu pada hari yang sama.

TTSH mengepung dua wad lain - Wad 9C dan Wad 10B.

1 Mei: 3 KES BARU, JUMLAH TERKUMPUL KINI 16; WANITA 88 TAHUN MAUT

Seorang wanita berusia 88 tahun yang kesnya dilaporkan sebagai antara kes pada 29 April meninggal dunia akibat komplikasi yang berkaitan dengan COVID-19. Wanita itu mempunyai sejarah barah, darah tinggi, kegagalan jantung tersumbat, angin ahmar dan hiperlipidemia.

Ini adalah kematian COVID-19 ke-31 Singapura.

MOH menyatakan lagi dua pesakit lain yang berada di Wad 9D, berusia 70 dan 74 tahun, disahkan positif COVID-19.

Lelaki berusia 70 tahun itu diuji negatif untuk COVID-19 pada 28 April semasa berada di TTSH sebagai sebahagian daripada ujian kakitangan dan pesakit yang berada di wad yang terjejas. Dia dipindahkan ke NCID pada hari yang sama dan didapati positif virus itu dua hari kemudian.

Seorang wanita berusia 86 tahun, isteri pesakit di Wad 9D, adalah kes ketiga yang dikaitkan dengan kelompok hari itu.

Dia mendapatkan rawatan perubatan di Hospital Khoo Teck Puat untuk keadaan yang tidak berkaitan pada 30 April dan diuji setelah didapati demam. Dia disahkan positif pada hari yang sama.

2 Mei: KELOMPOK TTSH ADA 11 KES BARU, 27 KESEMUANYA

Salah satu daripada 11 kes baru adalah ahli fisioterapi yang bertugas di Wad 9D. Dia diuji positif setelah dikuarantin.

Lima kes terdiri daripada pesakit yang dibenarkan keluar dari Wad 9D. Mereka dikuarantin dan diuji positif COVID-19. Kes-kes itu merangkumi dua pesakit lelaki berusia 79 dan 84 tahun dan tiga pesakit wanita berusia 60, 65 dan 89 tahun.

Dua kes lagi adalah pesakit Wad 9D - berumur 90 dan 98 tahun.

Baki tiga kes adalah anggota keluarga yang mengunjungi pesakit yang dimasukkan ke hospital di Wad 9D antara 18 April dengan 28 April. Mereka disahkan positif semasa dalam kuarantin.

3 Mei: 8 KES BARU, KESEMUANYA 35 JANGKITAN

Lima kes merupakan pesakit, berusia antara 53 dengan 94 tahun, yang berada di Wad 9D.

Tiga lagi adalah pekerja-pekerja TTSH - jururawat di jabatan kecemasan, jururawat di Wad 9D dan seorang pekerja pengangkat barang. Para anggota kakitangan itu dikesan semasa ujian ke atas semua pekerja hospital.

4 Mei: 5 KES BARU MEMBAWA JUMLAH KESELURUHAN KEPADA 40 JANGKITAN

MOH melaporkan lima kes baru dalam masyarakat, semuanya berkaitan dengan kelompok TTSH.

Kes-kes itu dikesan menerusi ujian proaktif terhadap pesakit, pelawat dan anggota kakitangan di hospital atau kontak rapat mereka dan sudahpun dikuarantin, menurut kementerian itu.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan