Images
  • fake ad cna

Facebook padam iklan penipuan, akaun menyamar sebagai CNA

SINGAPURA: Facebook telah memadamkan iklan bagi laman web yang menyamar sebagai rencana berita CNA dan menurunkan halaman Facebook yang dihubungkan ke laman web palsu itu.

Menjawab pertanyaan Mediacorp, seorang jurucakap Facebook berkata bahawa platform media sosial itu telah "mengambil tindakan" terhadap iklan dan akaun tersebut. Ia melumpuhkan akaun iklan yang berkaitan dengan laman palsu ini, dan juga halaman Facebook berkaitan yang tidak diterbitkan. Bagaimanapun, wadah media sosial itu tidak mendedahkan jumlah iklan atau laman yang dihapuskan atau dilumpuhkan.

Sejak beberapa minggu kebelakangan ini, beberapa pembaca telah memaklumkan CNA tentang iklan Facebook yang membawa ke lelaman web penipuan yang kelihatan seakan-seakan rencana CNA, termasuk menggunakan nama dan gambar wartawannya.

Seorang pembaca berkata bahawa iklan tersebut "dipaparkan berkali-kali menerusi akaun yang berbeza" di aplikasi bimbit Facebook, dan membawa kepada artikel berita palsu yang bertajuk "Midnight Magic: 7E Cashier Resign After His Luck luck Night Shift".

Seorang pembaca lain melaporkan kiriman yang ditaja seakan-akan artikel berita oleh CNA dengan tajuk “Online Bookmakers Announce Amazing Year-End Deals”.

CNA tidak menerbitkan sebarang rencana tersebut.

"Dasar pengiklanan kami melarang iklan yang mengelirukan atau palsu, dan kami telah mengambil tindakan terhadap iklan dan akaun yang dimaksudkan," kata jurucakap Facebook, sambil menambah bahawa pengguna perlu segera melaporkan kandungan sedemikian dengan menekan tiga titik di sudut kanan atas iklan.

Beberapa laman web penipuan dihoskan di Shopify, sebuah syarikat yang menyediakan kelengkapan untuk membangunkan laman web e-dagang. Ketika dihubungi, jurucakap syarikat itu berkata bahawa dua laman web yang dilaporkan oleh CNA telah dipadamkan. Beliau bagaimanapun tidak menjawab pertanyaan sama ada terdapat laman web serupa yang menyamar sebagai CNA di wadahnya.

Jurucakap itu menambah bahawa Shopify "secara berterusan" memantau platformnya dan menurunkan laman web yang mencurigakan atau mencabuli dasar Penggunaan Boleh Diterima.

Jurucakap itu mendedahkan lebih 4,500 kedai online ditutup pada Mac tahun ini kerana melanggar dasar Penggunaan Boleh Diterima itu.

Kegiatan penipuan kelihatannya mengambil kesempatan ke atas cara warga Singapura bergantung kepada agensi berita rasmi seperti CNA semasa penularan COVID-19.

Pihak berkuasa Singapura sebelum ini telah menasihatkan orang ramai supaya berwaspada terhadap penipuan yang serupa. 

- CNA/TQ/tq

Top