Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Gangguan bekalan elektrik di pejabat, stesen MRT di pusat bandar S'pura

Bekalan elektrik terputus di beberapa kawasan di pusat bandar Singapura petang tadi (14 Feb).

Anggaran Waktu Membaca:
Gangguan bekalan elektrik di pejabat, stesen MRT di pusat bandar S'pura

Para penumpang di stesen MRT Chinatown. (Gambar: Pembaca CNA)

Diterbitkan : 14 Feb 2019 04:27PM Dikemas Kini : 14 Feb 2019 04:30PM

SINGAPURA: Bekalan elektrik terputus di beberapa kawasan di pusat bandar Singapura petang tadi (14 Feb).

Gangguan bekalan elektrik dilaporkan di Bras Basah Complex, Odeon Towers dan beberapa stesen MRT pada sekitar 1.30 petang.

Encik Ho Shao Dong, yang berada di Bras Basah Complex semasa kejadian, berkata seluruh bangunan menjadi gelap kerana bekalan elektrik yang terputus.

Cik Vera Ang, yang bekerja di Wilby Central di Queens Street puka berkata lampu-lampu di pejabatnya mati "buat seketika" dan Wi-Fi tidak berfungsi.

"Seorang rakan kerja yang berada di kedai kopi di depan jalan yang sama berkata perkara yang sama berlaku di sana. Selepas itu, kami terdengar bunyi hon dan semboyan sedang trak bomba dipandu laju di jalan raya tersebut," katanya kepada Mediacorp.

Seorang penumpang yang hanya ingin dikenali sebagai Cik Ju berkata bekalan elektrik stesen MRT Boon Keng terputus apabila beliau memasuki stesen itu pada sekitar 1.25 petang. Beliau kemudian menaiki kereta api dan tiba di stesen MRT Dhoby Ghaut, yang juga mengalami gangguan bekalan elektrik. Namun, bekalan elektrik kembali seperti biasa selepas itu.

"Para penumpang di stesen MRT Dhoby Ghaut dinasihati supaya menggunakan tangga bergerak yang dimatikan kerana berlaku gangguan bekalan elektrik," katanya.

"Mereka juga memohon maaf atas kesulitan yang dihadapi para penumpang."

SBS Transit menyatakan tujuh stesen - HabourFront, Outram Park, Chinatown, Clarke Quay, Dhoby Ghaut, Boon Keng dan Potong Pasir - di Laluan Timur Laut (NEL) terjejas.

"Ini disebabkan gangguan pada rangkaian elektrik. Lampu-lampu kecemasan dihidupkan sepanjang bekalan elektrik terputus, iaitu selama sekurang-kurangnya 25 minit," kata Naib Presiden Kanan bagi Perhubungan Korporat SBS Transit, Cik Tammy Tan.

"Khidmat kereta api tidak terjejas dengan bekalan eletrik yang terputus."

(Gambar: Cik Ju)

(Gambar: Cik Ju)

SP Group menyatakan bahawa para pegawainya segera dikerahkan ke kawasan-kawasan terjejas.

"Keutamaan kami adalah untuk mengembalikan bekalan secara selamat dan secepat mungkin. Bekalan kembali seperti biasa di kebanyakan kawasan ini," menurutnya dalam satu catatan Facebook pada sekitar 2.30 petang.

"Kami masih menyiasat punca insiden."

Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) juga menyatakan bahawa ia memberikan respons kepada satu kebakaran di Hotel Carlton semasa insiden bekalan elektrik terputus.

Belum dapat dipastikan jika kedua-dua insiden itu berkaitan.

Hotel tersebut menyatakan bahawa kebakaran berlaku di bilik suis dan ia berjaya dipadamkan SCDF. Hampir 1,000 orang, termasuk para tetamu hotel dan pengunjung hotel terjejas.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan