Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Fokus lebih khusus tentang ASEAN dalam sukatan pelajaran sekolah menengah, pengajian tinggi

Para pelajar boleh mempelajari lebih lanjut tentang Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) di sekolah sedang Kementerian Pendidikan (MOE) berusaha untuk meningkatkan pemahaman pelajar tentang Asia.

Anggaran Waktu Membaca:
Fokus lebih khusus tentang ASEAN dalam sukatan pelajaran sekolah menengah, pengajian tinggi

Gambar fail pelajar sekolah menengah di Singapura.

Diterbitkan : 04 Mar 2020 02:17PM Dikemas Kini : 04 Mar 2020 02:23PM

SINGAPURA: Para pelajar boleh mempelajari lebih lanjut tentang Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) di sekolah sedang Kementerian Pendidikan (MOE) berusaha untuk meningkatkan pemahaman pelajar tentang Asia.

Langkah itu diumumkan oleh Menteri Pendidikan Ong Ye Kung semasa Dewan membahaskan peruntukan bagi kementeriannya di Parlimen pada Rabu (4 Mac).

Asia Tenggara adalah salah sebuah rantau yang paling pesat berkembang di dunia, kata Encik Ong, dan syarikat-syarikat perusahaan yang berpangkalan di Singapura perlu menebarkan sayap menjangkaui rantau ini untuk mengecapi kejayaan.

Oleh demikian, MOE akan mempertingkatkan kandungan dan liputan negara-negara ASEAN dalam subjek seperti ilmu kemanusiaan di peringkat sekolah menengah dan prauniversiti untuk membantu para pelajar memahami hubungan Singapura dengan ASEAN dalam bidang-bidang seperti ekonomi dan geopolitik.

Ini termasuk subjek-subjek bagi seluruh kohort seperti pengajian sosial dan subjek-subjek elektif seperti geografi dan sejarah.

Peningkatan kurikulum akan dilaksanakan seperti berikut:

2021:

  • Peringkat sekolah menengah rendah bagi geografi, sejarah dan pengajian sosial

2022:

  • Peringkat sekolah menengah atas bagi sejarah dan pengajian sosial
  • Ekonomi prauniversiti

2023:

  • Peringkat prauniversiti bagi sejarah dan geografi

PEMBELAJARAN BAHASA ASIA

Secara berasingan, pelajar-pelajar di peringkat prauniversiti akan ditawarkan lebih banyak peluang untuk belajar bahasa perbualan yang berguna bagi lawatan ke negara-negara ASEAN.

Ini termasuk komponen selama 10 jam di mana para pelajar berpeluang mempelajari budaya dan bahasa sesebuah negara sebagai sebahagian daripada persiapan mereka sebelum melakukan lawatan. Program ini akan dimulakan dengan bahasa Thai dan Vietnam.

Bagi para penuntut di institusi-institusi pengajian tinggi pula, pihak-pihak universiti dan politeknik akan meningkatkan peluang untuk para penuntut dan mahasiswa mendapatkan pendedahan di luar negara, khususnya di China, India atau ASEAN.

Meskipun lawatan ke luar negara perlu ditangguhkan buat masa ini disebabkan oleh penularan virus COVID-19, krisis itu lambat laun akan berakhir, kata Encik Ong.

Pada masa akan datang, 70 peratus pelajar di sini yang mendaftar di institusi-institusi pengajian tinggi akan mengambil bahagian dalam program pendedahan luar negara dan 70 peratus pelajar ini akan mendapat pendedahan di destinasi-destinasi terpilih di Asia.

"DAYA SAING SEMULA JADI"

Buat masa ini, sekitar satu daripada setiap dua pelajar mahupun mahasiswa universiti dan politeknik mengambil bahagian dalam program pendedahan luar negara dan lebih 50 peratus daripada program tersebut adalah ke India, China dan ASEAN, menurut MOE.

Bagaimanapun kementerian tersebut enggan memberikan pecahan mengikut institusi bagi bilangan pelajar yang mengambil bahagian dalam program tersebut dan berapa banyak program yang melibatkan lawatan ke India, China dan ASEAN yang ditawarkan oleh setiap institusi.

"Kami akan menganjurkan lebih banyak lawatan ke negara-negara Asia dan menggalak pelajar untuk mengambil bahagian. Para pelajar dari Barat berpusu-pusu ke sini untuk belajar tentang Asia kerana ia adalah rantau yang kaya dengan budaya.

"Pelajar kita juga harus berbuat demikian. Ini adalah kampung halaman kita sendiri dan di sini kita mempunyai daya saing semula jadi," kata Encik Ong.

Sumber : Today/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan