Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Facebook, CNA & YouTube wadah online pilihan pengundi semasa GE2020

Internet adalah wadah penting dalam menyediakan maklumat kepada para pengundi Singapura yang menggunakan wadah tersebut untuk menilai pilihan mereka bagi Pilihan Raya Umum 2020 (GE2020), menurut dapatan tinjauan yang dijalankan oleh Institut Pengajian Dasar (IPS).

Anggaran Waktu Membaca:
Facebook, CNA & YouTube wadah online pilihan pengundi semasa GE2020

Gambar fail.

Diterbitkan : 01 Oct 2020 09:24PM Dikemas Kini : 01 Oct 2020 09:26PM

SINGAPURA: Internet adalah wadah penting dalam menyediakan maklumat kepada para pengundi Singapura yang menggunakan wadah tersebut untuk menilai pilihan mereka bagi Pilihan Raya Umum 2020 (GE2020), menurut dapatan tinjauan yang dijalankan oleh Institut Pengajian Dasar (IPS). Antara sumber online, Facebook, wadah online CNA dan YouTube adalah saluran yang disebut-sebut oleh sebahagian besar responden tinjauan itu.

Tinjauan ke atas sikap pengundi, yang dijalankan antara 11 Jul hingga 21 Ogos, mendapati bahawa berbanding tinjauan lalu, Internet dinilai sebagai paling penting daripada 11 saluran media tahun ini. Televisyen, akhbar dan rapat online menyusul mengikut urutan.

Namun, ini bukanlah dapatan yang mengejutkan memandangkan perhimpunan besar-besaran tidak dibenarkan dan sesi bertemu penduduk dihadkan disebabkan oleh pandemik COVID-19. Rapat online yang kerap diadakan di Facebook dan Siaran Politik Kawasan Undi menggantikan rapat fizikal dengan para calon cuba sedaya upaya untuk mendampingi pengundi secara online.

Kajian itu juga mendapati Internet penting khususnya bagi pengundi lebih muda dan PMET, sama seperti pada 2015. Para pengundi paling muda, PMET, mereka yang berpendidikan pos-menengah dan kelas pertengahan juga segmen yang mengikuti rapat online, menurut pasukan penyelidik yang dipimpin oleh Dr Gillian Koh, Timbalan Pengarah Kajian IPS.

“Semakin rendah usia dan semakin tinggi kelas pekerjaan, lebih berpengaruh Internet. Sementara itu, TV dan akhbar penting bagi golongan lebih tua, kurang berpendidikan atau mempunyai pendapatan yang lebih rendah,” kata Dr Teo Kay Key, zamil pos-siswazah di Makmal Sosial IPS yang merupakan sebahagian daripada pasukan penyelidik.

Para penyelidik itu menjalankan tinjauan tahun ini menerusi Internet dan dengan menghubungi responden menerusi telefon bimbit mereka selain menelefon mereka melalui telefon talian tetap, sebagaimana para responden dihubungi semasa tinjauan-tinjauan lalu.

Berbanding dengan responden lain, responden melalui tinjauan online kurang cenderung menyatakan bahawa PAP memerintah negara dengan baik atau kehidupan mereka bertambah baik sejak GE2015. Mereka juga lebih cenderung merasakan perlu bagi semakan dan imbangan dalam Parlimen, antara penanda lain yang dikatakan menunjukkan sikap pluralis.

PENGUNDI BERPALING KE FACEBOOK BAGI MAKLUMAT

Pasukan itu juga menanyakan responden, yang menyatakan Internet "penting" atau "sangat penting" buat mereka, dan saluran Internet yang mana satu yang digunakan. Terdapat perbezaan pada keputusan bergantung kepada bagaimana responden dihubungi.

Facebook adalah saluran yang kerap disebut-sebut responden, serupa dengan tinjauan 2015, tetapi walaupun 69.4 peratus yang ditinjau menerusi talian tetap menyebutkan Facebook, jumlahnya lebih tinggi (74.1 peratus) apabila responden ditinjau menerusi telefon bijak dan Internet ditambah.

“Apa yang mengejutkan adalah media arus perdana - CNA, yang tersedia online - menyusul dengan jumlah kedua tertinggi yang disebut-sebut," kata para penyelidik yang juga termasuk Profesor Madya Tan Ern Ser daripada Jabatan Sosiologi di Universiti Nasional Singapura (NUS).

Ini berdasarkan hasil tinjauan talian tetap yang meletakkan YouTube di tempat ketiga dan Instagram di tempat keempat. Twitter, saluran keempat yang kerap disebut pada 2015, jatuh daripada lima tangga teratas. Laman The Straits Times menduduki tempat kelima.

Apabila respons menerusi telefon bijak dan Internet dimasukkan, wadah-wadah CNA dan YouTube berkongsi tempat yang sama di tangga kedua dan jumlah yang menyebutkan Instagram naik sedikit.

Dr Teo menambah mereka yang berpaling kepada Internet juga merujuk kepada sumber-sumber bukan online seperti media cetak atau televisyen.

Tinjauan Persepsi Dasar-Dasar di Singapura dijalankan di sini selepas setiap GE sedari 2006. Tahun ini, ia meninjau 4,207 orang.

Ia juga meninjau orang ramai tentang isu-isu yang amat penting buat mereka dalam piliha raya serta parti politik mana yang mereka rasa paling diyakini.    

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan