Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Fasa 2 penarikan balik 'Circuit Breaker' bermula Jumaat ini

Fasa 2 penarikan balik rantaian pemutus jangkitan COVID-19 bermula Jumaat ini, 19 Jun.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Fasa 2 penarikan balik rantaian pemutus jangkitan COVID-19 bermula Jumaat ini, 19 Jun.

Ini bermakna lebih banyak kegiatan dan perniagaan akan disambung semula termasuk pertemuan sehingga lima orang dibenarkan di tempat awam dan di dalam rumah.

Jawatankuasa Berbilang Kementerian (MTF) mengumumkannya dalam sidang media petang tadi (15 Jun).

(Gambar: Gaya Chandramohan)

GAN: S'PURA SUDAH SEDIA BAGI FASA 2

Menteri Kesihatan Gan Kim Yong berkata keputusan untuk memulakan Fasa 2 itu pada Jumaat ini (19 Jun) dibuat selepas melihat trend jumlah kes baru COVID-19 yang semakin kecil, termasuk kes melibatkan para pekerja asing dan berkurangnya kelompok baru yang besar.

Lantaran itu, kata Encik Gan, Singapura sudah bersedia untuk menyambung lebih banyak kegiatannya.

"Kami sekarang sudah bersedia untuk melangkah ke Fasa 2 pembukaan semula yang akan bermula selepas 18 Jun. Dalam fasa seterusnya ini, kita akan memastikan usaha yang dilakukan dalam Fasa 1 dan pemutus rantaian jangkitan untuk mengurangkan risiko penularan dapat berterusan," kata beliau yang juga Pengerusi Bersama MTF.

(Gambar: MEWR)

PERTEMUAN 5 ORANG DIBOLEHKAN

Kegiatan-kegiatan yang boleh dilakukan semula termasuk pertemuan sehingga lima orang, di tempat awam atau di dalam rumah.

Meskipun begitu Encik Gan menambah orang ramai masih perlu mematuhi beberapa langkah keselamatan yang ditetapkan iaitu menjaga jarak selamat 1 meter.

Sekiranya jarak selamat itu tidak mungkin dapat patuhi oleh individu, jarak 1 meter itu perlu dilaksanakan antara kumpulan-kumpulan, dengan setiap kumpulan tidak lebih lima orang.

Encik Gan menambah bermula Jumaat ini juga, perniagaan runcit boleh membuka semula kedai fizikal.

Ini bermakna, orang ramai boleh makan serta minum di kedai-kedai F&B tersebut.
Meja makan perlu ada jarak 1 meter antara satu sama lain manakala persembahan muzik secara 'live' serta tayangan video dan televisyen tidak dibenarkan buat masa ini.

Tempat-tempat seperti taman dan kemudahan awam lain juga akan dibuka termasuk taman permainan, pantai, stadium, kompleks renang, dewan sukan, dan gimnasium.

Semua perkhidmatan kesihatan lain, termasuk khidmat penjagaan warga tua dalam masyarakat serta pemeriksaan kesihatan individu akan disambung semula.

Lawatan bersemuka di kemudahan bagi warga tua, termasuk rumah rawatan, rumah kebajikan, rumah tumpangan dan rumah bagi orang kurang upaya dewasa, juga akan dibuka semula.

Turut boleh disambung semula adalah kelas tuisyen dan kelas pengayaan lain, kecuali kelas bernyanyi dan latihan vokal.

10 ORANG BOLEH HADIRI PERNIKAHAN DI RUMAH

Dalam pada itu, jawatankuasa MTF juga mengumumkan beberapa pelonggaran khusus bagi acara-acara seperti majlis pernikahan.

Bagi pernikahan di rumah dan di ROMM, 10 orang tidak termasuk kadi, akan dibenarkan untuk menghadiri majlis tersebut.

Bagi pernikahan di luar rumah pula, 20 orang dibenarkan untuk menghadirinya.

Peraturan yang sama juga bagi upacara pengebumian dan persemadian.

"Ini adalah garis panduan untuk memulakan Fasa 2.
Ia akan membolehkan banyak lagi kegiatan disambung. Sekali lagi saya ingin merayu kepada semua rakyat Singapura agar bertanggungjawab dalam melakukan kegiatan-kegiatan yang dibenarkan dalam Fasa 2.

"Jangan menganggap Fasa 2 sebagai isyarat bahawa kita semua boleh melupakan tahap kewaspadaan kita dan melakukan semua aktiviti kegemaran kita," kata Menteri Pembangunan Negara,Lawrence Wong, yang juga Pengerusi Bersama MTF.  

Sumber : BERITA Mediacorp/ur
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan