Images
  • gan 12 feb
    Encik Gan Kim Yong di Parlimen pada 12 Feb (Gambar: Mediacorp)

Gan Kim Yong nafi MOH cuba tutup insiden pembocoran data HIV

SINGAPURA: Menteri Kesihatan Gan Kim Yong menolak dakwaan bahawa Kementerian Kesihatan (MOH) cuba "menutupi insiden pembocoran data HIV".

Encik Gan dalam kenyataan menterinya berkata asas keputusan dan tindakan MOH, terutama sekali dalam isu pendedahan dan pengumuman tentang insiden tersebut mengambil kira kepentingan mereka yang terjejas dan orang awam.

Beliau berkata sedemikian sebagai menjawab 10 soalan yang dikemukakan para Anggota Parlimen dalam sidang kali ini.

Status positif-HIV 14,200 orang serta maklumat sulit mereka dibocorkan secara online oleh seorang warga Amerika Mikhy K Farrera Borchez. MOH, yang mendedahkan hal tersebut bulan lalu, menyatakan bahawa akses kepada maklumat itu sudah disekat dan ia sedang bekerjasama dengan pihak lain untuk mengesan sebarang pembocoran data lain secara online.

Warga Amerika itu kini didakwa di Amerika Syarikat kerana cuba mencerobohi rumah ibunya di Clark County pada Dis lalu.

"SATU KEPUTUSAN SUKAR"

MOH pertama kali mempunyai bukti bahawa Brochez mungkin mempunyai akses kepada data sulit berkaitan HIV pada 2016, selepas dia memberi polis dan pihak berkuasa 75 nama dan butiran peribadi daripada Daftar HIV. Laporan polis kemudian dibuat.

Pendedahan itu dibuat selepas Brochez diberkas kerana berulang kali enggan mematuhi arahan MOH supaya mengambil ujian darah, kata Encik Gan.

Kementerian itu kemudian perlu memutuskan sama ada untuk memaklumkan mereka yang terjejas atau membuat pengumuman awam tentang insiden tersebut. Keputusan itu "bukanlah mudah", kata Encik Gan.

“Di satu pihak, MOH perlu telus," jelas beliau. "Di satu pihak lain, kami perlu memikirkan kesan pengumuman itu terhadap mereka yang menghidap HIV - adakah ia demi kepentingan mereka atau sebaliknya membebankan?"

Encik Gan berkata beliau membincangkan perkara itu dengan rakan-rakan sektor perubatan lain dalam kementerian, yang menekankan bahawa keprihatinan dan keperluan para pesakit HIV perlu diutamakan kerana status kesihatan "adalah urusan emosi dan peribadi".

Beliau menambah, salah satu faktor utama adalah tiada bukti bahawa maklumat sulit itu diedarkan kepada orang ramai. Brochez sudah menghantar maklumat kepada pihak berkuasa Pemerintah. Siasatan polis dilakukan "secara menyeluruh dan semua bahan berkaitan yang ditemui sudah dirampas atau dihapuskan."

MOH mempunyai alasan kukuh untuk mempercayai bahawa maklumat itu sudah terjamin dan risiko pembocoran lanjut "sudah dikawal dengan baik", katanya.

"Ia bukan satu keputusan yang mudah," kata Encik Gan.

"MOH ketika itu berpendapat bahawa satu pengumuman bukanlah sesuatu yang diinginkan para individu yang terjejas kerana menjangkakan mereka akan berasa resah dan tertekan."

Oleh itu mengapakah MOH memutuskan untuk mendedahkan insiden itu secara terbuka pada Jan tahun ini?

Encik Gan berkata, insiden terbaru ini "berlainan" daripada insiden-insiden sebelumnya kerana Brochez didapati masih mempunyai seluruh Daftar HIV yang melebihi 31 rekod. Brochez juga memuat naik maklumat itu secara online dan memberikan pautannya kepada sebuah pihak bukan pemerintah, tambahnya.

Ini bermakna, kemungkinan identiti para pesakit yang terjejas dibocorkan olehnya kepada orang ramai adalah "jauh lebih tinggi", kata Encik Gan.

MOH membuat pengumuman awam pada 28 Jan meskipun ia "kekal sangat prihatin" tentang kesan terhadap mereka yang terjejas, katanya. 

- CNA/AQ/tq

Top