Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Fakkah Fuzz hantar pelitup kepada penduduk Pasir Gudang sedang bekalan kehabisan

Bilangan orang yang dilaporkan terjejas akibat pencemaran bahan sisa kimia di Pasir Gudang, Johor Bahru semakin meningkat - mencecah lebih 2,700 orang setakat Khamis (14 Mac).

Anggaran Waktu Membaca:
Fakkah Fuzz hantar pelitup kepada penduduk Pasir Gudang sedang bekalan kehabisan

Fakkah Fuzz dan rakan-rakannya tiba di Pasir Gudang untuk menghantar bekalan pelitup N95. (Gambar: Fakkah Fuzz/Instagram)

BERITAmediacorp: Bilangan orang yang dilaporkan terjejas akibat pencemaran bahan sisa kimia di Pasir Gudang, Johor Bahru semakin meningkat - mencecah lebih 2,700 orang setakat Khamis (14 Mac).

Agensi berita Bernama melaporkan bahawa seramai 2,775 orang dirawat di beberapa hospital di Johor Bahru, dengan tujuh daripada mereka dimasukkan ke dalam Unit Rawatan Rapi (ICU).

Awal Khamis (14 Mac), Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mengikrarkan sumbangan bernilai RM1 juta (S$330,000) bagi memperhebatkan operasi menyelamat, merawat serta mencegah pencemaran bahan kimia di Pasir Gudang.

Baru-baru ini, artis komedi tempatan Fakkah Fuzz turut tampil membantu para penduduk di negara jiran dengan melancarkan usaha bantuan peribadi untuk para penduduk yang terjejas akibat pencemaran bahan kimia yang dibuang ke Sungai Kim Kim.

Menulis di Instagramnya, Fakkah Fuzz, atau nama sebenarnya Muhammad Fadzri Abdul Rashid, berkata beliau dan rakan-rakannya tiba di Pasir Gudang pada Rabu (13 Mac) untuk menghantar bekalan pelitup N95.

Malah, beliau menulis di laman twitternya bahawa beberapa lagi rakan-rakannya dari Singapura akan ke UITM Pasir Gudang pada Khamis malam (14 Mac) untuk menghantar lebih banyak pelitup.

Bekalan pelitup yang dijual di Pasir Gudang sudah kehabisan disebabkan oleh permintaan tinggi, menurutnya.

Laporan Harian Metro misalnya menukil jurucakap sebuah farmasi di Pasir Gudang sebagai berkata, sejak kelmarin, jualan pelitup di farmasi mencecah hingga 500 keping sehari dan pihaknya perlu menempah bekalan baru.

Fadzri berkata beliau dan rakan-rakannya masih lagi berusaha untuk mengumpulkan sumber-sumber bagi terus menghulurkan bantuan kepada penduduk Pasir Gudang.

"Pada masa ini, kanak-kanak sedang dirawat bagi pencemaran metana dipercayai akibat pembocoran kimia. Mereka memerlukan pelitup R95.

"Saya menghantar pelitup N95 dahulu kerana itu sahaja yang boleh saya dapat, dan itulah pelitup yang mereka gunakan buat masa ini yang sudah kehabisan stok," katanya melalui Instagram pada Khamis (14 Mac).

Dalam catatan itu juga, Fadzri turut mengajak para pengikutnya supaya sama-sama tampil bagi membantu negara jiran sedang mereka menghadapi masa sukar ini.

"Mari kita sama-sama bantu jiran kami," tambahnya.  

Sumber : BERITA Mediacorp/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan