Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Gaji minimum boleh sebabkan kadar pengambilan pekerja lebih rendah: Josephine Teo

Pelaksanaan gaji minimum di Singapura untuk menangani keprihatinan tentang ketidaksamaan mungkin akhirnya menyebabkan kadar pengambilan pekerja yang lebih rendah dan para pekerja mendapatkan pekerjaan secara haram, menurut Menteri Tenaga Manusia Josephine Teo pada Jumaat (26 Okt).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 26 Oct 2018 05:34PM Dikemas Kini : 26 Oct 2018 09:55PM

SINGAPURA: Pelaksanaan gaji minimum di Singapura untuk menangani keprihatinan tentang ketidaksamaan mungkin akhirnya menyebabkan kadar pengambilan pekerja yang lebih rendah dan para pekerja mendapatkan pekerjaan secara haram, menurut Menteri Tenaga Manusia Josephine Teo pada Jumaat (26 Okt).

Menyentuh tentang jurang taraf hidup masyarakat di dialog anjuran Institut Pengajian Dasar (IPS), Cik Teo berkata satu "kebimbangan besar" tentang ketidaksamaan adalah risiko golongan memerlukan semakin berakar-umbi dalam keluarga-keluarga susah di Singapura.

Demi mengatasi kebimbangan itu, terdapat gesaan dari beberapa pihak untuk melaksanakan gaji minimum "untuk meningkatkan kehidupan pekerja yang memerlukan," kata beliau.

Meskipun begitu Cik Teo, yang juga merupakan Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri berkata bahawa gaji minimum mungkin memaksa majikan "membayar gaji lebih tinggi daripada kadar pasaran bagi sesetengah pekerjaan". Ini akan mengakibatkan kesan "cukai", dengan pekerja bergaji paling rendah membawa "cukai" paling tinggi.

"Tidak semua majikan mahu mengambil pekerja pada kadar gaji ini yang mungkin menyebabkan kadar pengambilan pekerja lebih rendah. Demi memastikan mereka mendapat pekerjaan, para pekerja mungkin memilih untuk bekerja secara haram dengan bayaran gaji di bawah kadar minimum, sekaligus mendedahkan mereka kepada lebih risiko," kata beliau dalam ucapan pembukaan dialog tersebut.

Cik Teo menarik perhatian Pemerintah sebaliknya melaksanakan langkah seperti Tambahan Pendapatan Daya Kerja (WIS), sebuah skim yang menambah pendapatan para pekerja bergaji rendah, "lantas mencapai kesan sama seperti gaji minimum".

"Namun ada satu perbezaan penting - kosnya ditanggung Pemerintah, lantas tiada risiko menyebabkan pengangguran atau pengambilan pekerja secara haram."

Model Gaji Progresif (PWM) juga mungkin satu huraian lebih baik untuk meningkatkan gaji secara mampan, kata Cik Teo lagi.

“Tidak seperti gaji minimum yang menetapkan jumlah rendah, PWM menetapkan tangga kenaikan. Malah, ada empat tangga peningkatan yang saling berkait bagi kemahiran, pekerjaan, daya penghasilan dan gaji.

"Di bawah PWM, seorang pekerja boleh dibayar gaji lebih tinggi berdasarkan peningkatan kemahirannya, ruang lingkup kerja yang diperluas atau peningkatan daya penghasilan. Tangga peningkatan membuka laluan supaya pekerja tidak terus kekal menerima gaji minimum," tambah beliau.

Dialog di Marina Bay Sands itu diadakan bersempena ulang tahun IPS ke-30. 

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan