Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Fatwa Pemilikan Bersama Rumah diperjelas Pejabat Mufti dalam siri forum Ogos & Sep ini

Pejabat Mufti menganjurkan beberapa siri perbicangan dan forum berhubung Fatwa Pemilikan Bersama Rumah, yang dikeluarkan pada bulan Mei lalu.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Jika anda masih mempunyai soalan tentang fatwa pemilikan bersama rumah yang disemak, anda boleh mendapatkan jawapan secara langsung daripada Pejabat Mufti bulan ini dan bulan depan.

Ini kerana Pejabat Mufti menganjurkan beberapa siri perbincangan dan forum berhubung fatwa terbaru itu, yang dikeluarkan pada bulan Mei lalu.

Siri Perbincangan Tentang Fatwa mengenai Rumah Pemilikan Bersama (Joint Tenancy) itu merupakan yang terkini dianjurkan oleh Pejabat Mufti dalam usahanya mendampingi masyarakat sekaligus menjawab soalan-soalan mereka berkaitan fatwa-fatwa dan irsyad yang sudah dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa. 

Ia bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat Islam tentang fatwa-fatwa baru dan bagaimana ia boleh membantu mereka membuat pertimbangan yang lebih baik dalam hal-hal pemilikan rumah.

Dua sesi pertama daripada Siri Fatwa Pemilikan Bersama Rumah (Fatwa Joint Tenancy Series) itu diadakan semasa kuliah Subuh di Masjid al-Iman dan semasa kuliah Dhuha di Masjid Darul Makmur pada Ahad (4 Ogos) oleh Penolong Pengarah Pejabat Mufti, Ustaz Irwan Hadi Mohd Shuhaimy.

"Sesi perkongsian ini memberi peluang untuk masyarakat mendapatkan penjelasan yang lebih terperinci tentang sebab-sebab mengapa fatwa itu diperlukan serta pertimbangan-pertimbangan yang perlu mereka ambil dalam pemilikan rumah bersama.

"Ia juga memberi peluang untuk mereka mengetengahkan soalan-soalan yang lebih khusus berkenaan sesuatu situasi yang sedang atau mungkin mereka hadapi berkenaan pemilikan bersama rumah mereka," Ustaz Irawan memberitahu BERITAmediacorp.

Jika anda terlepas menghadiri sesi itu, Pejabat Mufti akan menganjurkan lagi empat sesi.

Dua sesi akan diadakan dalam bulan Ogos, iaitu pada 16 Ogos dan 23 Ogos. Manakala lagi dua sesi dalam bulan September, iaitu pada 1 September dan 20 September.

Poster siri perbicangan Fatwa oleh Pejabat Mufti. (Gambar: MUIS/FB)

Poster siri perbicangan Fatwa oleh Pejabat Mufti. (Gambar: MUIS/FB)

Satu semakan fatwa terhadap kontrak pemilikan rumah diumumkan oleh Jawatankuasa Fatwa Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) pada bulan Mei lalu.

Fatwa baru itu mengiktiraf kontrak berdasarkan pemilikan bersama, atau joint tenancy, sebagai sah dari segi agama.

Di bawah semakan tersebut, orang ramai mempunyai dua pilihan - Pemilikan Bersama (Joint Tenancy) atau Pemilikan Pecah Milik (Tenancy in Common).

Kontrak Pemilikan Bersama memberi hak pemilikan rumah seepnuhnya kepada pihak yang masih hidup, atau right of survivorship. Ini bermakna, anggota keluarga lain atau pewaris lain tidak mempunyai hak lagi ke atas rumah yang dimiliki di bawah kontrak pemilikan bersama itu, salah seorang pemilik bersama itu meninggal dunia.

Di bawah kontrak pemilikan bersama, setiap pemilik berkongsi aset secara sama rata iaitu 50 peratus setiap seorang.

Ini berbeza dengan konsep Pemilikan Pecah Milik atau tenancy-in-common - hak milik yang ditentukan berdasarkan kadarnya, di mana setiap pemilik mempunyai peratusan bahagian masing-masing yang jelas.

Dengan semakan fatwa tersebut, ia juga bermakna dokumen tambahan nuzriah dan hibah tidak lagi diperlukan seperti sebelum ini di bawah fatwa lama.

Semakan ini dilakukan selepas Jawatankuasa Fatwa membuat pertimbangan setelah menerima beberapa maklum balas daripada masyarakat berhubung dengan cabaran dan kesulitan fatwa sebelum ini.

Siri Fatwa SG juga diadakan sebelum ini bagi memperjelaskan fatwa/irsyad berhubung Bank Susu Ibu serta Anak Titipan dan Anak Angkat.

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan