Images
  • etfcob bersama
    Dr Yaacob gesa masyarakat Melayu mempersiapkan diri menghadapi perubahan. (Gambar: Taufiq Hussein Zalizan)

ETF berjaya kumpul $2.25 juta tahun ini, Dr Yaacob gesa masyarakat terus memberi sokongan

SINGAPURA: Dana Amanah Pendidikan (ETF) sudah mengumpulkan $2.25 juta sejak awal tahun ini.

Jumlah ini termasuk $140,000 yang dikumpulkan di acara lelong dan makan malam ulang tahun Yayasan MENDAKI ke-35, minggu lalu.

MENDAKI memulakan usaha mengumpul dana untuk ETF dengan sasaran S$12 juta ditetapkan dalam tempoh dua tahun mendatang.

Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Dr Yaacob Ibrahim mendedahkan hal ini di acara pembahagian ETF kepada hampir 100 pelajar, hari ini (25 Nov).

Sejak ditubuhkan pada 2003, ETF sudah mengagihkan S$22.9 juta bagi membantu lebih 91,000 pelajar.

Pada 2017 sahaja, hampir 6,500 pelajar yang memerlukan dibantu setakat ini, menerusi pengagihan baucar dan dermasiswa.

Dr Yaacob yang juga pengerusi Yayasan MENDAKI, menyifatkan ETF sebagai satu usaha penting untuk membantu masyarakat maju ke hadapan.

Maka itu, beliau merayu masyarakat agar tampil memastikan usaha ini boleh terus diperkembangkan.

"Jadi saya merayu kepada masyarakat kita, mencari huraian bagaimana kita boleh mengumpul dana ETF. Jawatankuasa dana ETF akan terus menjalankan program-program untuk mempertingkatkan lagi dana ETF pada akan datang dan saya harap apa-apa program pun yang akan mereka sediakan, kita dapat menyumbang sedikit sebanyak pertolongan kepada ETF untuk menentukan bahawa setiap individu di Singapura, setiap dalam kalangan masyarakat kita, mendapat peluang untuk menghabiskan pendidikan mereka di Singapura," kata Dr Yaacon.

Para penerima turut menyertai acara CM Tech @ Heartlands anjuran MENDAKI.

Program ini merupakan antara pelbagai usaha MENDAKI untuk memastikan kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah tidak ketinggalan dek kesan perubahan teknologi pada pembelajaran mereka.

"Sebagai contoh program NEU PC PLUS yang kita bekerjasama dengan pihak IMDA, ialah satu lagi langkah bagi pihak MENDAKI menolong mereka yang kurang berkemampuan, untuk mengadakan komputer di rumah dan sebagainya.

Jadi ini kita akan teruskan usaha kita, untuk memberi pendedahan kepada masyarakat kita bahawa perubahan akan berlaku, dan bagaimana kita boleh menyiapkan diri mereka serta keluarga mereka untuk menghadapi perubahan yang akan terus berlaku. Kita tidak boleh mengelakkannya," tambah Dr Yaacob.

Para penerima Skim Bantuan Sekolah ETF menerima baucar bernilai antara $200 hingga $250, manakala penerima dermasiswa ETF-Merchant pula menerima cek bernilai $500 setiap seorang. 

- BERITAMediacorp/TQ/aq

Top