Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

FOKUS: Apakah ciri-ciri yang membentuk identiti 'Wanita Melayu S'pura'?

Sekiranya anda ditanya, apakah ciri-ciri yang membentuk identiti wanita Melayu Singapura, apa agaknya jawapan anda? Dalam bahagian ketujuh dan terakhir siri mingguan FOKUS yang bertemakan 'Singapura Kita', BERITAmediacorp keluar bertemu dengan lebih 60 orang wanita untuk merisik pandangan mereka.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Sekiranya anda ditanya, apakah ciri-ciri yang membentuk identiti wanita Melayu Singapura, apa agaknya jawapan anda?

Sebenarnya apa dan siapa dia ‘wajah' wanita Melayu Singapura?

Dalam bahagian ketujuh dan terakhir siri mingguan FOKUS yang bertemakan 'Singapura Kita', BERITAmediacorp keluar bertemu dengan lebih 60 orang wanita daripada pelbagai lapisan masyarakat untuk merisik jawapan mereka kepada persoalan tersebut.

PELBAGAI JAWAPAN

Sebagai sebuah masyarakat di negara yang cukup kosmopolitan dan moden, orang-orang Melayu Singapura boleh dianggap sebagai berdaya bingkas, berinovasi dan berwawasan.

Menurut Perdana Menteri Lee Hsien Loong dalam Rapat Umum Hari Kebangsaan 2019 bulan lalu, masyarakat Melayu Singapura hari ini berkembang maju seiring dengan pembangunan negara setelah 54 tahun Singapura merdeka.

Kami turun padang bertemu orang ramai untuk mendengar dari mulut mereka sendiri, apa dia 'wajah’ wanita Melayu Singapura dan jawapannya cukup menarik!

Ini antara jawapan spontan daripada mulut wanita-wanita Melayu sendiri apabila soalan 'apakah ciri-ciri wanita Melayu Singapura' diajukan kepada mereka:

"Wanita Melayu Singapura kini lebih kuat, berdikari," kata Shikin seorang pegawai perkhidmatan pelanggan.

"Saya rasa wanita Melayu Singapura ini amat moden," kongsi Amirah Raihanah Samsir.

Bagi Nurul Aini pula, beliau seorang wanita Melayu yang "takkan tinggalkan agama semata-mata untuk kerjaya". Sementara Ily Iman Samsuddin berpendapat bahawa wanita Melayu kini mampu "mengimbangi kerja dan kerja rumah".

Ada juga yang lebih yakin untuk menzahirkan hakikat tentang sumbangan kaum wanita dalam membangun negara.

"Sebagai wanita Melayu Singapura saya rasa kita sama-sama membangun untuk negara ini bersama dengan rakyat lelaki," luah Rubinah Karyeo, seorang pegawai perkhidmatan pelanggan, kepada BERITAmediacorp.

BEBAS DARI 'MINDA TERTAWAN'

Jelas dari luahan-luahan tersebut, ciri yakin diri wanita Melayu begitu menyerlah sehingga ada yang melihat diri mereka setaraf dengan wanita lain di negara-negara dunia pertama.

Semestinya ini mencerminkan bahawa mereka juga bebas daripada belenggu ‘minda tertawan’ atau dijajah.

"Itu adalah sesuatu yang membanggakan bagi masyarakat Singapura dan saya tidak rasa diri saya lain seperti wanita-wanita lain, Amerika, Perancis dan juga wanita Rusia," kongsi Anis Ab Ghapar, yang berkerja sebagai seorang pegawai ekesekutif di salah sebuah syarikat komunikasi.

Seorang lagi wanita Melayu Nur Athirah turut menyampaikan pandangan yang serupa dengan berkata bahawa wanita Melayu kini tidak takut untuk "keluar dan melawan stereotaip di luar sana".

75% PILIH PENDIDIKAN

Kesemuanya sekitar 60 wanita Melayu dari pelbagai lapisan kami dekati untuk mendengar suara dan jiwa mereka.

Setelah kami amati kerencaman jawapan-jawapan dan maklum balas mereka, kami mendapati bahawa 75% daripada mereka sebenarnya bersetuju bahawa ciri “Pendidikan” adalah ciri terpenting yang membentuk identiti mereka.

Cik Sue Hudojo misalnya menarik perhatian tentang fakta bahawa rata-rata semua wanita Melayu ada pelajaran, sekali gus menjadi suatu penanda identiti.

"Bagi saya pendidikan memberdayakan dan memperkasakan wanita Melayu Singapura kerana bukan sahaja ia mendedahkan kita kepada perkara-perkara yang mungkin kita tidak mengetahui sekiranya kita tidak masuk ke pendidikan formal, tapi ia juga akan menaikkan taraf pekerjaan kita di masa hadapan," kata seorang mahasiswa Universiti Nasional Singapura (NUS), Nur Hikmah Md Ali.

