Images
  • fahrorazi
    Fahrorazi Sohoi yang terlibat dalam kes 'Haji VIP', meninggalkan Mahkamah Negara hari ini (11 Feb).

Fahrorazi Sohoi mungkin dikenakan tuduhan-tuduhan baru kerana beri ceramah tanpa lesen

SINGAPURA: Encik Fahrorazi Sohoi atau sebelum ini lebih dikenali ramai sebagai 'Ustaz Fahrur Razi', yang dikatakan terbabit dalam kes penipuan 'Haji VIP', mungkin dikenakan tuduhan-tuduhan tambahan di mahkamah.

Ini membabitkan perbuatannya yang dikatakan melakukan ceramah awam tanpa lesen atau kebenaran.

Mahkamah diberitahu tentang perkembangan terbaru itu semasa Encik Fahrorazi muncul bagi sebutan kesnya pagi tadi (11 Feb). Ini kali ketujuh kes penipuan mengenai 'Haji VIP' disebut di Mahkamah Negara.

BERITAmediacorp cuba mendapatkan perincian lanjut daripada pihak polis tentang tuduhan-tuduhan tambahan yang mungkin dikenakan itu. Namun dalam jawapannya kepada kami, pihak polis menyatakan ia "tidak dapat memberikan maklumat lanjut" kerana kes berkenaan sedang didengar di mahkamah.

Yang pasti, nama Encik Fahrorazi tidak lagi tersenarai dalam Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS) di laman Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS).

PEMERIKSAAN FORENSIK TELEFON BIMBIT SUDAH SELESAI

Dalam sesi hari ini, Timbalan Pendakwa Raya ASP Shrmani Abdul Hamid mengesahkan bahawa pemeriksaan forensik ke atas telefon bimbit yang digunakan Encik Fahrorazi dalam kes penipuan 'Haji VIP' sudahpun selesai dijalankan.

Hasil siasatan sudah diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara (AGC) pada 30 Januari, menurut dokumen Mahkamah Negara.

Secara keseluruhannya, sebutan kes hari ini berlangsung dengan pantas - sekitar beberapa minit sahaja, sebelum Hakim Daerah Christopher Goh membuat keputusan menangguhkan perbicaraan ke 4 Mac ini.

SIASATAN KES SEJAK ENAM BULAN LALU

Encik Fahrorazi didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, Bab 224. 

Seksyen tersebut melibatkan kesalahan menipu dan dengan cara yang tidak jujur memperdayakan mangsanya supaya menyerahkan (bayaran, harta dan sebagainya).

Siasatan ke atas kes Encik Fahrorazi dijalankan sejak sekitar enam bulan lalu.

Beliau yang kini bebas dengan ikat jamin, ditangkap pada 15 Ogos lalu setelah aduan polis dibuat ke atasnya, berhubung satu kes penipuan membabitkan lebih 80 bakal jemaah haji dan wang sekitar $100,000.

Beliau dikatakan memperdaya mangsanya bahawa mereka boleh menunaikan ibadah haji pada harga yang lebih murah, iaitu $1,550 seorang. Jumlah itu jauh lebih rendah berbanding harga bagi pakej haji biasa antara sekitar S$7,000 dengan S$18,465, tidak termasuk harga tiket kapal terbang dan cukai semasa.

Malah, mereka juga dimaklumkan akan menunaikan ibadah haji di bawah kuota rakyat Brunei dan sebagai tetamu kerajaan Arab Saudi.

Menurut aduan yang dibuat oleh Encik Mohammad Farehan Mohammad Hussein kepada polis pada Rabu, pakej haji 16 hari yang dijanjikan itu dijadualkan berangkat dari 16 sehingga 31 Ogos tahun lalu, namun ia tidak berlaku.

Beliau ditahan reman di Divisyen Polis Central dan wang sebanyak $196,950 turut dirampas, sebelum didakwa di mahkamah dua hari kemudian, pada 17 Ogos tahun ini.

LAPORAN BERKAITAN:

- BERITAmediacorp/im

Top