Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Gara-gara tidak boleh tahan buang air kecil, lelaki pukul pemandu bas

Marah dengan seorang pemandu bas yang berhenti untuk menunjukkan jalan kepada seorang penumpang, Isman Abdullah menghampiri pemandu itu lalu menunjal mukanya dengan kuat. 

Anggaran Waktu Membaca:
Gara-gara tidak boleh tahan buang air kecil, lelaki pukul pemandu bas

Penumpang menunggu bas di Pusat Pertukaran Bas Jurong East pada 3 Sep 2021. (Gambar fail: Try Sutrisno Foo)

Diterbitkan : 06 Oct 2021 08:30AM Dikemas Kini : 06 Oct 2021 08:32AM

SINGAPURA: Marah dengan seorang pemandu bas yang berhenti untuk menunjukkan jalan kepada seorang penumpang, Isman Abdullah menghampiri pemandu itu lalu menunjal mukanya dengan kuat.

Warga Singapura berusia 63 tahun itu sebelum ini bertindak agresif secara lisan terhadap pemandu bas berkenaan dan meminta beliau memandu lebih cepat kerana dia begitu terdesak untuk menggunakan tandas.

Pada Selasa (5 Okt), Isman dihukum penjara lima minggu dan didenda S$1,000 kerana sengaja menyebabkan kecederaan pada pemandu berumur 35 tahun itu dan tidak memakai pelitup ketika insiden berlaku.

Mahkamah diberitahu kesalahan itu dilakukan pada 5 November 2020 dalam bas nombor 61.

Apabila Isman menaiki bas itu di Macpherson Road sekitar pukul 10.15 malam, pelitupnya diturunkan sampai ke dagunya.

Dia memakai pelitupnya dengan betul hanya setelah pemandu bas SMRT, Encik Chan Ka Yang, memberi peringatan kepadanya.

Sepanjang perjalanan, di satu perhentian bas, seorang penumpang meminta Encik Chan tunjuk jalan dan beliau menyuruh penumpang itu menaiki bas tersebut.

Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Teo Siu Ming berkata: “Ketika itu, oleh kerana tertuduh perlu membuang air kecil, dia menjadi berang dengan apa yang dianggapnya sebagai satu kelengahan tidak perlu yang disebabkan oleh pemandu itu."

Isman menjadi agresif secara lisan dari tempat duduknya di bahagian belakang bas dan meminta Encik Chan menjelaskan kelengahan itu. Encik Chan tidak mengendahkannya.

Sekitar jam 10.32 malam, Isman berkali-kali menekan butang loceng untuk memberi isyarat bahawa dia mahu turun dari bas itu.

Apabila dia turun dari bas, dia terlihat seorang lagi penumpang meminta Encik Chan menunjuk jalan.

Isman, yang sekali lagi memakai pelitupnya di dagu, berjalan ke bahagian depan bas dan memekik ke arah Encik Chan. Dia kemudian menaiki bas itu sekali lagi lalu menunjal muka Encik Chan.

Encik Chan, yang mengalami lebam ringan, tidak membalas dan segera menutup pintu-pintu bas selepas Isman meninggalkan tempat kejadian.

Serangan itu dirakam pada kamera pengawasan dan rakamannya ditunjukkan di mahkamah pada Selasa.

DPP Teo meminta hukuman penjara antara empat hingga enam minggu serta denda terhadap Isman. Beliau berkata Isman tanpa diberangsangkan memukul muka Encik Chan, iaitu bahagian tubuh yang mudah diserang.

DPP Teo menambah Isman pernah melakukan kesalahan-kesalahan lampau yang melibatkan keganasan dan gangguan terhadap ketenteraman awam termasuk rompakan, pergaduhan serta berkelakuan liar. 

Isman, yang tidak diwakili peguam, memberitahu mahkamah dia seorang bapa kepada tiga orang anak dan bekerja sebagai seorang pekerja pembersihan.

“Saya menyesali kesilapan ini. Saya berjanji saya tidak akan melakukannya lagi dan saya mohon diringankan hukuman," katanya.  

Sumber : Today/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan