Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

FOKUS: Ciri-ciri unik orang Singapura... kiasu? gemar makan?

Jika anda diminta memilih perkataan atau ungkapan untuk menggambarkan ciri-ciri unik orang Singapura, apa agaknya jawapan anda?

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Jika anda diminta memilih perkataan atau ungkapan untuk menggambarkan ciri-ciri unik orang Singapura, apa agaknya jawapan anda?

Itulah soalan yang kami ajukan kepada 200 orang responden dalam satu tinjauan rambang untuk mendengar suara-suara masyarakat bagi siri mingguan FOKUS bertemakan "Singapura Kita."

SIKAP KIASU DISEBUT HAMPIR SEPARUH RESPONDEN!

Selepas 54 tahun merdeka dan hidup bersama, Singapura dan rakyatnya yang berbilang kaum dan agama, semestinya juga sudah membina keperibadian tersendiri.

Secara umumnya, kata-kata bernada positif diberikan orang asing mahupun penduduk tempatan tentang ciri orang Singapura.

Namun, setelah kami congak-congak dan teliti maklum balas para responden, ternyata satu ciri orang Singapura yang paling banyak disebut ialah ciri 'kiasu' - iaitu 42 peratus daripada jumlah responden.

Seramai 30 peratus responden pula menyebutkan penggunaan 'Singlish' sebagai ciri-ciri orang Singapura. 'Sifat gemar makan' pula jatuh di tempat ketiga dengan sebanyak 26 peratus responden.

Justeru, apakah sebabnya orang Singapura dilabel sebagai kiasu?

Menurut seorang anak muda, Anis Ab Ghapar, sikap kiasu itu timbul daripada 'semangat tidak mahu kalah' dalam kalangan penduduk Singapura.

"Semua benda kita lakukan kita hendak menang. Jadi sebab itu kita berikan yang terbaik dan menghasilkan keputusan dan kerja yang bermutu tinggi," kata beliau.

"Semangat tidak mahu kalah" orang Singapura juga dimanifestasikan dalam kehidupan harian kita, misalnya, ketika beratur di tempat-tempat awam.

"Kita selalu ingin berada di tempat pertama apabila beratur, kita akan berebut untuk mendapatkan barangan," kata Ashik.

BURUK BAIK SIFAT KIASU KEPADA MASYARAKAT

Menurut pakar sosiologi Dr Tan Ern Ser, jika difikir-fikirkan kiasu adalah tentang penakatan diri.

Mentelah lagi, begitulah permulaan Singapura, yang selepas berpisah daripada Malaysia dan pengunduran tentera Britain, perlu berjuang untuk bertakat, untuk hidup dan untuk bersaing.

"Dalam persaingan kita mahu berada di hadapan, kita mahu menjadi lebih produktif, lebih inovatif. Jika kita tidak berada di hadapan, anda mungkin ketinggalan dan mungkin tidak dapat bertakat.

Berdasarkan suara-suara anggota masyarakat yang kami dengarkan ini, memang sikap kiasu seakan sudah sebati dengan orang Singapura.

Sememangnya, kata Dr Tan, sikap kiasu mempunyai dua wajah - satu yang baik dan satu lagi yang kurang molek.

"Sebagai sebuah masyarakat, kita harus tumpukan pada aspek-aspek positif, seperti mahu menjadi lebih inovatif, produktif, perkara-perkara yang akan memanfaatkan ekonomi dan masyarakat Singapura.

"Kita mungkin perlu kurangkan aspek individualisme dan sebaliknya menumpukan pada aspek kolektif dan kebangsaan," kata Dr Tan.

Pastinya, ciri-ciri unik ini yang menyatukan kita sebagai rakyat Singapura. 

Sumber : BERITA Mediacorp/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan