Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Gaji asas pekerja penyenggaraan sektor landskap dinaikkan mulai 2020

Mulai tahun 2020, gaji asas para pekerja penyenggaraan dalam sektor landskap akan dinaikkan.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 30 Nov 2018 08:34PM Dikemas Kini : 30 Nov 2018 09:51PM

SINGAPURA: Mulai tahun 2020, gaji asas para pekerja penyenggaraan dalam sektor landskap akan dinaikkan.

Pihak majikan juga diwajibkan memberi mereka bonus.
Pemerintah sudah menerima saranan-saranan untuk mengemaskini Model Gaji Progresif (PWM) bagi sektor itu.

Semakan itu dilakukan oleh Kelompok Perikatan Tiga Pihak bagi Industri Landskap (TCL).

Dianggarkan 3,000 rakyat dan Penduduk Tetap negara ini akan mendapat manfaat daripada perubahan tersebut.

Rundingan mengenai gaji para pekerja landskap itu berlangsung selama 10 bulan.

Hasilnya gaji asas para pekerja penyenggaraan dalam industri itu akan dinaikkan.

Perikatan Tiga Pihak bagi Industri Landskap (TCL) menyatakan perubahan itu akan dapat mengekalkan pekerja dengan lebih baik serta menggalak peningkatan kemahiran dan daya penghasilan.

Perubahan-perubahan yang disarankan termasuk penyesuaian tahunan kepada setiap tahap gaji asas bermula dari tahun 2020 hingga 2022.

Dari 2023 hingga 2025 pula, gaji tahunan akan dinaikkan sekurang-kurangnya 3 peratus.

Di samping itu, para pekerja juga akan menerima bonus tahunan sekurang-kurangnya dua minggu daripada gaji asas bulanan mereka.

Pada masa ini, tahap gaji asas bagi pakerja sektor itu antara $1,300 hingga ke $2,100 sebulan, bergantung kepada skop pekerjaan mereka.

"Sangat penting bagi jawatankuasa Perikatan Tiga Pihak untuk memastikan bahawa kita menyemak semula Model Gaji Progresif supaya pekerja-pekerja ini mempunyai kemahiran yang dikehendaki, supaya mereka dapat menikmati gaji yang lebih tinggi. Kita juga ingin memastikan bahawa pekerja-pekerja landskap diiktiraf atas sumbangan mereka dan kemahiran mereka," kata Penolong Setiausaha Agung NTUC, Encik Zainal Sapari.

Satu perjanjian ditandatangani antara pergerakan buruh dan pemain utama dalam industri ini bagi menyediakan pekerjaan dengan kemahiran yang betul.

"Kelompok tiga pihak untuk landskap juga ingin menyeru kepada pembeli-pembeli khidmat supaya bekerjasama dengan majikan-majikan landskap supaya mereka boleh mendapat khidmat landskap pada harga yang berpatutan dan juga memastikan bahawa pekerja-pekerja itu dapat gaji yang lebih baik supaya mereka lebih bermotivasi untuk meningkatkan daya penghasilan mereka," kata Encik Zainal lagi.

Landskap industri merupakan satu daripada empat sektor lain yang sudah menjalani PWM.
Tiga industri lain termasuk pembersihan, keselamatan dan sektor pembaikan lif. 

Sumber : CNA/UR/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan