Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Firefly tidak dapat kebenaran CAAM untuk beroperasi di Lapangan Terbang Seletar: CAAS

Firefly, sebuah anak syarikat Malaysia Airlines gagal mendapat kebenaran penguasa pengawal penerbangan awam Malaysia untuk beroperasi di Lapangan Terbang Seletar, menurut Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) pada Sabtu (24 Nov).

Anggaran Waktu Membaca:
Firefly tidak dapat kebenaran CAAM untuk beroperasi di Lapangan Terbang Seletar: CAAS

Gambar fail pesawat Firefly.

Diterbitkan : 24 Nov 2018 05:41PM Dikemas Kini : 24 Nov 2018 05:46PM

SINGAPURA: Firefly, sebuah anak syarikat Malaysia Airlines gagal mendapat kebenaran penguasa pengawal penerbangan awam Malaysia untuk beroperasi di Lapangan Terbang Seletar, menurut Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) pada Sabtu (24 Nov) sebagai menjawab pertanyaan media.

Firefly mengesahkan awal minggu ini bahawa penerbangannya ke Singapura akan digantung mulai 1 Disember.

Syarikat itu menyatakan bahawa ia perlu menyelesaikan dengan pihak berkuasa "hal-hal berkaitan rancangan pihak berkuasa Singapura untuk memindahkan operasi (pesawat) kipas turbo dari Lapangan Terbang Antarabangsa Changi ke Seletar".

Terminal penumpang yang baru di Lapangan Terbang Seletar mula beroperasi minggu lalu dengan penerbangan pesawat kipas turbo dijadual beroperasi mulai Disember.

Changi Airport Group menyatakan bahawa pemindahan "operasi pesawat lebih kecil dan perlahan" ke Seletar akan membolehkan penggunaan optimum sumber-sumber di Changi.

Mendedahkan urutan masa berhubung hal tersebut, CAAS menyatakan bahawa pada 2014, pihaknya sudah memaklumkan Kementerian Pengangkutan Malaysia dan Firefly tentang pemindahan operasi penerbangan pesawat kipas turbo dari Lapangan Terbang Changi ke Lapangan Terbang Seletar. Firefly sudahpun bersetuju dengan pemindahan itu.

"Sebagaimana setiap pemindahan operasi penerbangan lain, Changi Airport Group (CAG) kemudian berunding dengan Firefly tentang tempoh masa pemindahan," menurut CAAS.

Pada Julai 2018, CAG secara formal memaklumkan Firefly bahawa operasi penerbangannya akan dipindahkan ke Lapangan Terbang Seletar mulai 1 Disember 2018. Menurut CAAS, ini dipersetujui Firefly.

Namun pada 14 November 2018, Firefly memberitahu CAG bahawa ia tidak mendapat kebenaran dari CAAM (Penguasa Penerbangan Awam Malaysia) untuk beroperasi di Lapangan Terbang Seletar.

CAAS menyatakan pihaknya sudah meminta CAAM untuk berkongsi sebarang keprihatinan pengawalseliaan pemindahan itu. CAAS menambah Singapura sudahpun membuat "semua persiapan dan meluluskan semua permohonan" oleh Firefly untuk beroperasi di Lapangan Terbang Seletar.

Menurut CAAS lagi, lapangan terbang itu juga memenuhi keperluan Pertubuhan Penerbangan Awam berhubung reka bentuk dan operasi lapangan terbang.

Singapura menantikan penjelasan Malaysia tentang keprihatinan ini supaya kedua-dua pihak boleh mengadakan dialog secara membina," menurut CAAS.

"Singapura sudahpun menyampaikan kepada Malaysia bahawa kami bersedia bekerjasama dengan mereka berkaitan isu-isu ruang udara bagi kepentingan kerjasama penerbangan awam antarabangsa dan dua hala," tambahnya lagi.

"Namun hal-hal ini tiada kaitan dengan peralihan operasi Firefly ke Lapangan Terbang Seletar."

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan