Images
  • youths polytechnic
    Golongan belia di sebuah institusi pendidikan. (Gambar: TODAY) 

Gaji lebih tinggi, prospek kerja lebih baik bagi lulusan politeknik pada 2018: Tinjauan

SINGAPURA: Para lulusan politeknik tahun lalu menyaksikan prospek pekerjaan lebih baik dan gaji lebih tinggi berbanding para pelajar dalam kohort 2017, menurut Tinjauan Pekerjaan Graduan yang dikeluarkan hari ini (15 Jan).

Sekitar 89.5 peratus lulusan politeknik mendapat pekerjaan sepenuh masa, sementara dan bebas dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian. Ini merupakan kenaikan 2.2 peratusan mata berbanding perangkaan pada 2017.

Tinjauan tersebut - yang dijalankan secara bersama oleh Politeknik Nanyang, Politeknik Republik, Politeknik Singapura dan Politeknik Temasek juga mendapati, di kalangan para lulusan yang berjaya mendapat pekerjaan sepenuh masa, gaji bulanan kasar median secara keseluruhan naik dari S$2,235 pada 2017 kepada S$2,350 pada 2018.

Seperti tahun-tahun sebelumnya, para pelajar yang lulus daripada pengajian sains kesihatan memperoleh gaji paling tinggi berbanding rakan-rakan mereka daripada kursus lain.


Data menunjukkan bahawa lulusan politeknik terus diambil bekerja oleh syarikat-syarikat, menurut politeknik-politeknik itu dalam satu kenyataan media.

Ia menambah, para pelajar lebih terbuka kepada pekerjaan sementara, sambilan dan bebas.

"Ini menunjukkan keiinginan lebih tinggi untuk melanjutkan pelajaran mereka serta pilihan pekerjaan yang berubah-ubah," kata seorang jurucakap jawatankuasa tinjauan itu.

"Berdasarkan trend-trend lalu, kebanyakan mereka yang mendapat pekerjaan sambilan/sementara beralih kepada pekerjaan sepenuh masa selepas itu. Data juga menunjukkan bahawa para lulusan kami menikmati pertumbuhan gaji baik sedang kadar pengambilan pekerja keseluruhannya kekal tinggi."  

- CNA/AQ/tq

Top