Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Firma binaan, pekerja asing boleh sambung semula kerja ubah elok & kerja lain tanpa minta kebenaran

Firma-firma binaan dan para pekerja asingnya kini boleh menyambung semula kerja ubah elok rumah serta jenis kerja lain yang dilakukan di luar tapak mahupun premis binaan, seperti kilang pasang siap, tanpa meminta kebenaran daripada pihak berkuasa. 

Anggaran Waktu Membaca:
Firma binaan, pekerja asing boleh sambung semula kerja ubah elok & kerja lain tanpa minta kebenaran

(Gambar: Wong Pei Ting/TODAY)

Diterbitkan : 13 Aug 2020 08:53AM Dikemas Kini : 13 Aug 2020 08:56AM

SINGAPORE: Firma-firma binaan dan para pekerja asingnya kini boleh menyambung semula kerja ubah elok rumah serta jenis kerja lain yang dilakukan di luar tapak mahupun premis binaan, seperti kilang pasang siap, tanpa meminta kebenaran daripada pihak berkuasa.

Jenis kerja yang boleh dilakukan tanpa kebenaran termasuk pembaikan dan pembetulan kerosakan, pengurusan kemudahan serta penyenggaraan lif dan tangga bergerak, menurut Penguasa Bangunan dan Binaan (BCA) pada Rabu (12 Ogos).

Ini bermakna sekitar 40,000 pekerja asing dijangka kembali bekerja semula.

Minggu lalu, Kementerian Tenaga Manusia (MOM) menyatakan 265,000 pekerja dari sektor-sektor binaan, limbungan kapal dan proses marin perlu diberi kebenaran sebelum mereka boleh kembali bertugas.

Sekalipun demikian, syarikat yang mengerahkan pekerja ke tapak dan premis binaan yang memasang kerja pembekalan masih perlu mendapatkan kebenaran daripada BCA sebelum mereka menyambung semula kerja.

Premis berkenaan merangkumi kilang konkrit pratuang konvensional dan kilang-kilang mekanikal, elektrik serta paip.

Kontraktor utama bagi projek-projek sedemikian perlu terus membuat permohonan bagi pihak subkontraktor dan pekerjanya, menurut BCA.

Kelonggaran pada sekatan kerja bagi sektor binaan diberikan selepas MOM mengisytiharkan semua dormitori pekerja asing bebas daripada COVID-19 kecuali beberapa blok kendiri yang digunakan sebagai kemudahan kuarantin.

Secara berasingan, BCA menyatakan ia juga akan menggantung buat sementara waktu keperluan bagi kontraktor untuk membahagikan tenaga kerja utama bagi setiap projek kepada 10 atau kurang tempat penginapan sebelum mereka dibenarkan menyambung semula kerja.

Strategi membahagikan tenaga kerja itu sebelum ini dilancarkan untuk menempatkan dan mengasingkan pekerja berdasarkan projek yang sedang dijalankan.

Dengan syarat ini ditarik balik buat sementara waktu, pekerja yang kini menjalani langkah pembahagian tenaga kerja di 43 dormitori yang dibina khas akan dibenarkan untuk menyambung semula kerja.

BCA menyatakan majikan harus tetap berusaha ke arah membahagikan pekerja asing di tempat penginapan berdasarkan syarikat kerja mereka selain mengurangkan pergaulan sesama mereka.

Semasa tempoh pemutus rantaian jangkitan dari 7 Apr hingga 1 Jun untuk membendung penularan COVID-19, kebanyakan kerja binaan digantung.

Namun, sejak 'circuit breaker' ditarik balik pada 2 Jun, lebih 3,300 projek di tapak binaan sudahpun menerima kelulusan untuk disambung semula, menurut BCA.

Penguasa itu juga mengingatkan para majikan supaya bekerja rapat dengan pengendali tempat penginapan untuk melaksanakan langkah penginapan yang selamat. Ini termasuk mengetatkan kawalan keluar masuk dormitori. Majikan juga harus menyediakan pengangkutan ditetapkan buat para pekerja asing untuk melakukan perjalanan ke tempat kerja, menguatkuasakan pembahagian zon yang ketat di tempat kerja serta memastikan pekerja yang tinggal di tempat berasingan tidak bergaul di tapak binaan.

Ia juga mengingatkan majikan supaya menempah janji temu bagi ujian swab untuk para pekerja mereka setiap 14 hari. Ini selain memohon bagi dana Perangsang Penyambungan Semula Binaan yang membantu firma binaan menanggung kos pemerolehan demi mematuhi peraturan bagi memulakan semula operasi. 


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan