Images
  • yale nus college
    (Gambar: Mediacorp)

Gabungan Yale-NUS, Program Sarjana Universiti tawar pendidikan lebih fleksibel, inklusif: Chan Chun Sing

SINGAPURA: Kolej sastera liberal baru Universiti Nasional Singapura (NUS) akan menawarkan pendidikan yang lebih fleksibel dan inklusif.

Kolej baru itu, yang diberikan nama sementara "New College', dibentuk hasil gabungan Kolej Yale-NUS dengan Program Sarjana Universiti (USP).

Menteri Pendidikan Chan Chun Sing berkata ia menandakan bab baru dalam pendidikan berbilang disiplin dan pengalaman pembelajaran berasaskan semangat ingin tahu siswa bagi universiti itu dan Singapura.

Mendedahkan demikian di Parlimen hari ini (13 Sep), Encik Chan berkata gabungan itu juga akan memastikan pendidikan sastera liberal di sini lebih dalam kemampuan pelajar.

Menurutnya kos pendidikan bagi seorang siswa Yale-NUS adalah lebih dua kali ganda berbanding siswa Fakulti Kesusasteraan atau Sains di NUS. Yuran tuisyen dan pendanaan pemerintah pula "lebih seganda".

"Apabila kami memutuskan untuk menubuhkan YNC (Kolej Yale-NUS) kami tahu bahawa ia akan menelan belanja yang besar," kata Encik Chan sebagai menjawab Anggota Parlimen.

"Namun kami menerimanya kerana kami melihat nilai dalam mempunyai kolej seni liberal dalam sistem pendidikan pengajian tinggi," katanya di Parlimen.

Kolej itu berharap dapat mengumpulkan lebih S$300 juta untuk mencapai saiz dana endowmen sebanyak sekitar S$1 bilion dengan tokokan pemerintah serta hasil pulangan pelaburan, katanya.

"Ini kemudian akan mengurangkan beban terhadap pendapatan yuran operasi tahunan dan subsidi pemerintah," kata Encik Chan.

"YNC sudah melakukan sedaya upaya untuk mengumpul dana, namun bukan atas sebab kesilapannya ia tidak dapat mencapai sasaran tersebut.

"Dengan beralih ke kolej yang baru ini akan memberikan kami skala ekonomi dan sedikit sebanyak mengurangkan kos."

"Ini adalah pertimbangan penting namun bukan dorongan utama di sebalik perubahan itu."

MOE KOMITED BERI SOKONGAN KEPADA KOLEJ BARU

Kolej baru itu akan menawarkan program yang lebih meluas dan terkhusus kerana lebih bersepadu dengan NUS terutama dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), katanya.

"Siswa NUS juga akan dapat meraih manfaat daripada dan mendapat akses kepada kemudahan, sumber dan masyarakat kolej baru itu."

Kementerian Pendidikan (MOE) kata Encik Chan juga "komited" untuk memberi sokongan kepada kolej baru itu.

"Kami menjangkakan yuran tuisyen dan kos bagi setiap pelajar lebih rendah berbanding dengan YNC, sejajar dengan wawasan kolej baru itu menyediakan model pendidikan yang lebih inklusif, dimampui dan mudah akses," katanya.

BAGAIMANA KEPUTUSAN DICAPAI

Encik Chan juga menjawab keprihatinan tentang bagaimana keputusan itu dicapai dan sebab mahasiswa dan kakitangan Yale-NUS tidak disertakan dalam proses itu.

"NUS tidak berbuat demikian kerana keputusan tersebut melibatkan perbincangan antara kepimpinan kanan kedua-dua universiti dan lembaga masing-masing berhubung isu-isu strategi dan kewangan yang sensitif," katanya.

Pembukaan kolej baru itu adalah "langkah penting" yang mempunyai kesan terhadap ramai pihak berkepentingan termasuk mahasiwa Yale-NUS, ibu bapa, fakulti dan kakitangan, kata Encik Chan.

NUS kata beliau mengadakan perbincangan dengan Universiti Yale pada awal Julai.

"Yale akur dengan wawasan NUS untuk menggabungkan kedua-dua YNC dan USP menjadi sebuah kolej yang tidak akan membawa nama Yale," katanya.

Kepimpinan Yale-NUS dimaklumkan pada bulan yang sama, kata Encik Chan. Lembaga Pemegang Amanah NUS menyokong keputusan itu pada awal Ogos dan Lembaga Pentadbiran Kolej Yale-NUS menyokong pelan peralihan itu pada lewat Ogos.

Pengumuman pertama kepada orang awam dibuat pada 27 Ogos.

Pada Julai, waktu pengumuman turut dibincangkan bersama Yale dan "ditetapkan bersama", kata Encik Chan.

Mahasiswa yang diterima di Yale-NUS awal Ogos menjadi kohort terakhirnya dengan kolej baru dibuka pada Ogos tahun depan. .

Beliau juga menjawab keprihatinan tentang bagaimana langkah itu akan menjejas kedudukan ijazah Yale-NUS serta kesan gabungan itu kepada mahasiswa dan kakitangan sedia ada.

Semua mahasiswa sekarang akan menerima ijazah sama seperti kohort sebelumnya - ijazah Yale-NUS yang dikeluarkan NUS, kata Encik Chan.

Selepas 2025, NUS akan terus menyediakan "dokumen sokongan" untuk menjelaskan konteks Yale-NUS dan maksud di sebalik ijazah yang diberikan serta surat rekomendasi jika diperlukan oleh alumni, katanya. 

- CNA/HA/ha

Top