Seorang lagi mahasiswa tahun empat, Izzah Hafizah Omar menjelaskan bahawa memang agama itu ciri penting. Namun hujah beliau, pendidikanlah yang "membentuk identiti saya sebagai seorang wanita".

Menurut rakannya pula, Fatimah Khalid, tanpa pendidikan, wanita hari ini tidak boleh maju atau mendapat peluang-peluang pekerjaan yang selayaknya.

LEBIH RAMAI WANITA MELAYU 'KELAS PERTAMA'

Sememangnya, golongan wanita Melayu Singapura terus berjaya dalam pendidikan. Misalnya, pada tahun lalu, lebih 70 pelajar Melayu lulus dengan Ijazah Kepujian Kelas Pertama dan dijulang dengan Anugerah tertinggi MENDAKI.

Namun lebih menarik lagi, hampir separuh penerimanya adalah wanita Melayu!

Pada tahun 2007, hanya dua daripada tujuh lulusan Melayu/Islam dengan Ijazah Kepujian Kelas Pertama dan menerima Anugerah tertinggi MENDAKI, adalah wanita.

Jelas, pendidikan adalah anak kunci yang mengupaya wanita Melayu Singapura.

CONTOH WANITA MELAYU SG HARI INI

Bagi meneroka dengan lebih mendalam tentang keperibadian wanita hari ini, BERITAmediacorp bertemu dengan seorang wanita Melayu 'teladan'.

Cik Ramona Kamis berusia 48 tahun dan merupakan seorang ibu tiga orang anak. tapi beliau juga dengan sukarela mengambil tanggungjawab menjaga lagi tiga orang anak titipan.

Bukan itu sahaja, Cik Ramona yang bekerja sebagai seorang guru sepenuh masa, juga berjiwa masyarakat.

Sejak lima tahun yang lalu, beliau memasak dan memberikan makanan 'panas-panas' kepada keluarga-keluarga memerlukan - tidak kira bangsa dan agama - pada setiap hari Jumaat.

Malah, anak-anak daripada keluarga tersebut juga akan diberikan 'kelas percuma' pada hujung minggu, yang mana beliau akan mengajar mereka subjek-subjek seperti matematik dan bahasa Inggeris.

Sungguhpun sibuk dengan pelbagai tugas sama ada di rumah, di tempat kerja ataupun dengan kerja-kerja kebajikan, Cik Ramona masih mengenepikan masa untuk pendidikan dirinya.

Ini kerana pada malam hari pula beliau akan menjadi seorang pelajar NTU (Universiti Teknologi Nanyang), kerana beliau kini melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana dalam bidang kesusasteraan Inggeris. Suatu bukti betapa wanita Melayu ini cukup mementingkan pendidikan.

Malah Cik Ramona percaya bahawa kesedaran, tanggungjawab dan peranan-peranan yang dipikulnya hari ini semuanya adalah hasil cernaan pendidikan tinggi yang diraihnya sekitar 20 tahun yang lalu.

"Pendidikan untuk kaum wanita sekarang memang amat penting. Ada banyak-banyak sebab. Ia akan membuka banyak pintu untuk mereka, banyak peluang. Ia juga baik untuk minda mereka," tekan beliau.

PENDIDIKAN - TIANG WANITA MELAYU SINGAPURA

Ciri-ciri yang membentuk wanita Melayu Singapura merupakan antara topik yang dibahaskan dalam dua modul yang diajar Dr Suriani Suratman, pensyarah dan Timbalan Ketua di Jabatan Pengajian Melayu Universiti Nasional Singapura (NUS).

Dr Suriani menjelaskan bahawa pendidikan sebagai 'cultural capital' (modal budaya) merupakan satu penanda sosial untuk membezakan seseorang dari kelas menengah dan dari kelas pekerja.

"Jadi, bila wanita menggunakan pendidikan atau memberi kepentingan kepada pendidikan sebagai penanda identiti mereka, mereka ini menyatakan bahawa mereka itu moden dan mereka juga ingin meningkatkan tahap sosial mereka," tekan Dr Suriani.

Menurut Dr Suriani lagi persoalan tentang identiti juga mempunyai kaitan rapat dengan aspek konteks masyarakat, ekonomi dan politik semasa. Ini juga bermakna bahawa ciri-ciri yang diungkap wanita-wanita yang ditemui kami boleh bertukar pada masa hadapan.

Namun, Dr Suriani menarik perhatian bahawa pendidikan buat setakat ini dipilih sebagai penanda utama kerana penekanan Pemerintah hari ini yang memberatkan dan mengutamakan pendidikan.

Hasilnya, kaum wanita meraih manfaat daripada keutamaan itu dan sekali gus menjadikan faktor tersebut sebagai "kunci"bagi mobiliti sosial mereka.

Jadi mungkin boleh dirumuskan, bahawa jika pemudi sering dikatakan sebagai tiang negara, semestinya “Pendidikan”lah tiang yang mencorak wanita Melayu Singapura sekali gus membentuk 'Singapura Kita' sekarang ini.

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan