Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Facebook tidak lagi popular di kalangan anak muda S’pura?

“Kami terlalu ‘cool’ untuk Facebook” mungkin merupakan pandangan popular di kalangan generasi muda.

Anggaran Waktu Membaca:
Facebook tidak lagi popular di kalangan anak muda S’pura?

Gambar: Yves Herman/REUTERS

Diterbitkan : 25 Feb 2018 10:28AM Dikemas Kini : 25 Feb 2018 10:31AM

SINGAPURA: “Kami terlalu ‘cool’ untuk Facebook” mungkin merupakan pandangan popular di kalangan generasi muda.

Malah, ia kelihatan seperti satu trend yang semakin ketara menurut perangkaan yang dikeluarkan awal bulan ini berdasarkan masyarakat di Amerika Syarikat. Laporan itu menarik perhatian tentang bagaimana golongan sedemikian kini beralih dari Facebook ke Snapchat.

Laporan eMartketer itu menyatakan bahawa akan terdapat kemerosotan 5.8 peratus dalam bilangan pengguna Facebook yang berusia antara 18 hingga 24 tahun iaitu buat julung-julung kalinya berlaku di Amerika sejak kajian itu dijalankan.

Sebaliknya, kajian itu menunjukkan platform berkenaan masih berkembang disebabkan penyertaan golongan ibu, bapa dan datuk nenek yang semakin bertambah.

Maklumat daripada agensi digital, We Are Social dan pengendali khidmat pengurusan media sosial, Hootsuite yang dikeluarkan pada hujung Januari lalu pula memaparkan perspektif yang lebih terperinci.

Menurut laporan Digitalnya pada 2018, jumlah individu yang menggunakan media sosial di peringkat global naik 13 peratus sejak 12 bulan lalu dan pertumbuhan itu, disebabkan lebih ramai pengguna lebih tua menggunakan media sosial.

“Di Facebook sendiri, bilangan pengguna yang berusia 65 tahun ke atas meningkat hampir 20 peratus dalam 12 bulan kebelakangan ini,” menurut laporan berkenaan. “Jumlah golongan remaja yang menggunakan Facebook juga meningkat tetapi bilangan pengguna antara 13 hingga 17 tahun hanya naik 5 peratus sejak Januari 2017.”

Namun, apabila merujuk kepada perangkaan yang dikhususkan kepada masyarakat Singapura, trend golongan muda beralih keluar dari Facebook tidak begitu ketara.

Tidak dapat disangkal bahawa di kalangan mereka yang berusia antara 18 hingga 24 tahun, terdapat kemerosotan 0.91 peratus pengguna pada Januari 2018 berbanding tahun sebelumnya. Namun, dari segi jumlah nyata, terdapat kenaikan 30,000 pengguna dalam lingkungan usia tersebut, menurut laporan itu.

Tambahan lagi, bilangan pengguna dalam lingkungan usia 13 hingga 17 tahun dan 25 hingga 34 tahun juga bertambah dengan masing-masing naik 30,000 dan 170,000 dalam tempoh yang sama.

Dalam erti kata lain, jumlah pengguna Facebook dalam lingkungan usia 13 hingga 17 tahun naik 2.92 peratus pada Januari 2018 dari 2.5 peratus tahun sebelumnya. Sejajar dengan itu, para pengguna dalam lingkungan usia 25 hingga 34 tahun naik kepada 35.42 peratus berbanding 34.77 peratus pada tahun sebelumya, menurut perangkaan tersebut.

Secara keseluruhannya, Facebook menyaksikan jumlah pengguna bertambah dari 4.4 juta pada Januari 2017 kepada 4.8 juta pada Januari tahun ini sekaligus menolak pandangan bahawa platform media sosial yang diperkenalkan pada 2004 itu kian kurang popular.

Nampaknya, rakyat Singapura masih menyokong dan memberi Facebook ‘thumbs up’.  

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan