Images
  • Lunar Eclipse
    Gerhana bulan. (Gambar: Facebook/Pusat Sains Singapura)

Fenomena 'supermoon', gerhana bulan dan 'blue moon' muncul serentak 31 Jan ini

SINGAPURA: Pada 31 Januari nanti, anda yang gemar memerhati bulan akan dapat menyaksikan bulan tiga dalam satu.

Ini adalah fenomena yang "jarang berlaku" dan kali terakhir ia kelihatan adalah 152 tahun lalu pada 1866!

Menurut Pusat Sains Singapura, ia adalah fenomena di mana 'supermoon', gerhana bulan dan 'blue moon' muncul serentak dan disifatkan sebagai "super blue total lunar eclipse".

Bulan pada 31 Januari nanti adalah 'supermoon', menurut pusat itu, kerana ia merupakan fenomena yang berlaku apabila bulan penuh begitu dekat dengan bumi.

Ia juga adalah gerhana bulan yang pertama tahun ini, yang berlaku apabila bulan penuh dilindungi bayang bumi.

Akhir sekali, ia dikatakan 'blue moon' kerana ia adalah bulan penuh kedua pada bulan ini.

"Kebanyakan masanya, bulan penuh akan mengambang sekali sahaja setiap bulan," menurut pusat sain itu lagi.

BLUE MOON TIDAK BERWARNA BIRU

Pusat Sains Singapura menambah, ia dipanggil 'blue moon' disebabkan ia jarang berlaku (sekali setiap dua tahun lapan bulan) dan bukan kerana warnanya biru.

Sebaliknya, warnanya adalah "merah atau keperang-perangan" - ciri-ciri gerhana penuh.

"Bulan merah atau 'blood moon' boleh berlaku kerana sementara bulan dilindungi bayang bumi, cahaya matahari menembusi atmosfera bumi dan mewarnai bulan.

"Sedang cahaya putih dari matahari menembusi atmosfera bumi, hanya cahaya merah yang berhasil menembusi sekaligus menjadikan warna bulan itu kemarah-merahan," menurut Pusat Sains Singapura.

BOLEH DILIHAT FENOMENA MULAI 7.48 MALAM

Pusat itu menyatakan, bulan 'istimewa' itu boleh dilihat di Singapura pada malam 31 Januari, bermula dengan gerhana separa pada pukul 7.48 malam.

Gerhana penuh dijangka muncul pada pukul 8.51 malam dan berakhir pada pukul 10.08 malam. Gerhana separa akan berakhir pada pukul 11.11 malam.

Anda tidak memerlukan peralatan khas untuk melihatnya tetapi menerusi binokular atau teleskop "pengalamannya lebih menarik", tambah pusat itu.

Pusat Sains Singapura akan mengadakan sesi khas untuk melihat bulan itu pada pukul 7.30 malam lengkap dengan pertunjukan Digital Planetarium. 

Top