Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Gangguan, kekasaran terhadap jururawat 'menjijikkan dan tidak boleh diterima': Halimah Yacob

Kekasaran serta gangguan terhadap jururawat dan petugas jagaan kesihatan yang lain adalah satu perbuatan "menjijikkan dan tidak boleh diterima", kata Presiden Halimah Yacob pada Rabu (14 Jul).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 14 Jul 2021 08:44PM Dikemas Kini : 14 Jul 2021 08:54PM

SINGAPURA: Kekasaran serta gangguan terhadap jururawat dan petugas jagaan kesihatan yang lain adalah satu perbuatan "menjijikkan dan tidak boleh diterima", kata Presiden Halimah Yacob pada Rabu (14 Jul).

Menyifatkan jururawat sebagai "tulang belakang" sistem jagaan kesihatan Singapura, Puan Halimah berkata mereka memainkan peranan penting dalam peralihan Singapura untuk menjalani kehidupan seharian dengan COVID-19 sebagai penyakit endemik.

Sepanjang setahun setengah lalu adalah tempoh lebih mencabar bagi jururawat kerana pandemik, katanya.

"Sebagai petugas barisan hadapan, jururawat memikul sebahagian besar beban krisis pandemik. Saya bangga kerana jururawat kami bertindak dengan berani dalam menjalankan tugas masing-masing."

Mereka bekerja di bawah "tekanan yang tinggi", seringkali dalam keadaan yang sukar seperti waktu kerja yang panjang dalam pakaian perlindungan peribadi, katanya.

"Saya faham ada sesetengah daripada anda mengalami gangguan dan dilayan secara kasar oleh pelawat di hospital yang berasa marah dengan langkah-langkah COVID, seperti peraturan melawat yang lebih ketat atau perlu menjalani ujian rutin berjadual," kata Puan Halimah.

"Ini benar-benar menjijikkan dan tidak boleh diterima, kerana tidak ada sebab pun bagi sesiapa untuk meluahkan kemarahan mereka terhadap petugas jagaan kesihatan yang hanya menjalankan tugas mereka demi memastikan keselamatan semua orang."

Jururawat, seperti pekerja yang lain, berhak bekerja dalam sekitaran yang selamat, katanya.

"Saya menyeru semua orang supaya menghormati dan menyokong jururawat dan petugas jagaan kesihatan lain yang, meskipun berdepan risiko lebih tinggi terdedah kepada virus, terus tekun bekerja demi berkhidmat kepada orang lain."

Puan Halimah berucap di majlis maya Anugerah Presiden untuk Jururawat 2021, iaitu pengiktirafan tertinggi yang diberikan bagi kerjaya sebagai jururawat di Singapura.

Ramai jururawat bertugas lebih daripada yang ditetapkan pekerjaan mereka, memikul tanggungjawab baru dan bekerja di tempat seperti dormitori pekerja hijrahan serta pengasingan masyarakat dan kemudahan jagaan masyarakat, katanya. Ada juga yang menjalani latihan dan menyelia relawan di bawah insiatif SG Healthcare Corps.

"Kesungguhan dan daya ketahanan anda telah menyumbang besar kepada usaha membantu negara kita menangani pandemik," katanya.

Puan Halimah juga berkata bahawa jururawat terlibat secara aktif dalam program vaksinasi COVID-19 Singapura.

"Sedang Singapura bersiap sedia untuk menjalani kehidupan seharian dengan COVID-19 sebagai penyakit endemik, jururawat akan terus memainkan peranan penting dalam peralihan ini, dan memastikan rakyat Singapura kekal sihat."

Tahun ini, tujuh jururawat menerima anugerah itu, yang mengiktiraf jururawat yang memaparkan prestasi cemerlang secara berterusan dan menyumbang kepada penjagaan pesakit, pendidikan, kajian dan pentadbiran.

Mereka adalah:

- Dr Huang Fang, penolong pengarah kejururawatan Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK

- Cik Margaret Lee, ketua jururawat Hospital Alexandra

- Cik Katherine Leong, penolong pengarah kejururawatan di Institut Perubatan Kanak-Kanak Khoo Teck Puat - Hospital Universiti Nasional

- Cik Christina Lim, Ketua jururawat Hospital Besar Sengkang

- Cik Lim Voon Hooi, ketua jururawat Poliklinik Kumpulan Jagaan Kesihatan Nasional

- Dr Shefaly Shorey, penolong profesor di Pusat Alice Lee bagi Pengajian Kejururawatan di Sekolah Perubatan Yong Loo Lin

- Encik Christopher Soh, penolong pengarah kejururawatan Hospital Tan Tock Seng

Setiap seorang daripada mereka menerima trofi, sijil yang ditandatangani oleh Presiden serta hadiah wang tunai sebanyak S$10,000.

Semua jururawat berdaftar dari institusi penjagaan kesihatan dalam sektor awam, swasta dan jagaan masyarakat serta mereka daripada institusi pendidikan, layak bagi anugerah itu.

Mereka yang dicalonkan oleh institusi, orang awam atau teman kerja masing-masing akan ditemu bual oleh sebuah panel yang dipengerusikan oleh Dr Tan Wu Meng, yang memimpin Jawatankuasa Parlimen Pemerintah bagi Kesihatan.

Majlis maya pada petang tadi mengiktiraf sumbangan daripada penerima anugerah 2021 dan 2020, memandangkan majlis pada tahun lalu dibatalkan kerana pandemik COVID-19.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan