Images
  • office workers
    (Gambar fail: TODAY)

Gaji pekerja S'pura diramal naik pada rentak lebih perlahan tahun depan

SINGAPURA: Gaji pekerja Singapura diramal akan meningkat lebih perlahan pada tahun depan berbanding tahun ini. Namun para pekerja setempat akan menikmati kenaikan gaji yang lebih baik berbanding rakan sekerja mereka di beberapa pasaran serantau, menurut dapatan satu laporan baru.

Laporan Trend Gaji yang diterbitkan pada Isnin (11 Nov) oleh firma data dan penyelidikan global ECA International, menunjukkan bahawa secara purata kenaikan gaji bagi pekerja rakyat Singapura pada 2020 dianggarkan sekitar 3 peratus - rendah sedikit berbanding 3.3 peratus pada tahun ini.

Kenaikan purata ini setelah mengambil kira kadar inflasi 1 peratus. Ia menjangkakan kenaikan gaji purata 4 peratus dari segi nilai dolar Singapura atau "nominal" namun kenaikan "sebenar" adalah 3 peratus kerana kos sara hidup dijangka meningkat 1 peratus.

Ramalan tersebut adalah berdasarkan data yang dikumpulkan pada Ogos dan September oleh ECA International daripada 307 syarikat berbilang negara yang merangkumi sektor-sektor utama di 68 negara, termasuk Singapura.

LEBIH BAIK BERBANDING SEBILANGAN PASARAN LAIN

Pengarah Rantau Asia di ECA International, Encik Lee Quane, berkata meskipun gaji di Singapura tumbuh lebih perlahan pada tahun depan, kenaikannya lebih besar berbanding pasaran-pasaran jiran seperti Hong Kong yang mencatat pertumbuhan sebenar sekitar 1.4 peratus, Taiwan dengan 2.6 peratus dan 1 peratus bagi Jepun.

Secara purata, kenaikan gaji sebenar di peringkat global bagi 2020 adalah sekitar 1.4 peratus.

Laporan itu juga mendapati bahawa negara-negara Asia mendahului dari segi kenaikan gaji, dengan 13 daripada 20 negara teratas yang mencatatkan kenaikan gaji terbesar adalah negara-negara dari Asia.

Menurut Encik Quane, secara purata kenaikan gaji sebenar di rantau Asia Pasifik adalah sekitar 3.2 peratus, jauh lebih tinggi berbanding purata global iaitu 1.4 peratus dan hampir dua kali ganda berbanding purata Eropah iaitu 1.1 peratus.

Namun tidak semua ekonomi Asia akan menikmati kenaikan gaji setelah mengambil kira inflasi.

Para pekerja di Malaysia misalnya akan menyaksikan kenaikan gaji merosot sebanyak 2.9 peratus pada 2020, berbanding 4 peratus tahun ini.

Hong Kong akan menyaksikan kenaikan gaji lebih tinggi pada tahun depan, namun ia tetap antara yang paling rendah di Asia.

Para pekerja di bandar itu boleh menjangkakan kenaikan gaji 1.4 peratus setelah mengambil kira ramalan inflasi 2.6 peratus, iaitu antara yang paling rendah di rantau ini.

- TODAY/TQ/tq

Top