Images
  • jamiyah food bank
    Food Bank Jamiyah Singapura

FOKUS: Sifat ihsan, rahmah masyarakat Singapura Kita

BERITAmediacorp: Jumlah penerima agihan makanan dari Jamiyah Singapura bertambah 60 peratus atau lebih 1,400 keluarga sejak inisiatif bank makanannya dilancarkan dua tahun lalu.

Dalam usaha meningkatkan khidmatnya kepada masyarakat, pasukan Jamiyah membuat lawatan belajar ke Kanada baru-baru ini.

BERITAmediacorp mengikuti lawatan itu dan mengupas sifat ihsan dan rahmah masyarakat Singapura Kita dalam laporan khas kedua siri FOKUS.

LONJAKAN 60% PENERIMA BANTUAN

Jamiyah Singapura sudah menyediakan sumbangan bekalan makanan sejak 1974. Bagi memenuhi permintaan yang meningkat dari golongan memerlukan, Jamiyah menjadi pertubuhan Melayu/Islam pertama untuk menubuhkan sebuah bank makanan.

Dilancarkan pada 2017 di Tannery Lane, ia menyaksikan jumlah penerima meningkat hampir 60 peratus kepada lebih 3,800 keluarga sekarang.

Komited untuk memperdalam pengetahuannya dalam pengendalian bank makanan, ia mengadakan misi ke The Mississauga Food Bank di Ontario, Kanada baru-baru ini.

"Lawatan kami ini ialah kali ketiga, pada tahun 2014 dan kemudian 2015. Selepas dua lawatan itu, kami berjaya menghasilkan Food Bank kami sendiri di Jamiyah, (berdasarkan) model Mississauga Food Bank di sini," kongsi Setiausaha Agung Jamiyah, Jaffar Mydin kepada BERITAmediacorp.


"Dari lawatan ketiga ini, kami dapat lagi belajar cara-cara baru, elemen-elemen baru seperti akuaponik dan juga ciri-ciri operasi mereka yang kami dapat meningkatkan khidmat kami untuk meluaskan lagi bantuan kepada masyarakat di Singapura."

BANK MAKANAN AKUAPONIK PERTAMA KANADA

Badan The Mississauga Food Bank menjalankan lebih 500 usaha mengumpul dan mengagihkan sehingga 2.9 juta bungkusan makanan kepada 20,000 penerima dalam setahun.

Untuk menghasilkan makanan segar kepada golongan memerlukan, ia juga menubuhkan sebuah bank makanan akuaponik.


Kaedah akuaponik merupakan gabungan antara akuakultur iaitu ternakan ikan air tawar dan hidroponik, kaedah tanaman berasaskan air.

Dengan menerapkan sistem akuaponik, ia dapat menghasilkan tanaman dan ternakan lebih berkesan kerana sisa ikan mampu menghasilkan makanan organik bagi tumbuh-tumbuhan atau sayur-sayuran seperti bak choy, bayam dan sebagainya.

Secara semula jadi tumbuh-tumbuhan itu akan menyaringkan air bagi ikan.

RELAWAN TERAS KEJAYAAN FOOD BANK MISSISSAUGA

Kecekapan The Mississauga Food Bank bukan setakat terletak pada operasinya sahaja, tetapi lebih penting lagi adalah keringat 5,000 orang sukarelawannya yang terdiri dari pelbagai latar belakang.

"Kami belajar ke mana makanan ini disalurkan, bagaimana ia membantu orang dan juga pengalaman dari membantu," kongsi seorang relawan.

Seorang lagi sukarelawan pula berkata: "Ada lebih banyak orang memerlukan dari yang saya sangkakan sebelum saya menjadi sukarelawan di sini dan baik untuk membantu mereka."


Sifat ihsan dan rahmah jelas sebati dalam masyarakat Kanada, maka itu tidak hairanlah ia tersenarai sebagai antara 10 negara paling prihatin terhadap kerja-kerja sukarela.

Ini sekali gus mengundang persoalan sejauh mana masyarakat Singapura benar-benar prihatin terhadap usaha amal?

"Kita dapat barang-barang dari masyarakat ataupun korporat yang sumbang terlalu banyak. Tapi kita harus memikirkan cara yang terbaik untuk kita agihkan barang-barang ini secepat mungkin," kata Encik Jaffar.

"Kami berharap dapat bekerjasama dengan agensi-agensi lain di Singapura dan mereka bekerjasama dengan kami untuk meluaskan khidmat kami kepada masyarakat."

Sementara itu, pihak The Mississauga Food Bank pula memuji kesanggupan badan seperti Jamiyah untuk terbang jauh demi meningkatkan mutu khidmat mereka, yang dikatakan adalah membayangkan "tahap keprihatinan terhadap masyarakat".

"Kami berbesar hati dengan kedatangan Jamiyah ke sini. Ini menonjolkan kepimpinan, inisiatif dari segi mendapatkan idea dan bekerjasama untuk meningkatkan khidmat mereka di Singapura. Pertubuhan Jamiyah ini jelas menunjukkan mereka prihatin terhadap masyarakat," kongsi penyelaras sukarelawan, Julia Depaz.

Ternyata, perjalanan untuk meningkatkan inisiatif bank makanan di Singapura masih lagi panjang, namun usaha murni yang dijalankan badan amal Jamiyah ini boleh menjadi pemangkin ke arah memupuk masyarakat ihsan dan rahmah. 

LAPORAN BERKAITAN:

- BERITAmediacorp/tq

Top