Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Festival Masyarakat SALAM SINGAPORE dilancarkan sempena ulang tahun ke-50 MUIS

Setiausaha Parlimen Kanan Ehwal Dalam Negeri merangkap Kesihatan, Amrin Amin mengajak masyarakat agar terus memberi sokongan padu kepada MUIS untuk berkhidmat dengan lebih baik lagi.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Setiausaha Parlimen Kanan Ehwal Dalam Negeri merangkap Kesihatan, Amrin Amin mengajak masyarakat agar terus memberi sokongan padu kepada MUIS untuk berkhidmat dengan lebih baik lagi.

Encik Amrin berkata sepanjang 50 tahun MUIS ditubuhkan badan itu sudah memainkan peranan penting dalam menyediakan khidmat sosio-agama, selain memupuk masyarakat Islam yang peduli dan bersatu padu.

Encik Amrin melancarkan Festival Masyarakat SALAM SINGAPORE, sempena sambutan ulang tahun ke-50 MUIS di Hab Tampines Kita (OTH), malam Jumaat (7 Sep).

Festival besar-besaran selama tiga hari itu bagi meraikan kerjasama MUIS dengan masyarakat sepanjang 50 tahun.

Encik Amrin berkata kerjasama berbilang pihak dari sektor awam dan swasta, pertubuhan dan pemimpin masyarakat serta para relawan sudah membantu MUIS untuk memenuhi keperluan dan aspirasi masyarakat yang semakin berkembang.

Menurutnya, masyarakat Islam di Singapura harus berbangga dengan pencapaian tersebut namun beliau menambah usaha itu perlu diteruskan dalam kita membina sebuah masyarakat yang cemerlang.

Sempena pelancaran tersebut, cek bernilai $300,000 disampaikan kepada Mercy Relief dan Persatuan Palang Merah.

Sumbangan itu hasil kutipan derma yang dijalankan dengan kerjasama masjid-masjid di sini untuk disalurkan kepada mangsa gempa bumi di Lombok dan bencana alam di Laos.

Dengan tema "Semarak Langkah, Berjiwa Rahmah" festival tiga hari itu meliputi kegiatan pembelajaran berkaitan dengan Islam, bengkel dan pertunjukan, sesuai bagi masyarakat Islam dan bukan Islam.

Ia juga bertujuan menampilkan nilai-nilai Islam yang menganjurkan Rahmah kepada semua, dalam masyarakat berbilang kaum dan agama.

(Magnet yang boleh dibeli bagi sumbangan dana kepada golongan memerlukan. Gambar: Said Mahadi/BERITAmediacorp)

Antaranya magnet yang dihasilkan pelajar dan asatizah program aLIVE serta kanak-kanak daripada Kelab Rainbow Singapura.

Hasil kraf tangan itu dijual pada harga $2 setiap satu dengan sasaran $50,000 bagi Kelab Rainbow.

Buat pertama kalinya, Bicara Perdana MUFTI memberi peluang untuk berdialog dan mendengar aspirasi Dr Mohamed Fatris Bakaran bagi masyarakat.

Menerusi pameran-pameran pula para pengunjung dapat meneroka dan melihat sendiri kerjasama yang sudah dijalin antara MUIS dengan masyarakat Muslim serta dengan masyarakat lain di Singapura.

Salah satu kegiatan menarik yang akan diadakan adalah pengalaman menikmati Realiti Tambahan (AR) bagi pameran 'Perjalanan MUIS'.

Tirai festival dilabuhkan dengan Konvensyen Masjid 2018 pada Ahad (9 Sep). 

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan