Images
  • ndp foreign leaders
    (Gambar: Facebook/Goh Chok Tong)

ESM Goh, Ho Ching hargai kehadiran Dr Mahathir & isteri di NDP 2019

SINGAPURA: Singapura amat menghargai kehadiran Dr Mahathir Mohamad dan isteri Dr Siti Hasmah Mohd Ali semasa Perbarisan Hari Kebangsaan sempena sambutan ulang tahun ke-200 republik itu tahun ini walaupun mempunyai jadual ketat.

Menteri Kanan Emeritus (ESM) Goh Chok Tong dan isteri Perdana Menteri Lee Hsien Loong, iaitu Cik Ho Ching adalah antara mereka yang menyatakan penghargaan itu melalui media sosial.

“Mereka memberi penghormatan kepada Singapura dengan menghadiri sambutan Hari Kebangsaan ke-54. Ia menunjukkan hubungan kukuh, berteraskan sejarah dan tidak dapat dipisahkan antara kedua-dua negara jiran. Semoga hubungan kita semakin berkembang,” menurut catatan Encik Goh dalam laman Facebook beliau hari ini (10 Ogos).

Dalam catatan tersebut, Encik Goh turut melampirkan dua keping gambar beliau dan Perdana Menteri Malaysia itu semasa perbarisan itu yang menyaksikan kedua-dua mereka duduk sebelah menyebelah.

Dr Mahathir berada di Fukuoka, Jepun selama dua hari bermula Rabu (7 Ogos). Beliau kembali ke Malaysia pada Khamis sebelum mengadakan pertemuan empat mata dengan Presiden Indonesia, Joko Widodo di Putrajaya.

Encik Jokowi dan isteri, Iriana Joko Widodo, tiba pada Khamis (8 Ogos) untuk lawatan dua hari ke Malaysia.

Dr Mahathir juga memandu sendiri kereta Proton Persona membawa Encik Jokowi ke majlis makan tengah hari yang dihoskan beliau di Seri Perdana, kediaman rasmi Perdana Menteri. Selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Putra di Putrajaya, kedua-dua mereka berlepas ke Singapura untuk menghadiri acara perbarisan.

"Mahathir adalah seorang yang luar biasa. Beliau berlepas ke Jepun untuk menerima ijazah kehormat, tinggal semalaman, dan kembali ke Kuala Lumpur untuk menyambut Presiden Jokowi, kemudian terbang semula ke Singapura dan tiba terus dari lapangan terbang ke Padang.

"Isterinya Siti Hasmah juga tidak kurang luar biasa. Tanpa rehat seminit pun. Dan masih kelihatan segar. Pasangan yang hebat, " tambah Encik Goh lagi dalam catatannya.

KEHADIRAN MESKI JADUAL PADAT AMAT DIHARGAI - HO CHING

Sementara itu, Cik Ho Ching juga melahirkan penghargaannya melalui laman Facebook.

"Sangat menghargai Tun Siti Hasmah dan Tun Dr M kerana datang untuk bersama-sama kami untuk sambutan Perbarisan Hari Kebangsaan," katanya dalam catatan beliau yang dilampirkan dengan foto beliau, suaminya Perdana Menteri Lee Hsien Loong dan pasangan suami isteri yang mencecah usia 94 tahun itu.

Dalam posting yang sama, Cik Ho Ching juga melampirkan berita Bernama mengenai ketibaan Dr Mahathir dan isteri ke Singapura.

"Mereka mempunyai jadual yang padat - berada satu hari di Hiroshima untuk acara memperingati ulang tahun pengeboman bom atom, kelewatan akibat taufan, bergegas balik ke KL untuk menyambut Pak Presiden Jokowi dan Ibu Iriana untuk lawatan negara selama sehari, mengucapkan selamat jalan kepada mereka untuk lawatan ke Singapura, sebelum menaiki pesawat untuk tiba tepat pada masanya bagi acara perbarisan yang bermula," menurut catatan Cik Ho Ching lagi.

Turut hadir ialah Sultan Brunei Darussalam, Sultan Hassanal Bolkiah.

Pada majlis jamuan sejurus sebelum perbarisan yang diadakan di Padang itu, PM Lee melahirkan penghargaan kepada para pemimpin yang hadir pada perayaan Hari Kebangsaan Singapura dan sekali lagi menegaskan mengenai hubungan sejarah dan persahabatan yang lama terjalin dengan Brunei, Indonesia dan Malaysia.

- BERNAMA/TQ/tq

Top