Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Gara-gara curi mainan seks, lelaki 52 tahun dijel seminggu

Seorang lelaki berusia 52 tahun yang mencuri mainan-mainan seks bernilai S$356 dari sebuah kedai di Chinatown, dijatuhi hukuman penjara hari ini (24 Jul).

Anggaran Waktu Membaca:
Gara-gara curi mainan seks, lelaki 52 tahun dijel seminggu

Tan Swee Peng curi tiga barang dari Casanova pada 22 Jul 2017. (Gambar: Google Maps)

Diterbitkan : 24 Jul 2018 02:16PM Dikemas Kini : 24 Jul 2018 02:20PM

SINGAPURA: Seorang lelaki berusia 52 tahun yang mencuri mainan-mainan seks bernilai S$356 dari sebuah kedai di Chinatown, dijatuhi hukuman penjara hari ini (24 Jul).

Tan Swee Peng berkunjung ke kedai Casanova di 84 Pagoda Street pada 22 Julai 2017.

Dia melihat-lihat di kedai itu pada sekitar 8.30 malam. Selepas memastikan tiada yang memerhatikannya, Tan membelakangi kaunter bayaran lalu meletakkan satu barang ke dalam beg plastik yang dibawa bersamanya. Dia kemudian memasukkan dua lagi barang lain.

Dia mengaku mencuri barang-barang itu ketika kakitangan kedai tersebut tidak menyedarinya.

Tan meninggalkan kedai itu dengan tiga barang yang semuanya mainan seks.

Tindakannya dirakam kamera litar tertutup dalam kedai itu.

Tan kembali ke kedai berkenaan pada keesokan harinya dan dikenal pasti seorang kakitangan kedai yang sebelum itu melihat rakaman CCTV.

Beliau segera menelefon polis. Tan diberkas dan barang-barang yang dicuri dirampas.

Tan mengaku bersalah atas dakwaan mencuri. Satu lagi tuduhan turut dipertimbangkan.

Pendakwaan hari ini (24 Jul) menggesa supaya Tan dipenjara selama empat minggu kerana dia sebelum ini terlibat dalam kes curi pada 2016.

Namun, peguam bela Tan mengatakan bahawa Tan sudah bercerai dan hidup sebumbung dengan abang serta ibunya yang sudah lanjut usia.

Tan tidak bekerja waktu itu dan menjalani rawatan di Institut Kesihatan Mental sejak 2014 bagi kecelaruan panik, kata Encik Rai.

Tan ditahan kerana mencuri pada 2016 dan disahkan mempunyai ciri-ciri kecelaruan personaliti.

Pada hari Tan melakukan kesalahan, dia mengalami serangan panik selepas keluarganya berleter tentang dirinya yang menganggur, kata Encik Rai.

Tan kemudian keluar untuk menenangkan dirinya dan berjalan lalu kedai seks berkenaan. Dia memasuki kedai kerana ingin tahu tentang apa yang dijual lalu melakukan kesalahan tersebut.

Encik Rai merayu supaya Tan tidak dijatuhi hukuman penjara melebihi dua atau tiga minggu kerana anak guamnya sudah mendapatkan pekerjaan sambilan di sebuah sekolah dan masih meneruskan rawatan bagi penyakit mentalnya.

Hakim Daerah Eddy Tan mengatakan bahawa serangan panik tidak menyebabkan Tan bertindak secara terpaksa.

"Saya percaya anda akan memberikan respons baik kepada kaunseling," kata hakim kepada Tan. "Saya akan menjatuhkan hukum tahanan selama seminggu. Saya percaya ia mencukupi untuk membuat anda sedar."

Atas kesalahan mencuri, Tan boleh dipenjara sehingga tujuh tahun dan didenda.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan