Images
  • Singapore

Gaji permulaan median lebih tinggi bagi lulusan 2019: Tinjauan

SINGAPURA: Gaji bulanan kasar median bagi para lulusan dari tahun 2019 yang mendapatkan pekerjaan sepenuh masa telah meningkat, menurut satu tinjauan bersama mengenai pengambilan graduan hari ini (28 Feb).

Tinjauan itu melibatkan 11,400 graduan baru daripada program sepenuh masa di Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Universiti Nasional Singapura (NUS), Universiti Pengurusan Singapura (SMU) dan Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS).

Status pekerjaan para lulusan ditinjau pada 1 Nov 2019, kira-kira enam bulan sebelum mereka menamatkan peperiksaan akhir tahun mereka.

GAJI PERMULAAN MEDIAN LEBIH TINGGI

Secara purata, gaji bulanan kasar median para lulusan baru yang bekerja sepenuh masa dan secara tetap adalah S$3,600 pada 2019 - iaitu lebih tinggi berbanding S$3,500 pada 2018.

Para lulusan Teknologi Maklumat dan Digital mencatat gaji permulaan median tertinggi sebanyak S$4,400.

Tinjauan itu mendapati bahawa 90.7 peratus lulusan mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan setelah selesai peperiksaan akhir mereka, lebih tinggi berbanding 90.2 peratus pada 2018.

Kadar graduan yang mendapatkan pekerjaan sepenuh masa dan tetap juga meningkat kepada 81.7 peratus, berbanding 81.2 peratus pada 2018.

Kadar graduan yang melakukan pekerjaan bebas meningkat sebanyak 0.2 peratus kepada 2 peratus, manakala kadar yang bekerja sambilan atau kerja sementara merosot sedikit iaitu 0.2 peratus kepada 7 peratus pada 2019.

Para lulusan Teknologi Maklumat dan Digital, Perniagaan dan Sains Kesihatan mempunyai kadar pengambilan kerja yang tertinggi bagi pekerjaan sepenuh masa dan tetap.

Gaji bulanan kasar median telah meningkat bagi kesemua kelompok kursus pada 2019.

- CNA/NA/na

Top