Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Fatwa milik rumah disemak, hak penuh kini diberikan kepada pemilik yang masih hidup

Satu semakan fatwa terhadap kontrak pemilikan rumah diumumkan oleh Jawatankuasa Fatwa MUIS hari ini (13 Mei). Di bawah semakan tersebut, pemilik bersama mempunyai pilihan untuk memilih kontrak antara Pemilikan Bersama (Joint Tenancy) atau Pemilikan Pecah Milik (Tenancy in Common).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Satu semakan fatwa terhadap kontrak pemilikan rumah diumumkan oleh Jawatankuasa Fatwa Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) hari ini (13 Mei).

Di bawah semakan tersebut, pemilik bersama mempunyai pilihan untuk memilih kontrak antara Pemilikan Bersama (Joint Tenancy) atau Pemilikan Pecah Milik (Tenancy in Common).

PEMILIKAN BERSAMA BERI HAK PENUH

Di bawah semakan fatwa bagi Pemilikan Bersama, Jawatankuasa Fatwa memutuskan bahawa hak penuh (100%) rumah diberikan sepenuhnya kepada pemilik bersama sekiranya berlaku kematian melibatkan salah seorang pemilik.

Semakan fatwa ini berbeza daripada fatwa yang dikeluarkan pada tahun 2008 di mana pemilik bersama yang masih hidup hanya mendapat 50% daripada hak rumah sekiranya tiada persetujuan atau terdapat persetujuan antara pemilik rumah.

Menurut Jawatankuasa Fatwa, kontrak Pemilikan Bersama ini merupakan pilihan yang lebih baik dari segi menjaga kepentingan keluarga sekiranya berlaku kematian dan bagi mengelakkan kesulitan kewangan dan ketidakpastian.

BAGI MEREKA YANG INGIN IKUT FARAID

Manakala mereka yang ingin memilih untuk membahagikan harta rumah mereka menurut Faraid pula, boleh memilih Pemilikan Pecah Milik.

Di bawah Pemilikan Pecah Milik pula, bahagian rumah akan diberikan kepada salah seorang pemilik selepas kematian salah satu daripadanya mengikut bahagian yang ditentukan.

Pemilikan Pecah Milik merujuk kepada pemilikan yang mana setiap pemilik menetapkan bahagian masing-masing secara jelas dan masing-masing mempunyai kuasa ke atas rumah tersebut mengikut bahagian yang dipersetujui secara bersama.

"Jawatankuasa telah menyemak semula dan mengambil pendirian bahawa kontrak Pemilikan Bersama adalah kontrak yang boleh diterima syarak, ia tidak melanggar prinsip-prinsip agama, dan kesan dan impaknya sama seperti kesan dan impak undang-undang,"

"Jawatankuasa Fatwa telah menjelaskan bahawa terdapat pilihan sama ada untuk memilih kontrak Pemilikan Bersama ataupun Tenancy in Common dan sekiranya seseorang itu ingin sebahagian daripada rumah itu diberikan kepada ahli waris mengikut faraid, maka mereka mempunyai pilihan mengikut Tenancy in Common," jelasTimbalan Mufti Negara, Ustaz Dr Nazirudin Nasir.

Dr Nazirudin Nasir. (Gambar: Muis Academy/ Facebook)

Ustaz Dr Nazirudin (Gambar fail: Muis Academy)

Menurut Ustaz Dr Nazirudin lagi, fatwa yang disemak sama sekali tidak menolak atau mengatasi Faraid, malah ia memberikan laluan dan pilihan kepada pemilik rumah sekiranya mereka mahu membahagikan harta mengikut cara tersebut.

"Ia bukan persolan mengambil hak si waris, ia adalah memberikan nasihat kepada masyarakat, kontrak yang mana yang sesuai bagi seseorang itu yang ingin Faraid dijalankan dan kontrak tersebut ialah kontrak Tenancy in Common.

"Apabila kita melihat kontrak baru seperti Joint Tenancy ia bukan sesuatu yang ada di dalam tradisi Islam atau teks klasik Islam, mahupun di dalam al-Quran, dalam hal ini kita dapat melihat Jawatankuasa Ulama mengambil tanggungjawab untuk menilai dan meneliti dengan sebaiknya," tekan Dr Nazirudin.

HIBAH, NUZRIAH TIDAK DIPERLUKAN LAGI

Dengan semakan fatwa tersebut, ia juga bermakna Nuzriah dan Hibah yang dimasukkan ke dalam Fatwa sebelum ini tidak diperlukan lagi memandangkan hak milik rumah sudah ditentukan dengan jelas berdasarkan kontrak.

Nuzriah bermakna nazar yang dibuat oleh seseorang untuk menyerahkan sebahagian atau keseluruhan hartanya sebelum kematiannya kepada pihak lain.

Hibah pula merujuk kepada penyerahan hak milik kepada seseorang hanya jika si pemberi meninggal dunia terlebih dahulu sebelum pihak yang diberi.

SEMAKAN FATWA MELIHAT KEPADA MASLAHAH

Semakan ini dilakukan selepas Jawatankuasa Fatwa membuat pertimbangan setelah menerima beberapa maklum balas daripada masyarakat berhubung dengan cabaran dan kesulitan fatwa sebelum ini - antaranya ialah pemilik yang masih hidup didesak oleh ahli waris untuk menjual rumah yang dimiliki bersama dengan si mati, agar bahahagian si mati dapat dibahagikan secara faraid.

"Jawatankuasa Fatwa telah melihat bahawa rumah atau pemilikan rumah adalah sesuatu yang kritikal bagi kita di SIngapura, ia merupakan satu aset yang penting dan ia bukan mudah untuk seseorang membeli rumah khusus apabila mereka tidak mempunyai wang dan CPF yang mencukupi," kata Ustaz Dr Nazirudin.

Kali terakhir fatwa tentang pemilikan rumah disemak ialah pada tahun 2008 menyusuli pengumuman pertamanya pada tahun 1997. 

Jawatankuasa Fatwa menasihatkan masyarakat supaya mendapatkan nasihat serta pandangan para pakar sebelum membuat sebarang keputusan untuk memilih satu kontrak daripada yang lain.   

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan