Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Firma S'pura rancang pasang 10,000 tempat cas kenderaan elektrik menjelang 2030

Sebuah firma tempatan menyasarkan untuk memasang 10,000 tempat cas kenderaan elektrik (EV) di merata Singapura dalam tempoh sedekad akan datang, menjadikannya penyedia pengecas EV terbesar di negara ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Firma S'pura rancang pasang 10,000 tempat cas kenderaan elektrik menjelang 2030

Pengecas kenderaan elektrik (EV) oleh syarikat tempatan Charge+ (Gambar: Charge+)

Diterbitkan : 29 Sep 2020 04:28PM Dikemas Kini : 29 Sep 2020 04:36PM

SINGAPURA: Sebuah firma tempatan menyasarkan untuk memasang 10,000 tempat cas kenderaan elektrik (EV) di merata Singapura dalam tempoh sedekad akan datang, menjadikannya penyedia pengecas EV terbesar di negara ini.

Charge+ mengumumkan pada Selasa (29 Sep) bahawa pihaknya merancang untuk memasang tempat pengecas di estet-estet perumahan awam dan pembangunan privet seperti kondominium, serta di bangunan-bangunan komersial dan perindustrian.

Pengumuman itu dibuat selepas Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat pada Februari mengumumkan bahawa Singapura bercadang untuk menghentikan penjualan kenderaan enjin pembakaran dalaman menjelang 2040.

Encik Heng juga berkata ketika itu bahawa pihak berkuasa menyasarkan untuk menyediakan 28,000 tempat pengecasan awam EV selewat-lewatnya pada 2030 dengan bantuan dari sektor privet, naik daripada sekitar 1,600 yang sedia ada.

APLIKASI MUDAH ALIH UNTUK PENGECAS

Sebuah anak syarikat penyedia huraian tenaga suria Sunseap, Charge+ menyatakan pihaknya kini sedang membangunkan pengecasnya sendiri. Menurutnya pengecas padat itu boleh dipasang di semua tempat letak kereta sedia ada.

Ini akan membolehkan lebih banyak pengecas dipasang, sekali gus lebih ramai pengguna EV boleh menggunakan khidmat tersebut, kata Charge+, sedang ia mendapati "bekalan kuasa tempatan terhad" di banyak tempat letak kereta di sini.

Apabila tersedia, stesen pengecas ini - yang menurut Charge+ akan menjadi pengecas EV komersial paling padat di dunia - akan mempunyai dua tempat pengecas, masing-masing dengan rating kuasa 7.4 kilowatt (kW).

Ini akan membolehkan EV biasa, yang kehabisan bateri, dicas penuh dalam sekitar tiga hingga empat jam.

Sistem pengurusan berasaskan teknologi awan akan mengawal dan memantau semua pengecas EV Charge+ dari jarak jauh, manakala sebuah aplikasi mudah alih akan membolehkan para pemandu mencari pengecas yang tersedia, memulakan sesi pengecasan dan melakukan pembayaran.

Di Singapura, pembekal produk promosi dan perkhidmatan pemasaran Axxel Marketing, syarikat kejuruteraan Ebenezer Group dan pengendali penyimpanan barangan StorHub sudahpun mendaftar sebagai pelanggan, menurut Charge+ dalam satu kenyataan media.

Singapura akan berfungsi sebagai pasaran pelancaran untuk Charge+ yang berhasrat untuk mengembangkan syarikatnya ke bandar-bandar lain di dalam dan luar Asia Tenggara, katanya.

Charge+ menyatakan pihaknya akan memanfaatkan "keupayaan teknikal dan komersial" Sunseap - yang memiliki projek tenaga suria di 4,000 bangunan di Singapura - yang membolehkan penyedia tenaga suria itu mempelbagaikan portfolio perniagaan tenaga bersihnya.

JUMLAH KERETA ELEKTRIK MENINGKAT

Jumlah tempat mengecas meningkat sejak beberapa tahun lalu, seiring peningkatan jumlah EV.

Syarikat gergasi minyak Belanda, Shell, menyediakan tempat pengecas EV di 10 stesen minyaknya di merata negara, manakala penyedia tenaga SP Group menyasarkan untuk menyediakan 1,000 tempat pengecas di seluruh negara hujung tahun ini.

Setakat Ogos, khidmat perkongsian kereta elektrik BlueSG mempunyai 345 stesen pengecas dengan 1,371 tempat mengecas di seluruh negara. Sekitar 20 peratus daripadanya boleh diguanakan untuk EV milik persendirian.

Perangkaan dari Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) menunjukkan bahawa setakat Ogos, terdapat 1,180 kereta elektrik penuh yang didaftarkan di Singapura, naik daripada hanya 12 pada empat tahun lalu.

Peta hala tuju yang dihasilkan oleh Institut Kajian Tenaga Universiti Teknologi Nanyang pada 2016 menunjukkan bahawa penukaran 50 peratus jumlah kenderaan Singapura ke EV dapat mengurangkan pencemaran kenderaan di sini hingga sebanyak 30 peratus.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan