Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

FICA cegah kejadian 'gunting dalam lipatan' sedang S'pura berdepan campur tangan asing 'dahsyat'

Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri, Dr Muhammad Faishal Ibrahim menekankan betapa Singapura "sedang berdepan dengan ancaman campur tangan asing yang dahsyat dan berubah-ubah".

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri, Dr Muhammad Faishal Ibrahim menekankan betapa Singapura "sedang berdepan dengan ancaman campur tangan asing yang dahsyat dan berubah-ubah".

Ancaman-ancaman tersebut dapat dilakukan di dalam talian menerusi Kempen Maklumat Berniat Jahat (HIC).

Beliau berkata demikian semasa bangkit menyertai perbahasan Rang Undang-undang (Langkah Tindakan Balas) Campur Tangan Asing (FICA) di Parlimen pada Isnin (4 Okt).

"Rang undang-undang ini tidak menambah kuasa hakiki undang-undang sedia ada seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri, Kod Prosedur Jenayah, Akta Penyiaran dan Akta Telekomunikasi secara signifikan," kata Dr Faishal.

Berdasarkan penjelasan Dr Faishal, rang undang-undang tersebut sebaliknya menyediakan "lebih banyak kawalan yang lebih tertumpu dan disesuaikan terhadap HIC, yang lebih ketat daripada kuasa sedia ada."

Dr Faishal turut menegaskan bahawa rang yang dibahaskan itu tidak meliputi golongan warga Singapura yang bergiat dalam politik tempatan secara bebas serta interaksi yang meluas dengan warga asing.

"Ia secara khususnya amat prihatin tentang kegiatan yang terselindung dan secara sulit yang bertujuan memanipulasikan politik tempatan kita, dan meremehkan kedaulatan politik kita, dan bukan kegiatan, transaksi, hubungan mahupun kritikan yang terbuka, telus dan bertanggungjawab," kata Dr Faishal kepada dewan.

"Terdapat juga beberapa langkah perlindungan seperti kriteria jelas bagi sebarang kesalahan, had pemberikuasaan jelas bagi sebarang niat, dan wadah-wadah untuk membuat rayuan."

Dalam rumusannya, Dr Faishal mendedahkan bagaimana Pemerintah Singapura mengambil pendirian tegas bahawa "politik tempatan adalah bagi warga Singapura untuk memutuskan" dan bukan golongan asing.

"Rang undang-undang ini memastikan kita dapat terus mengambil pendirian ini, dan warga Singapura dapat terus membuat pilihan mereka sendiri tentang bagaimana kita harus memerintah negara kita dan menjalani kehidupan kita," ujar Dr Faishal.

ZHUL: ELAK DARIPADA MUSUH TANPA DISEDARI

AP Zhulkarnain Abdul Rahim dan Sharael Taha turut bangkit menyokong rang tersebut sebagai langkah mencegah kejadian "gunting dalam lipatan" yang dapat memecah belah masyarakat majmuk di Singapura.

Dalam ucapannya, Encik Zhulkarnain menegaskan bahawa rakyat Singapura mahukan perbincangan politik yang terbuka dan telus, tanpa campur tangan asing.

Beliau menyifatkan keperluan untuk mencegah aktiviti campur tangan pihak asing sebagai "mendesak" kerana akibat buruk kepada masyarakat dan negara sekiranya ia berlaku.

AP GRC Chua Chu Kang itu kemudian menukil satu kajian yang dijalankan Institut Penyelidikan Strategik di Kolej Tentera Perancis (Irsem) yang diterbitkan minggu lalu bagi membentangkan sebab-sebab Singapura mudah terdedah kepada kegiatan campur tangan pihak asing.

"Pertama, tahap literasi digital di negara kita yang tinggi, bermaksud kempen campur tangan di talian amat mudah untuk dilaksanakan. Kedua, oleh kerana masyarakat majmuk kita, pihak-pihak yang tidak berniat baik boleh cuba untuk memecah belahkan kita," ucap Encik Zhulkarnain.

Oleh itu kata beliau wajar bagi Singapura memperkukuhkan lagi perpaduan antara rakyat dan kepercayaan bersama Pemerintah dengan menyemak rangka undang-undang negara demi membanteras anasir-anasir yang cuba memecah-belahkan penduduk negara ini. Akta itu bertujuan untuk mencapai matlamat ini, kata Encik Zhulkarnain.

Dalam pada itu, Encik Sharael pula akur bahawa campur tangan asing merupakan masalah "nyata dan serius" bagi Singapura.

Ini lebih-lebih lagi menurutnya kerana kadar celik digital di Singapura masih rendah, sambil menukil satu Tinjauan Institut Kajian Dasar di mana setiap enam daripada 10 orang percaya terhadap maklumat palsu.

Tambahnya lagi, Singapura juga mempunyai ekonomi terbuka, lantas, tidak terpencil daripada kesan campur tangan negara asing.

"Contohnya pada tahun 2018-2019 di tengah-tengah pertikaian dengan negara jiran mengenai ruang udara dan isu maritim, komen dalam talian di media sosial didapati dibuat oleh akaun-akaun tanpa nama yang bertujuan untuk mewujudkan penentangan palsu terhadap kedudukan Singapura," kongsi Encik Sharael.

Lebih daripada rang undang-undang yang dibahaskan, Encik Sharael memberi peringatan kepada rakyat Singapura agar jangan mudah terpengaruh dengan maklumat di media sosial tanpa asas kebenaran. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan