Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Fatimah Taha Suhaimi pemenang Anugerah Kejururawatan Tan Chin Tuan 2020; 3 jururawat Melayu rangkul Anugerah Merit

Ketua Jururawat Berdaftar Cik Fatimah Taha Suhaimi dari Hospital Besar Changi (CGH) dipilih sebagai pemenang Anugerah Kejururawatan Tan Chin Tuan tahun ini.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Ketua Jururawat Berdaftar Cik Fatimah Taha Suhaimi dari Hospital Besar Changi (CGH) dipilih sebagai pemenang Anugerah Kejururawatan Tan Chin Tuan tahun ini.

Edisi ke-14 anugerah berprestij itu adalah bagi menghargai 10 jururawat yang mempamerkan prestasi cemerlang, tahap dedikasi yang tinggi dan membuat sumbangan besar kepada bidang kejururawatan.

Cik Fatimah yang berusia 52 tahun mula bekerja di CGH sejak 2002. Wad 18 di hospital itulah tempat beliau menjalankan tugas sehariannya.

Sebagai Ketua Jururawat Berdaftar, beliau turut menggalas tanggungjawab sebagai mentor kepada para jururawat pelatih dari Institut Pendidikan Teknikal (ITE) atau politeknik dan jururawat baru di samping menjaga keperluan pesakit.

Sepanjang 31 tahun kerjayanya sebagai seorang jururawat, pelbagai pengalaman pahit manis dilaluinya.

Dorongan keluarga dan rakan setugas dijadikan sebagai pembakar semangat untuk terus memberikan yang terbaik.

"Ada kalanya banyak kali sebenarnya saya rasa 'saya nak putus asa'. Tapi rezeki yang ia (kejururawatan) berikan, dan kestabilan yang ia berikan untuk saya membesarkan ketiga-tiga anak saya mendorong saya untuk meneruskannya dan para rakan kerja juga," dedah Cik Fatimah, seorang ibu tunggal.

KETIGA-TIGA ANAK CEBURI BIDANG SAMA

Cik Fatimah turut berbangga dengan pencapaian dua anak lelaki dan seorang anak perempuan yang kesemuanya mengikut jejak langkah menceburi bidang kejururawatan. Anak sulungnya yang kini berusia 28 tahun juga bertugas di hospital yang sama sebagai jururawat am.

"Saya berterima kasih kerana anak-anak saya semuanya baik-baik belaka. Saya bangga yang anak bongsu saya turut menyertai bidang kejururawatan. Dia adalah pelajar tahun ketiga. Anak perempuan saya (anak kedua) adalah seorang pekerja sosial dan saya rasa mungkin kerana saya mendidik mereka tentang tugas saya dan rezeki yang mereka terima (daripada kerjaya saya) mendorong mereka untuk menyertai bidang kejururawatan," jelas Cik Fatimah.

Dedikasi Cik Fatimah menghulurkan bantuan kepada para pesakit begitu terserlah dan menyentuh hati para pesakit apabila beliau sanggup bertanya khabar meskipun pesakitnya sudah dibenarkan keluar hospital dan pulang ke rumah masing-masing.

"Apabila dia menghubungi saya dan memberitahu dia masih mempunyai simptom-simptom, saya rasa adalah tugas saya sebagai jururawat untuk masih menjaganya. Dan beliau masih mempercayai saya dan datang meminta bantuan daripada saya. Saya tidak boleh menolaknya," kata Cik Fatimah mengenai salah seorang pesakit di bawah jagaannya selepas mengalami kecederaan akibat kemalangan jalan raya.

Buat Cik Fatimah, beliau berharap dapat terus berbakti sebagai seorang jururawat sehingga usianya mencecah 75 tahun.

Bagi jururawat atau mereka yang mahu menceburi bidang tersebut, ini pesanan Cik Fatimah: "Kadangkala anda dimarahi oleh pesakit atau keluarga pesakit. Anda harus melihat lebih jauh dari itu. Jangan mudah berputus asa."

PRIHATIN TERHADAP PESAKIT DAN JUGA KELUARGA MEREKA

Semangat untuk berkhidmat lebih daripada yang diperlukan turut dikongsi Penolong Jururawat Kanan Hospital Tan Tock Seng (TTSH), Cik Ainon Haron, 63 tahun.

Selain membantu pesakitnya bagi rawatan mobiliti mereka selepas menjalani pembedahan, jururawat dengan 43 tahun pengalaman ini sentiasa menguntum senyuman kepada para pesakitnya bagi meringankan kesakitan mereka.

Misalnya, beliau akan mengumpulkan rakan-rakan sekerjanya untuk sama-sama menyambut hari lahir pesakit di bawah jagaannya.

"Oh kesiannya pesakit kita ini. Hari lahir tapi di hospital. Jadi kita mesti membuat sesuatu untuk mereka. Kita boleh memesan kek. Kita nyanyi lagu
'Selamat Hari Jadi' untuk mereka, dan mereka akan bahagia sekali," kata Cik Ainon yang mempunyai dua orang anak berusia 40 tahun dan 36 tahun.

Bukan pesakit sahaja menjadi keprihatinannya, bahkan ahli keluarga juga tidak dilupakan: "Bagi yang macam sedih, ada kematian ke apa, kita akan beli kad takziah. Kita panggil semua orang (jururawat) menandatangani atau menulis sesuatu untuk beri perangsang kepada keluarga mereka dan kita poskan. Itu semua kita buat sendiri. Bukan hospital yang suruh."

Walaupun sudah lebih empat dekad bertugas sebagai jururawat, belum lagi terlintas dalam benak fikiran Cik Ainon untuk bersara.

"Selagi saya sihat, selagi kemahiran saya diperlukan di Hospital Tan Tock Seng ini, saya akan teruskan. InsyaAllah."

MOH AKAN TERUS MEMBERI SOKONGAN KEPADA JURURAWAT

Sumbangan tidak ternilai 10 jururawat cemerlang tahun ini termasuk Cik Fatimah dan Cik Ainon diiktiraf dalam Majlis Anugerah Kejururawatan Tan Chin Tuan yang diadakan secara online kali ini.

Cik Fatimah dinobat sebagai juara dan membawa pulang hadiah wang tunai S$3,500 yang boleh digunakan untuk perkembangan profesionalnya dan sebutir pingat emas yang dicipta khas.

Tempat kedua jatuh kepada Cik Ow Yong Lau Chan dari Institut Kesihatan Mental (IMH) manakala tempat ketiga menjadi milik Cik Yew Xueling dari Hospital Besar Sengkang.

Cik Ainon dan enam jururawat finalis yang lain pula diberikan Anugerah Merit dan hadiah wang tunai S$800. Dua finalis Melayu yang turut menerima Anugerah Merit adalah Cik Juraidah Abdul Rahman dari Institut Neurosains Nasional dan Cik Siti Nur Eisah Zulkifli dari Pusat Jantung Nasional Singapura.

Tetamu Terhormat, Menteri Negara Kanan Kesihatan Koh Poh Koon turut melahirkan penghargaannya kepada semua pemenang.

Beliau menegaskan bahawa MOH komited untuk terus menyokong kerjaya dan membantu para jururawat mengembangkan potensi mereka dalam bidang kejururawatan.

Sumber : BERITA Mediacorp/SY
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan