Images
  • gading
    (Gambar: Nparks/Facebook)

Gading bernilai S$18 juta dimusnahkan; pusat baru sokong usaha S'pura banteras perdagangan haram hidupan liar

SINGAPURA: Sebanyak sembilan tan gading, bernilai S$18 juta akan dimusnahkan mulai Selasa (11 Ogos), sebagai tanda komitmen Singapura membanteras perdagangan haram hidupan liar, menurut Lembaga Taman Negara (NParks) dalam satu kenyataan media.

Rampasan itu adalah yang terbesar dimusnahkan di dunia sejak tahun-tahun kebelakangan ini. NParks menyatakan seluruh proses itu akan disiarkan secara langsung di laman Youtube NParksSG sempena memperingati Hari Gajah Sedunia pada 12 Ogos.

"Tindakan memusnahkan gading yang dirampas itu memastikan ia tidak memasuki semula pasaran dan akan membantu menyekat rantaian bekalan global perdagangan gading haram," menurut Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee, yang melancarkan acara memusnahkan gading itu pada Selasa.

"Ini memberi isyarat jelas kepada pemburu haram, penyeludup dan pedagang. Singapura komited untuk membanteras perdagangan haram hidupan liar yang bergerak melalui negara kita."

Singapura menandatangani Konvensyen mengenai Perdagangan Antarabangsa Spesies Flora dan Fauna Liar Terancam (CITES), yang melarang perdagangan gading di seluruh dunia. Bagaimanapun,negara ini juga merupakan salah satu tempat persinggahan utama bagi perdagangan gading haram.

PUSAT FORENSIK HIDUPAN LIAR PERTAMA S'PURA

NParks juga melancarkan pusat pertama Singapura bagi Forensik Hidupan Liar (CWF), yang bertujuan untuk mengukuhkan keupayaan dalam mengenal pasti dan meneliti spesimen-spesimen yang terlibat dalam perdagangan haram hidupan liar.

Pusat itu akan memberi tumpuan pada hidupan liar yang paling terjejas oleh perdagangan haram, seperti gajah, badak sumbu, tenggiling, ikan jerung dan pari serta burung kicauan.

Dengan bekerjasama dengan Pusat bagi Sains Haiwan dan Veterinar, CWF akan menjalankan forensik hidupan liar - menggunakan teknik-teknik DNA
dan kaedah diagnostik lain untuk mengumpul maklumat bagi membantu usaha penguatkuasaan sejagat terhadap kegiatan pemburuan dan perdagangan haram.

Pusat itu akan menyediakan lebih huraian dan penilaian lebih mendalam berkenaan barangan yang dirampas, seperti menentukan tempat asal spesies yang menjadi mangsa pemburuan haram itu, menurut NParks.

- CNA/NA/na

Top