Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Fakta mutasi baru COVID-19 'Eek'

Sejauh mana mutasi 'Eek' berbeza daripada varian Afrika Selatan dan Brazil? Bagaimana untuk lindungi negara daripada penularannya?

Anggaran Waktu Membaca:
Fakta mutasi baru COVID-19 'Eek'

(Gambar hiasan: NEXU Science Communication menerusi Reuters)

Diterbitkan : 07 Apr 2021 03:21PM Dikemas Kini : 07 Apr 2021 03:24PM

SINGAPURA: Kerajaan Jepun pada Ahad (4 Apr) mengumumkan bahawa ia sedang meluaskan langkah-langkah kecemasan untuk membendung gelombang baru jangkitan COVID-19 di tengah-tengah kebimbangan berhubung penularan mutasi baru yang dipercayai mengurangkan perlindungan vaksin.

Ini selepas 10 daripada 14 pesakit COVID-19 yang diuji di sebuah hospital di Tokyo bulan lalu adalah pembawa mutasi E484K yang diberi gelaran "Eek" oleh sebahagian saintis.

Namun adakah mutasi itu berbeza daripada mutasi-mutasi lain seperti varian Britain dan Afrika Selatan?

Apakah mutasi ini akan merubah tindak balas Singapura terhadap COVID-19?

Mediacorp bertemu para pakar penyakit berjangkit untuk membantu menjawab persoalan-persoalan itu.

Menurut mereka meskipun mutasi itu akan menyebabkan varian-varian virus lebih berdaya tahan terhadap vaksin, program vaksinasi penduduk tetap dapat membantu mencegah varian-varian sedemikian daripada terus menular.

SEJAUH MANA "EEK" BERBEZA?

Menurut Dr Ling Li Min, seorang pakar penyakit berjangkit dari Klinik Rophi di Hospital Gleaneagles, mutasi Eek itu sudah dikesan dalam varian-varian lain di merata dunia.

Pelbagai varian muncul dalam tempoh beberapa bulan sejak virus itu mula menular di merata dunia awal tahun lalu dan mutasi Eek yang dikesan di Tokyo adalah mutasi sama yang dikesan dalam varian Afrika Selatan dan Brazil, kata beliau.

Satu kajian di Britain yang diterbitkan dalam bulan Mac menyatakan bahawa satu lagi varian yang pertama kali dikesan di Britain pada hujung tahun lalu didapati 30 hingga 100 peratus lebih berbahaya daripada varian asal, dan ia juga lebih mudah berjangkit.

"Mutasi (Eek) itu nampaknya lebih mudah berjangkit kerana, seperti yang kita tahu, varian Afrika Selatan sudah menjadi varian utama di Afrika Selatan," ujar Dr Ling.

Beliau menambah terdapat kajian-kajian untuk menunjukkan bahawa vaksin-vaskin di pasaran kurang berkesan terhadap varian yang membawa mutasi itu.

Contohnya, bagi varian Afrika Selatan, vaksin Moderna dan Pfizer-BioNTech kedua-duanya menunjukkan keberkesanan sebanyak 62 peratus, berbanding 95 dan 94 peratus tahap keberkesanan dalam varian asal COVID-19.

Sebagai perbandingan, vaksin AstraZeneca hanya 10 peratus berkesan terhadap mutasi varian Afrika Selatan.

Sejauh ini belum ada data yang menunjukkan tahap keberkesanan vaksin ke atas varian Brazil.

MENGAPA KITA DIBERITAHU TENTANG PELBAGAI MUTASI?

Ini kerana virus itu akan terus membiak sedang ia menular dari satu orang ke orang lain dan sedang ia membiak mungkin terdapat beberapa "kesilapan" yang membawa kepada mutasi.

Dr Gavin Smith, seorang profesor bagi program penyakit berjangkit baru muncul di Sekolah Perubatan Duke-NUS, berkata apabila virus membiak, ia akan menghasilkan pelbagai mutasi, tetapi hanya yang dapat terus menular dalam kalangan penduduk untuk ia terus bertahan.

"Hakikat bahawa mutasi ini muncul di beberapa bahagian berbeza di merata dunia menunjukkan bahawa ia memberi kelebihan bagi virus itu untuk melepaskan diri - sekurang-kurangnya sebahagian daripadanya - daripada tindak balas imun, daripada jangkitan lalu atau daripada vaksinasi," kata beliau.

Menurut ketua program penyakit berjangkit yang juga profesor madya di Sekolah Kesihatan Awam Saw Swee Hock NUS, Hsu Li Yang, mutasi Eek membolehkan virus itu untuk mencengkam dengan lebih baik pada sasarannya dalam sel manusia.

Ini bermakna virus itu boleh mengelakkan antibodi yang dihasilkan oleh mereka yang sudah dijangkiti sebelum ini atau mereka yang sudah menerima vaksin, "secara terhad"," kata beliau.

"Mungkin juga orang yang sudah menerima vaksin atau pernah dijangkiti sebelum ini akan tetap dilindungi pada tahap terhad daripada virus dengan mutasi Eek, meskipun jangkitan dan penyakit itu mungkin tidak dapat dicegah sepenuhnya," tambah beliau.

BAGAIMANA LINDUNGI NEGARA DARIPADA VARIAN BERBEZA-BEZA?

Sekalipun demikian, para pakar menekankan pentingnya untuk meneruskan vaksinasi ke atas penduduk, sama ada terdapat mutasi atau tidak.

Vaksinasi masih berpeluang untuk memerangi sebahagian mutasi tersebut, kata Dr Smith.

"Walaupun jika (varian-varian baru itu) mengurangkan keberkesanan vaksin, terdapat bukti-bukti baru bahawa vaksin juga memperlahankan penularan," kata beliau.

"Anda mungkin kurang mengeluarkan virus sekali gus kurang berkemungkinan untuk terus menularkannya."

Vaksinasi juga akan menyekat kadar jangkitan dan mengurangkan peluang virus itu untuk bermutasi.

"Apabila virus kurang membiak, maka peluang untuk ia membuat kesilapan 'meniru' juga kurang, sekali gus kurang mutasi," kata Dr Ling dari Clinik Rophi.

Penting juga untuk tidak hanya bergantung kepada vaksinasi tetapi juga terus mematuhi jarak selamat dan langkah-langkah kebersihan, menurut para pakar.

Untuk mencapai kekebalan berkelompok, sekitar 70 peratus penduduk Singapura mesti diberikan vaksin. Ini mungkin mengambil masa sehingga hujung tahun, menurut Dr Ling, yang memberi masa sembilan bulan untuk virus itu membiak kepada "ramai orang".

Oleh itu, jarak selamat dan pemakaian pelitup mesti dipatuhi untuk mencegah penularan.

Sumber : Today/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan