Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Gaji Kelayakan Pekerja Tempatan tidak akan dinaikkan lagi 'buat masa ini'; kenaikan gaji perlu ditampung sebaiknya

Gaji Kelayakan Pekerja Tempatan (LQS) tidak akan dinaikkan lagi "buat masa ini" dan kenaikan gaji akan ditampung secara mampan, kata Menteri Negara Kanan Tenaga Kerja Zaqy Mohamad pada Selasa (14 Sep).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 14 Sep 2021 07:22PM Dikemas Kini : 14 Sep 2021 10:02PM

SINGAPURA: Gaji Kelayakan Pekerja Tempatan (LQS) tidak akan dinaikkan lagi "buat masa ini" dan kenaikan gaji akan ditampung secara mampan, kata Menteri Negara Kanan Tenaga Kerja Zaqy Mohamad pada Selasa (14 Sep), sedang para Anggota Parlimen mengajukan pertanyaan mengenai pengumuman baru-baru ini untuk memperluaskan sokongan bagi pekerja bergaji rendah.

Menjawab pertanyaan para AP pemerintah dan pembangkang, Encik Zaqy berkata Kementerian Tenaga Manusia (MOM) akur bahawa syarat baru untuk firma-firma yang ingin menggajikan pekerja hijrahan, mereka terlebih dahulu perlu membayar gaji sekurang-kurangnya S$1,400 kepada para pekerja tempatan dan ia akan "meninggalkan kesan yang besar terhadap majikan" .

"Oleh itu, kami tidak merancang untuk menaikkan LQS buat masa ini, tetapi akan menumpukan perhatian kepada pelaksanaan peraturan-peraturan baru LQS, dan juga gaji progresif mengikut sektor dan pekerjaan lain untuk menetapkan tanda aras gaji yang relevan," jelas beliau.

LQS sudah disemak sebanyak empat kali dalam tempoh lima tahun yang lalu dan ia dinaikkan dari S$1,000 pada 2016, kepada S$1,400.

Perdana Menteri Lee Hsien Loong dalam ucapan Rapat Umum Hari Kebangsaan pada 29 Ogos berkata bahawa Model Gaji Progresif (PWM) dan langkah-langkah lain untuk menaikkan gaji pekerja bergaji rendah akan diperluaskan untuk merangkumi lebih ramai pekerja, meliputi lapan daripada setiap 10 pekerja bergaji rendah dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Pemerintah juga akan memperkenalkan syarat Gaji Kelayakan Pekerja Tempatan yang baru mulai September tahun depan. Para majikan perlu membayar gaji sekurang-kurangnya S$1,400 kepada semua pekerja tempatan sebelum mereka boleh menggajikan pekerja hijrahan.

Saranan-saranan itu adalah sebahagian daripada 18 usulan yang dibentangkan oleh Kumpulan Kerja Perikatan Tiga Pihak bagi Pekerja Bergaji Rendah, yang membentangkan laporannya pada bulan lalu. Pemerintah sudah menerima kesemua saranan yang dikemukakan.

PM Lee turut mengumumkan bahawa usia kelayakan bagi Tambahan Pendapatan Daya Kerja (WIS) akan diturunkan dari 35 kepada 30 tahun.

JANGAN "TUDUH FIRMA KAUT UNTUNG BERLEBIHAN"

Menjawab keprihatinan para AP mengenai sama ada para majikan akan mengambil kesempatan untuk menaikkan harga semata-mata untuk mewajarkan membayar gaji yang lebih tinggi, Encik Zaqy mengatakan bahawa dalam sektor khidmat makanan dan runcit, terdapat banyak syarikat yang bersaing, maka itu syarikat-syarikat perusahaan dijangka akan "memikirkan dengan teliti mengenai kenaikan kos".

"Adalah wajar untuk mengatakan bahawa kita harus menjangkakan sedikit sebanyak kenaikan kos untuk menampung gaji yang lebih tinggi bagi pekerja bergaji rendah. Di sinilah kita sebagai pengguna harus memainkan peranan kita dalam menyokong pekerja bergaji rendah," gesa Encik Zaqy.

"Oleh itu, saya berharap rakyat Singapura tidak akan menuduh sesetengah firma sengaja mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan yang berlebihan, sebaliknya marilah kita bersama-sama menangani kenaikan harga atau amalan harga yang tidak munasabah."

5.3% PEKERJA DIBAYAR GAJI KURANG S$1,400

Menjawab keprihatinan para AP, Encik Zaqy memberikan pecahan jumlah pekerja yang terjejas atau tidak diliputi di bawah langkah-langkah yang diumumkan itu.

Menurut Encik Zaqy, terdapat 103,000 pekerja sepenuh masa dalam kalangan penduduk tempatan yang membawa pulang gaji kasar kurang S$1,400 sebulan pada 2020, iaitu sekitar 5.3 peratus daripada jumlah penduduk tempatan yang bekerja sepenuh masa.

Dengan syarat baru LQS, sekitar 77 peratus daripada pekerja itu boleh menjangkakan gaji mereka akan meningkat kepada sekurang-kurangnya S$1,400 sebulan, dengan mereka di bawah model PWM boleh menjangkakan lebih tinggi.

Baki 23 peratus pekerja yang tidak diliputi di bawah inisiatif itu bertugas dalam syarikat-syarikat yang tidak menggajikan pekerja hijrahan. Kebanyakan syarikat itu "sangat kecil" dengan kurang 10 pekerja, termasuk gerai penjaja dan kedai-kedai di kawasan perumahan awam.

TAMBAT GAJI DENGAN KOS

AP Gerald Giam (WP - Aljunied) bertanya dalam soalan tambahannya sekiranya ia lebih baik untuk menambat gaji asas pekerja tempatan dengan purata perbelanjaan isi rumah bagi keperluan asas, yang juga S$1,400.

"Ini akan membolehkan gaji minimum meningkat seiring dengan kenaikan kos supaya pekerja bergaji rendah tidak akan terus terjejas dari semasa ke semasa," katanya.

Encik Zaqy menjawab bahawa MOM menggunakan panduan gaji progresif daripada Majlis Gaji Kebangsaan (NWC) kerana gaji seharusnya dapat terus ditampung dan "tidak dijadikan sebagai satu isu politik". NWC mengambil kira unjuran data, termasuk inflasi dan kesannya terhadap kos sara hidup, katanya lagi.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan