Images
  • sc faizal1
    Peguam Kanan yang baru dilantik, Mohamed Faizal Mohamed Abdul Kadir. (Gambar: Ira Musfirah/BERITAmediacorp)

Faizal yakin lebih ramai lagi anak Melayu/Islam S’pura akan jadi Peguam Kanan

SINGAPURA: Dengan adanya "ramai" peguam muda yang "sangat berpotensi" dalam masyarakat Melayu/Islam sekarang ini, hasilnya nanti, akan ada lebih ramai lagi Peguam Kanan Melayu/Islam dalam 10 tahun mendatang.

Demikian pandangan Encik Mohamed Faizal Mohamed Abdul Kadir, yang baru semalam (6 Jan) dilantik sebagai seorang Peguam Kanan - gelaran eksklusif lagi berprestij yang hanya diberikan kepada para peguam terbaik dan terhandal dalam bidang guaman dan undang-undang di Singapura.

Dalam wawancara dengan BERITAmediacorp, Encik Faizal turut menekankan betapa pelantikannya juga membuktikan bahawa masyarakat Melayu sememangnya boleh berjaya dalam apa sahaja bidang.

Beliau kini bertugas sebagai Timbalan Ketua Pendakwa Raya dan Peguam Negara Kanan (Jenayah) di Pejabat Peguam Negara (AGC).


(Ihsan: Mohamed Faizal Mohamed Abdul Kadir)

"Sebagai seorang Anggota Masyarakat Melayu/Islam, saya rasa pelantikan ini merupakan satu cerminan bahawa masyarakat Melayu juga boleh mencapai kecemerlangan dalam bidang guaman atau dalam apa-apa bidang.

"Tidak ada apa-apa yang menghalang kami dari mencapai sesuatu yang tinggi jikalau kami mampu bekerja keras. Dari situ, baru kita mampu memecahkan siling kaca," jelas Peguam Kanan berusia 39 tahun itu.

DARI KELUARGA SEDERHANA DAKI TANGGA KEJAYAAN

Penilaian tersebut malah dibuat berdasarkan asal usul Encik Mohamed Faizal sendiri yang cukup sederhana.

Ibunya seorang suri rumah dan bapanya pula membantu mengendalikan beberapa kedai kopi.

Datang dari sekolah kejiranan iaitu Sekolah Menengah Bedok View, berkat kerja keras, Encik Faizal akhirnya berjaya memasuki Maktab Rendah Tampines dan Universiti Nasional Singapura (NUS).


Malah, beliau jelas memiliki kelebihan tersendiri apabila kemudiannya meraih ijazah sarjana undang-undang dari Universiti Harvard dan pernah mengikuti Program Oxford mengenai Perundingan di Universiti Oxford.


(Ihsan: Mohamed Faizal Mohamed Abdul Kadir)

Dan selama tiga tahun berturut-turut - pada tahun 2017, 2018 dan 2019 - Encik Faizal berada dalam senarai 500 Muslim Paling Berpengaruh di Dunia. Pendeknya, agak banyak pencapaiannya untuk disebut satu-persatu.

SATU-SATUNYA PEGUAM KANAN MELAYU/ISLAM

Terkini (6 Jan), Encik Faizal mencatat satu lagi pengiktirafan membanggakan apabila dinobatkan dengan gelaran Peguam Kanan - suatu pengiktirafan besar bagi seseorang peguam di negara ini.

Ini sekali gus menjadikan beliau satu-satunya anak Melayu/Islam yang memegang gelaran berprestij itu, daripada sejumlah 88 Peguam Kanan di Singapura.

Ditanya apakah pencapaian lain yang turut beliau banggakan, Encik Faizal menjawab bahawa beliau baru-baru ini membantu mahkamah membangunkan rangka kerja hukuman bagi kesalahan-kesalahan seksual.

Rangka kerja tersebut memberikan kejelasan kepada masyarakat secara keseluruhannya dari segi undang-undang dan betapa ia membuktikan "keseriusan kami berhubung kesalahan-kesalahan seksual", kata beliau.

Rangka kerja itu kini digunakan di semua mahkamah.

Sambil melahirkan rasa "bersyukur" diangkat sebagai Peguam Kanan, Encik Faizal berkata kejayaan ini merupakan hasil "kasih sayang, pendidikan dan pengorbanan" ibu bapanya, serta sokongan kuat isterinya walaupun jadual kerjanya terlalu padat dengan jadual yang dianggapnya sebagai 'mustahil'.


(Ihsan: Mohamed Faizal Mohamed Abdul Kadir)

"Hakikatnya adalah anda tidak boleh berjaya dalam bidang ini kecuali anda mempunyai kelarga yang sangat menyokong di belakang anda, berjalan setiap langkah bersama-sama anda," terang beliau.


(Ihsan: Mohamed Faizal Mohamed Abdul Kadir)

Encik Faizal yang sudah berkhidmat sebagai peguam sejak 15 tahun lalu, juga masih lagi berkhidmat sebagai anggota Lembaga Rayuan MUIS yang meneliti rayuan-rayuan dalam kes-kes Mahkamah Syariah.

OPTIMIS TENTANG MELAYU/ISLAM DALAM GUAMAN

Mengulas tentang orang Melayu/Islam dalam kerjaya guaman pula, Encik Faizal melahirkan rasa begitu optimis.

Menurut beliau, terdapat "ramai peguam muda dalam masyarakat yang sangat berpotensi".

"Secara peribadi saya mengenali ramai peguam yang memiliki potensi yang besar dan saya percaya bahawa dengan peluang serta usaha, lebih ramai anggota masyarakat Melayu/Islam, kita dapat insya Allah mencapai kejayaan sama atau lebih hebat lagi.

"Jika mereka diberi peluang dan berusaha, saya yakin bahawa mereka dapat mencapai tahap, contoh seperti saya, atau lebih tinggi lagi. Dengan cara ini kemungkinan kita dapat melihat lebih ramai Peguam Kanan dalam masa 10 tahun lagi," ujar beliau kepada BERITAmediacorp.

Encik Faizal juga menggalak lebih ramai anak muda mendalami jurusan undang-undang dan percaya, jika ada lebih ramai peguam Melayu/Islam, lebih ramai orang dalam masyarakat Melayu akan dapat dibantu. 

- BERITAmediacorp/im

Top