Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Esa Masood seru pihak-pihak berkepentingan MUIS tegakkan piawai integriti tertinggi

Rakan-rakan dan pihak-pihak berkepentingan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) harus menegakkan piawai integriti yang paling tinggi dengan tadbir urus yang baik dan menolak sebarang bentuk penipuan mahupun amalan rasuah.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Rakan-rakan dan pihak-pihak berkepentingan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) harus menegakkan piawai integriti yang paling tinggi dengan tadbir urus yang baik dan menolak sebarang bentuk penipuan mahupun amalan rasuah.

Mereka harus terus melindungi dan memperkukuh institusi-institusi keagamaan supaya sama-sama dapat terus berkhidmat kepada masyarakat.

Demikian seruan Encik Esa Masood selaku Ketua Eksekutif MUIS menerusi satu surat terbuka pada Sabtu (10 Jul).

Surat terbuka itu ditujukan kepada para pemimpin dan pihak-pihak berkepentingan MUIS sebagai menjawab permohonan dan pertanyaan mereka mengenai usaha-usaha memperkukuh tadbir urus badan itu serta masjid-masjid dan madrasah-madrasah.

"Sebagai sebuah badan berkanun, MUIS perlu mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh dan prosedur-prosedur tadbir urus Sumber Manusia (HR) yang baik. Setiap tahun, kami berurusan dengan juruaudit luar dan penyata-penyata kewangan kami diserahkan kepada Parlimen sebelum 30 Jun," terang Encik Esa.

"MUIS juga tertakluk kepada audit oleh Pejabat Juruaudit Negara (AGO). Dalam audit terakhir pada 2018, tiada bukti penipuan ditemukan," tambahnya.

Beliau akur AGO mendapati beberapa kelemahan prosedur ketika itu tetapi MUIS menangani dapatan-dapatan tersebut secara aktif.

"Sebuah Pasukan Bertindak yang saya pengerusikan, terdiri daripada pemimpin-pemimpin utama MUIS, mencatat kemajuan stabil, dan semua pemerhatian AGO ditangani mengikut jadual dan akan dihuraikan sepenuhnya menjelang hujung tahun ini," jelas Encik Esa lagi.

99% MASJID PUNYA REKOD KEWANGAN BERSIH

Encik Esa turut mendedahkan bahawa tadbir urus kewangan masjid-masjid tempatan menunjukkan kemajuan "besar" sepanjang beberapa dekad yang lalu.

Di bawah Akta Pentadbiran Hukum Islam (AMLA), semua masjid di Singapura terletak di bawah naugan MUIS dan perlu menjalani audit.

"Pada 2015, 77 peratus masjid mempunyai penyata kewangan yang bersih. Bagi Tahun Kewangan 2019, kita berjaya meningkatkan perangkaan ini kepada 99 peratus, dan hanya penyata kewangan satu masjid yang didapati kurang lengkap," dedah Encik Esa.

Pada awal 2019, Ketua Eksekutif MUIS itu malah mencabar para pemimpin masjid untuk berganding bahu dan memastikan semua masjid mempunyai laporan audit yang bersih dalam tempoh tiga tahun.

"Saya yakin dengan para pemimpin berdedikasi di masjid-masjid kita. Kita mampu mencapai sasaran ini."

Tadbir urus kewangan madrasah-madrasah tempatan juga mencatat "banyak kemajuan", kata Encik Esa. Menerusi Sistem Madrasah Bersama (JMS), MUIS memastikan akaun-akaun JMS madrasah diaudit setiap tahun.

MUIS turut memperluaskan Pakej Bantuan Komprehensif kepada Madrasah Wak Tanjong pada 2018 dan ini juga merangkumi sokongan memastikan proses tadbir urus kewangan dan audit tahunan yang kukuh.

KELEMAHAN BERLAKU JIKA ADA YANG TIDAK BERSIKAP JUJUR

Sungguhpun begitu, Encik Esa akur bahawa MUIS juga kadangkala tidak terlepas daripada sebarang kekurangan.

"Walaupun dengan sistem kewangan yang baik, kelemahan akan berlaku jika ada pihak yang menguruskan sistem-sistem ini tidak bersikap jujur. Maka itu, sebagai sebuah institusi awam, kita memastikan para pegawai kami mempunyai piawai integriti yang tertinggi," ujar Encik Esa.

Para relawan masjid juga diminta memenuhi piawai integriti yang tinggi apabila mereka diamanahkan dengan sebuah tanggungjawab.

"Jika terdapat kelemahan, kita akan menyiasat perkara itu dengan serius untuk mencari kebenarannya dan selepas itu bertindak secara adil dan saksama untuk memperbetulkan keadaan. Kita juga tidak akan teragak-agak untuk membuat laporan kepada pihak berkuasa bagi siasatan lanjut," terang Encik Esa lagi dalam surat terbukanya.

MUIS KOMITED DAMPINGI MASYARAKAT DENGAN LEBIH BAIK

Dalam pada itu, Encik Esa berkata krisis COVID-19 mendorong MUIS untuk merenung kembali bagaimana mereka dapat terus memberi khidmat yang terbaik kepada masyarakat di tengah-tengah pelbagai perubahan yang berlaku.

"Kami juga akan berusaha untuk berkomunikasi dengan lebih baik dengan pihak-pihak berkepentingan seperti anda. Ini sesuatu yang kami komited untuk lakukan," katanya.

"Kita ingin bekerjasama dengan para pemimpin kita, para kakitangan dan relawan di masjid-masjid dan madrasah-madrasah untuk meraih dan mendukung kepercayaan yang masyarakat Singapura berikan kepada kita dan berkhidmat bagi keperluan masyarakat Muslim di Singapura. Kita harus bangkit lebih kukuh daripada krisis ini."

Encik Esa juga menghargai sokongan rakan-rakan dan pihak-pihak berkepentingan dalam bersama-sama mengharungi perjalanan bagi membangunkan sebuah masyarakat Muslim yang gemilang.

Beliau turut mengingatkan bahawa ini merupakan satu amanah kepada masyarakat, Tuhan dan diri mereka sendiri.  

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan