Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Gara-gara nombor telefon pada pintu tandas, lelaki 28 tahun terjerat penipuan S$1.9 juta

Didorong oleh keinginan untuk mendapatkan wang tunai, seorang lelaki sanggup menghubungi nombor telefon yang tertera pada sebuah pintu tandas yang akhirnya menjadikannya salah seorang yang terjebak dalam sejenis skim penipuan yang cuba memperdayakan DBS Bank supaya membayar S$1.89 juta.

Anggaran Waktu Membaca:
Gara-gara nombor telefon pada pintu tandas, lelaki 28 tahun terjerat penipuan S$1.9 juta

(Gambar: AFP)

Diterbitkan : 28 Oct 2021 08:04PM Dikemas Kini : 28 Oct 2021 08:05PM

SINGAPURA: Didorong oleh keinginan untuk mendapatkan wang tunai, seorang lelaki sanggup menghubungi nombor telefon yang tertera pada sebuah pintu tandas yang akhirnya menjadikannya salah seorang yang terjebak dalam sejenis skim penipuan yang cuba memperdayakan DBS Bank supaya membayar S$1.89 juta.

Muhammad Fazly Laily, 28 tahun, dihukum penjara enam bulan pada Khamis (28 Okt) atas peranannya dalam skim penipuan itu. Dia mengaku bersalah atas satu tuduhan memperolehi hasil haram melalui akaun banknya yang merupakan hasil jenayah daripada penipuan.

Mahkamah diberitahu bahawa Fazly adalah seorang teknisyen video bebas semasa melakukan kesalahan itu dan dia meraih sebanyak S$600 hingga S$700 antara Mac 2019 dengan April 2019.

Sekitar hujung Mac 2019, dia pergi ke sebuah kedai kopi berhampiran MRT Aljunied lalu memasuki sebuah tandas. Di belakang salah sebuah pintu tandas tertera mesej yang berbunyi "perlukan wang tunai, sila hubungi nombor ini".

Fazly tidak tahu siapa yang menulis mesej itu mahupun pemilik nombor telefon yang tertera pada pintu itu, namun dia tetap menghubungi nombor berkenaan.

Seorang lelaki yang tidak dikenali menjawab panggilan tersebut dan Fazly bertanya jika dia boleh mendapatkan pinjaman. Apabila lelaki itu menjawab "ya", Fazly bertanya sama ada pinjaman itu sah atau haram, dan bertanya kepada lelaki itu di mana dia bekerja.

Lelaki yang tidak dikenali itu memberitahu Fazly bahawa tidak mungkin dia boleh mendapatkan pinjaman daripada bank jika pinjaman itu adalah haram.

Fazly setakat memikirkan untuk mendapatkan wang tunai dan maka itu tidak terlintas di fikirannya untuk mendapatkan nama lelaki itu, maklumat tempat kerjanya dan bagaimana lelaki itu boleh membantunya untuk mendapatkan pinjaman bank.

Fazly memberitahu lelaki itu menerusi panggilan telefon bahawa dia ingin memohon pinjaman bank antara S$5,000 dengan S$10,000. Dia percaya bahawa dia tidak layak mendapatkan pinjaman itu kerana gajinya terlalu rendah, namun dia tetap mahu mencuba nasib.

Lelaki itu menyuruh Fazly menghantar kepadanya gambar kad pengenalan serta nombor pin ATM POSB, laporan biro kredit, nombor akaun POSB, kata laluan dan kata kunci SingPass. Fazly menyerahkan kesemua maklumat itu kepadanya dan lelaki itu memberitahu Fazly bahawa permohonannya akan mengambil masa selama satu hingga dua minggu.

Fazly mendakwa bahawa dia kehilangan telefon bimbit yang digunakan untuk menelefon lelaki itu dan dia tidak lagi menghubungi individu itu tentang pinjaman tersebut kerana dia tidak ingat nombornya.

Pada 11 April 2019, Fazly memeriksa akaun Simpanan POSB dan mendapati bahawa dia menerima pinjaman S$11,400 dari DBS sebagai sebahagian daripada pinjaman DBS Cashline.

Dia menyedari bahawa jumlah pinjaman itu lebih tinggi daripada apa yang diminta dan dia percaya adalah mustahil bagi pihak bank untuk meminjamkan wang sebanyak itu kepadanya memandangkan gaji bulanannya rendah dan dia tidak mungkin layak untuk mendapatkan pinjaman tersebut.

Dia mengeluarkan keseluruhan jumlah itu dan menggunakannya untuk berjoli seperti untuk membeli makanan, mendapatkan khidmat urut dan layanan seks.

DBS BUAT ADUAN POLIS

Pada Mei 2019, seorang pegawai DBS membuat aduan polis sambil berkata bahawa terdapat lebih 150 permohonan bagi DBS Cashline yang dibuat menggunakan nama beberapa individu yang menggunakan salinan gaji dan dokumen gaji palsu.

Antara Mac 2019 dengan Mei 2019, DBS diperdaya untuk membayar S$1.89 juta bagi permohonan pinjaman Cashline yang palsu. Salah satu daripada permohonan ini dibuat di bawah nama Fazly dan Jabatan Ehwal Komersil (CAD) juga sudah menyiasat kesemua jenayah itu.

Siasatan mendapati bahawa permohonan pinjaman DBS Cashline itu diserahkan menggunakan nama Fazly pada 8 April 2019 berserta salinan gaji palsu.

Salinan gaji palsu itu mendakwa Fazly menerima gaji sebanyak S$4,660.50 dari sebuah syarikat bernama Presico Engineering dan DBS diperdaya untuk meluluskan pinjaman S$11,400 kepada akaun bank Fazly.

Fazly juga tidak membuat bayaran untuk melunaskan pinjaman itu. Sekitar S$300 diperolehi daripada akaun bank POSBnya namun baki S$11,000 masih tertunggak.

Timbalan Pendakwa Raya Stacey Anne Fernandez mengusulkan hukuman penjara enam bulan sambil berkata bahawa Fazly "menghabiskan wang itu untuk kegunaan peribadi".

Dia membelanjakan wang itu dalam tempoh yang singkat - wang pinjaman diluluskan pada 11 April 2019 dan dia diberkas pada 23 April 2019, katanya.

Fazly kini sedang menjalani hukuman penjara bagi kesalahan dadah dan dia meminta hukuman penjara yang baru itu dijalankan secara serentak. Hakim menegaskan bahawa hukuman itu adalah bagi kesalahan yang berbeza.

Dia akan mula menjalani hukuman penjara selama enam bulan apabila selesai menjalani hukuman penjara sekarang.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan